Nov 22, 2011

Taking Knowledge of Islam from Internet - Be careful, Mengambil Ilmu Islam dari Internet - Berhati-hatilah

Berhati-hati Terhadap " Google Sheikh "
Beware of " Google Sheikh "


LUNGSUR DENGAN WASPADA: Jika mendapatkan pandangan hukum dalam Islam
kita harus lebih teliti. Kalau kurang jelas, mintalah pandangan ustaz atau orang yang diyakini
Foto TUKIMAN WARJI

Mufti: Internet merupakan antara cabaran institusi fatwa
20 Nov 2011

ANDA ada kemusykilan agama lalu mengketik kibod komputer mencari jawapan di Internet. Namun bolehkah jawapan yang ditemui itu dijadikan sandaran?

Nasihat Mufti, Dr Mohamed Fatris Bakaram ialah: Hati-hati.

'Ini kerana dalam Google, dalam Internet, kalau kita boleh jumpa 1,000 pandangan tentang masalah dalam hukum, ketahuilah bahawa bukan 1,000 itu orang yang layak sebenarnya. Entah apa latar belakang mereka kita tidak tahu.

'Jangan pelik jika ada pelajar madrasah menengah satu atau dua boleh juga menjawab dalam blog atau Facebook kerana mereka ada kitab dan boleh berbahasa Arab sedikit.

'Kalau kita tahu dia hanya pelajar menengah, adakah kita akan jadikan itu pegangan kita?

'Kalau pandangan itu pula dari tempat lain, seperti dari England, dan mendapati jawapannya 'boleh tahan', kita masih perlu hati-hati kerana kita tidak pasti kelulusannya, mungkin dia Baru belajar sedikit.

'Apabila mendapatkan pandangan hukum, kita harus lebih teliti. Kalau tidak berapa jelas, jumpa ustaz atau orang yang kita yakini, terangkan hasil pencarian kita dan minta pandangannya supaya ia jelas dan meyakinkan,' kata Dr Fatris.

Beliau berkata demikian semasa menjawab satu soalan di akhir ceramah mengenai Fatwa anjuran Alumni Madrasah Aljunied Singapura (Almas) baru-baru ini.

Menurutnya, antara cabaran institusi fatwa hari ini ialah Internet. Namun, ini tidak semestinya negatif dan boleh ditangani menjadi positif.

'Daripada Internet, masyarakat boleh mendapat pandangan daripada siapa sahaja. Dalam satu wawancara, saya telah katakan bahawa kita ada mufti paling besar di dunia, iaitu 'syeikh Google' sebab kita tanya apa jua, kita boleh dapat pandangan.

'Persoalannya ialah apakah kita boleh ikut pandangan-pandangan itu? Bagaimana jika pandangan itu tidak sama dengan pendapat Jawatankuasa Fatwa yang rasmi?' ujarnya.

Beliau akur bahawa masyarakat Islam di sini telah melalui proses persekolahan yang membentuk kematangan fikiran, boleh membaca, membuat pertimbangan, memilih dan membuat keputusan.

'Cuma jangan pilih jawapan kerana nafsu - sengaja mencari yang paling ringan,' ujar beliau.

Dr Fatris juga menjelaskan fatwa di Singapura dikeluarkan secara jama'i (kumpulan), dengan tanda tangan Mufti agar meyakinkan.

'Ia bukan satu pandangan peribadi seorang ustaz tetapi telah dibincangkan dalam satu kumpulan ulama dan tokoh tempatan.

'Tapi jika akhirnya orang tidak mahu ikut, tidak ada masalah kerana kedudukannya tetap satu pandangan hukum - tidak mengikat dan tidak ada kuasa undang-undang.

'Ia berbeza daripada mahkamah kerana apabila hakim sudah membuat keputusan atau menjatuhkan hukuman, ia jadi perintah mahkamah dan mesti dipatuhi,' jelasnya.

Dr Fatris juga menjelaskan proses fatwa dengan mengemukakan contoh fatwa berhubung derma organ.

Fatwa asal pada 1973 tidak membenarkan derma organ. Kemudian pada 1986, fatwa kedua dikeluarkan membolehkan derma ginjal (sehingga mengundang pelbagai reaksi dan pandangan serong mempersoalkan kenapa fatwa diubah).

Menerangkan latar belakang perubahan itu, Dr Fatris berkata dalam 1973, tidak banyak ulama di dunia yang membolehkannya kerana ia satu perkara baru.

Jawatankuasa Fatwa juga berasa maklumat yang ada ketika itu belum meyakinkan. Ia juga belum yakin bahawa prosedur pemindahan organ belum terjamin selamat kerana teknologinya masih baru.

Dalam 1986, muncul Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota). Semua orang secara automatik dianggap sebagai penderma - jika meninggal, ginjalnya boleh diambil - kecuali dia memilih keluar daripada skim itu.

Ketika dirujukkan perkara itu, Jawatankuasa Fatwa meneliti beberapa perkara, termasuk prinsip zaraib (menjangka implikasi/kesan sebelum dan selepas mengeluarkan fatwa).

Ia mendapati bahawa dalam tempoh 13 tahun (1973-1986), kadar kejayaan pemindahan organ adalah tinggi (lebih 90 peratus berjaya) dan banyak institusi ulama dunia telah membenarkan.

Fakta pula menunjukkan orang Melayu/Islam merupakan kadar tertinggi yang dapat sakit ginjal.

Setelah melihat banyak dalil dan prinsip zaraib, derma organ ginjal dimasukkan kepada hukum terkecuali (hanya ginjal, organ lain tidak boleh) dengan bersyarat: orang Islam mengikrarkan derma ginjal, tetapi tidak menyertai Hota secara automatik. Mereka perlu isi borang dan ada dua saksi dekat.

Pada 1990-an, fatwa itu diluaskan merangkumi organ hati, kornea dan jantung kerana tidak ada ubat berkesan bersabit penyakit ini kecuali menerusi pemindahan.

Kemudian pada 2004, berdasarkan maklum balas (1986-2004) tentang kesukaran mendapatkan penderma (kadar penderma tidak meningkat kerana ramai bersedia menderma tetapi sukar mendapatkan waris menandatangani ikrar), sedangkan pesakit Melayu/Islam bertambah, ia diteliti lagi.

'Ini kerana apabila tidak mengikrarkan organ, kita tidak mendapat keutamaan (di senarai paling bawah) bagi mendapatkan derma organ sedangkan kita yang paling memerlukan,' kata beliau.

Setelah meneliti pelbagai aspek, fatwa 2004 membolehkan masyarakat Islam disertakan dalam Hota (jadi penderma automatik, tetapi masih boleh keluar jika memilih demikianh).

'Ia masih tidak memaksa, tetapi memudahkan.

'Tetapi, jika suatu masa nanti ada ubat yang terbukti memang berkesan (bukan sekadar andaian) tanpa perlu pemindahan organ, fatwa boleh berubah lagi,' jelas Dr Fatris.

Syiar

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title