Aug 2, 2010

Melayu itu Islam jauhkan orang kepada Islam

Kelicap Kunyit     

Perkataan "Islam" di Malaysia sudah menjadi sinonim dengan Melayu. Jadi isu yang melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam terus dikaitkan dengan persoalan "melayu vs bukan melayu". Sebagai contoh, sudah menjadi amalan norma di negara ini untuk pertubuhan dan NGO Islam berjuang untuk hak-hak seperti quota dalam bidang ekonomi dan pendidikan kepada komuniti Islam seiring dengan pertubuhan dan NGO Cina, India, orang Asli dan lain-lain yang berjuang untuk quota mereka masing-masing. Akibatnya, perkataan Islam disalahtafsir sebagai suatu nama untuk sekumpulan atau serumpun manusia, dan bukan lagi suatu deskripsi cara hidup untuk manusia seperti yang dinyatakan dalam Quran. Dalam erti kata lain, majoriti umat Islam sudah dijangkiti wabak yang melanda penganut Yahudi, iaitu merasakan diri mereka insan terpilih untuk termasuk di dalam kelab atau "kumpulan orang beriman".

Cuba bayangkan, segolongan manusia percaya bahawa Tuhan itu Allah, iaitu yang menciptakan langit dan bumi serta yang memberikan mereka rezeki. Tetapi mereka mempunyai kepercayaan yang songsang bahawa Allah itu mempunyai anak atau sebagainya di atas dunia ini. Tiba-tiba, kita berkata, "Tidak! Kamu tidak boleh mengaku Tuhan yang menciptakan alam ini Allah kerana kamu mempunyai kepercayaan lain yang salah tentang sifat Allah". Di dalam dunia Islam sendiri, terdapat berpuluh-puluh juta orang Islam di Iran, Syria dan Lebanon yang percaya bahawa Saiyidina Ali itu adalah bayangan Allah dan dicipta daripada cahaya Allah dan sebagainya. Golongan Yazidi, Druze dan Alwayiah di Timur Tengah mempunyai pelbagai pendustaan terhadap Allah yang sama teruknya dengan kepercayaan orang Kristian. Lebih teruk lagi, sheikh-sheikh dan ketua agama mereka yang dimartabatkan status ini bukannya seorang nabi jua. Tidak pernah pula kita mendengar sebarang pihak, hatta golongan yang dianggap pelampau atau ekstrime agama termasuk al-Qaeda atau Hizb at-Tahrir atau lain-lain yang cuba melarang golongan minoriti ini menggunakan nama Allah.

Jika benar sekalipun pihak gereja Katholik berniat untuk mengelirukan orang Melayu, saya ingin bertanya, bolehkah kita mempunyai undang-undang untuk melarang orang lain menggunakan nama Allah hanya kerana kita berpendapat mereka berniat untuk mengelirukan kita? Apakah mempunyai basis untuk mempunyai undang-undang melarang orang lain menggunakan nama Allah kerana bimbang kita ia boleh mengelirukan kita? Saya rasa negara yang menggubal undang-undang kerana "takut ia boleh mengelirukan" ialah sebuah negara yang teruk dan sedang menuju keruntuhan. Ini kerana undang-undang hanya digubal berdasarkan kepada prinsip keadilan. Melarang gereja Katholik menggunakan perkataan Allah melanggar prinsip dalam agama Islam dan juga Perlembagaan. Mungkin benar pihak gereja ingin mengembangkan pengaruh mereka di Malaysia, tetapi ia melanggar ajaran Quran dan juga melanggar perlembagaan untuk menyekat mereka menggunakan nama Allah di dalam merujuk kepada Tuhan.

Saya berpendapat memberi definisi kepada istilah Melayu sebagai penganut Islam seperti yang dilakukan di Malaysia telah menjauhkan masyarakat bukan Islam daripada agama Islam. Kenapa agama lain seperti Kristian begitu senang diterima oleh orang-orang Cina, India dan penduduk pribumi di Sabah/Sarawak berbanding agama Islam? Di dalam sejarah Islam, kita melihat bagaimana penduduk di Afrika Utara dan tanah bekas jajahan Roman begitu ramai memeluk Islam selepas pemerintahan bertukar kepada orang Islam. Mereka tidak mempunyai masalah dengan panggilan nama kepada Tuhan. Malah umat Islam pada zaman tersebut dianggap sebagai masyarakat 'civil' seperti mana dunia hari ini melihat negara EU dan sebagainya. Afrika Utara (Mesir dan Morocco) dan juga negara seperti Lebanon, Syria, Jordan dan Palestin pada hari ini pada asalnya adalah majoriti Kristian dan juga Yahudi. Apabila kekuasaan beralih kepada orang Islam, masyarakat mereka memeluk Islam tanpa sebarang paksaan. Minoriti Kristian dan Yahudi pada hari ini di negara-negara tersebut adalah keturunan penduduk mereka yang pra zaman sebelum kedatangan Islam.

Kenapakah begitu sukar orang bukan Melayu di Malaysia menerima Islam? Ini berlaku walaupun mereka akan mendapat faedah seperti dianggap bumiputra dan sebagainya. Pada pandangan saya, masyarakat bukan Melayu tidak tertarik kepada Islam kerana mereka nampak ketidakadilan yang dilakukan oleh kita di atas nama agama Islam. Kerana itulah orang Cina di Singapura lebih senang untuk didakwah kepada agama Islam berbanding orang Cina di Malaysia. Sebenarnya tamadun yang paling friendly dan tidak mempunyai masalah dengan Islam ialah tamadun Cina. Ini kerana faktor sejarah. Orang-orang Islam ramai yang diberi jawatan tinggi dan diberi kepercayaan di dalam sejarah kerajaan negara Cina. Malangnya, akibat daripada isu perkauman yang ditimbulkan di negara kita, orang-orang Cina di Malaysia sudah mempunyai pandangan yang kurang tepat tentang ajaran Islam.

Saya percaya, melarang orang bukan Islam menggunakan nama Allah akan menjauhkan lagi mereka daripada agama Islam. Adalah tidak adil dan bercanggah dengan prinsip keadilan untuk melarang mereka menggunakan nama Allah kerana "bimbang orang Melayu akan terkeliru"

harakahdaily.net 

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title