Jul 27, 2010

Buat baik: Amal dulu sebelum suruh orang lain

Oleh USTAZ ZALI SAINI

SEKS bebas merupakan satu penyakit yang sukar diubati' kerana dimanjakan' oleh sesetengah remaja. Malah, bagi yang berpasangan (sedang berkasih), mereka menganggapnya sebagai satu kemestian.

Malangnya, mereka kurang memperhatikan risiko sebenar kerana 'kenikmatan menutup segala keperitan dan kesengsaraan'.

Untuk membantu remaja ini, setiap individu (kaunselor/asatizah) yang berlibat dalam membetulkan tanggapan yang silap ini harus menjadi seorang pemain', dan bukan jurulatih yang mengarahkan itu dan ini.

Sebagai pemain', individu itu harus mampu berjuang di samping remaja-remaja tersebut. Ibu bapa pula harus membuka mata bukan hanya dalam keadaan sedar, tetapi juga setelah melelapkan mata. Mereka harus memainkan peranan lebih aktif seperti memberi rang undang-undang bertulis' kepada setiap anak remaja.

Catatkan segala undang-undang kekeluargaan yang dirasakan wajar untuk dilaksanakan bersama. Contohnya, jam berapa harus bangun untuk solat subuh, bila harus pulang ke rumah atau keluar bersama rakan-rakan.

Rang undang-undang itu harus ditandatangani berserta tarikhnya sekali agar ia menjadi satu bukti jika terjadi perselisihan.

Kaedah ini telah dilaksanakan beberapa ibu bapa yang mahukan satu sistem hormat-menghormati di antara anak remaja dengan mereka.

Alhamdulillah, ia membuahkan hasil.

Para ibu bapa juga harus bertindak seperti CID' (polis). Maksud saya, mereka hendaklah memeriksa beg dan saku anak-anak setiap kali pulang ke rumah dengan harapan tiada benda-benda yang tidak diingini dibawa masuk ke dalam rumah.
Ini memberi isyarat kepada remaja bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya membawa balik barang-barang yang tidak baik ke rumah. Mereka akan lebih berwaspada dan berhati-hati.

Soal solat, berat. Soal nak suruh belajar agama, payah. Yang penting, ibu bapa harus memulakan perbuatan yang baik sebelum menyuruh anak-anak mereka.
Bapa tidak solat, tapi suruh bersolat. Aneh bukan?

Ada sesetengah ibu bapa berleter menyuruh anak remaja mereka belajar agama, tetapi mereka sendiri tidak melangkahkan kaki ke kelas agama.

Pernah seorang gadis berusia 19 tahun bersama ibunya datang bertemu saya. Ibunya mahu saya menasihati anaknya agar memakai tudung.

Anak gadis itu menolak keras dengan berkata: 'Ustaz, saya akan pakai tudung dengan satu syarat. Suruh mak saya beritahu saya, mana perintah suruh pakai tudung dalam Al-Quran? Kalau mak saya boleh jawab, saya akan mula bertudung. Saya tidak mahu ikut-ikut. Ustaz, mak saya bertudung tapi tak solat.'

Justeru, langkah pertama untuk mendidik anak remaja adalah ibu bapa menunjukkan contoh terlebih dahulu, meningkatkan pengetahuan agama, sering ke masjid atau ke forum agama, membaca Al-Quran dan bersolat malam.

Bagi remaja pula, mereka harus lebih peka tentang kehidupan mereka. Mereka harus merubah apa yang perlu diubah.

Mereka tidak boleh menuding jari ke arah orang lain. Buat baik bukan kerana orang, buat salah jangan salahkan orang.

Para remaja harus menjaga kehormatan dan maruah diri mereka di mana sahaja mereka berada. Jangan cepat terpedaya dengan ajakan teman anda yang menjadi wakil-wakil iblis'.

Empat perkara ini mungkin dapat membantu:

Pertama; Usah berkawan dengan teman-teman yang tidak baik. Pilihlah teman yang peka dengan waktu solat walaupun berada di tengah-tengah bandar yang sibuk. Pilihlah teman yang mampu menegur segala kesilapan yang tidak disengajakan. Teguran membina, membawa perubahan yang bahagia.

Kedua; Jangan pergi ke tempat tidak elok. Teman yang baik tidak akan melangkahkan kaki ke tempat seperti pub, disko, kelab karaoke, tempat minuman keras dan sebagainya.

Ketiga; Jangan cuba-cuba nak buat jahat. Ingat, teman jahat sentiasa mengajak melakukan perbuatan jahat. Mereka mahu teman-teman mereka bersekongkol dalam kejahatan agar mereka dilihat sebagai kumpulan yang besar dan bergaya.

Keempat; Jangan bangga dengan perbuatan jahat. Sekiranya anda berbuat salah, mohon ampun kepada Allah dan minta pertolongan ibu bapa. Mereka berdua adalah sebaik-baik tempat untuk memberi nasihat dan menyediakan jalan keluar.

Saya bangga apabila Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memainkan peranan dalam membantu menjana remaja terbilang di negara kita.

Namun, ia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya semua yang terlibat hanya mahu menjadi jurulatih' atau menjadi pengarah' saja.

Banyak lisan yang diutarakan tapi di mana keberkesanannya?

Kita harus turun padang seperti para sahabat' yang menjuangkan kalimah dan agama Allah. Yang bercakap begitu ramai, tetapi di mana telinga-telinga' apabila diperlukan?

Peranan ini tidak harus dimainkan oleh masjid-masjid sahaja. Malah pusat pendidikan agama swasta juga dapat memainkan peranan kerana ramai remaja menimba ilmu di institusi tersebut.

Dari sini, kita harus memulakan acara memancing' dan mendidik mereka tentang kepentingan memilih teman agar mereka dapat menjadi DUTA di kalangan mereka sendiri. Teman bukan untuk hari ini dan esok, tetapi untuk selama-lamanya.

Nota: Penulis adalah Perunding Motivasi Remaja Kaunselor/ Penceramah Tetap NPC-OLMS@ Focus Consultancy & Motivation Services.


Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title