Nov 15, 2011

Sifat 20 benteng Ilmu Songsang - cerita pendek

Seorang bercerita tentang mengenal Allah. Katanya untuk mengenal Allah, kita mesti mengenal diri, barulah boleh kita mengenal Allah. Ayat ini biasa didengari.

Katanya lagi, tujuh sifat yang Allah ada kita pun ada. Allah melihat kita pun melihat, Allah mendengar kita pun mendengar. Allah berkata-kata, kita pun berkata-kata, siapa kita ? Nauzubillah ( نعوذ بلله )nak kata kita Tuhan. Terus saja dengan pertanyaan sebelum dia sendiri menghabiskan ceritanya tentang baki dari 7 sifat yang disebutnya tadi.

Sambungnya lagi, ini bukan Ilmu Taslim, nampak saja macam ilmu taslim, banyak orang tidak faham tentang ilmu ini, berdosa sesiapa yang tidak tahu, ujarnya lagi bersungguh-sungguh. Saya cuma berdiam diri, tentang ilmu taslim itu pun pertama kali saya mendengarnya.

Malam-malam berikutnya sebaik sahaja saya berehat untuk mengambil angin malam selepas dari "dinner" dia datang dan terus mengulang-ulang ceritanya itu. Setiap kali itu juga dia akan mengakhirinya dengan pertanyaan; Siapa kita ? Nauzubillah nak kata kita Tuhan.

Cuma selepas beberapa hari mengulang-ulang cerita yang sama, dia menambah dengan satu persoalan. Kenapa Tuhan perintahkan para malaikat dan iblis sujud kepada Nabi Adam sewaktu Nabi Adam dicipta dahulu. Kali ini saya menjawab dengan pasti, saya tidak tahu.

Dia terus saja menyambungnya, apa yang ada didalam tubuh Adam ? dan kerana itulah diperintahkan  para malaikat sujud kepada Adam. Para malaikat sudah dapat melihat apa yang ada di dalam tubuh Adam itu maka mereka sujud cuma iblis sahaja engkar untuk sujud kerana iblis tidak mengetahui hakikat kejadian Adam hingga tubuh yang asalnya dari tanah itu dapat bergerak dan hidup.

Di saat ini hati saya mula cuak, dalam hati berkata juga, apa yang "brother" ni nak sampaikan sebetulnya.

Kemudian diulangnya kembali, tujuh sifat yang Allah ada kita pun ada. Allah melihat kita pun melihat, Allah mendengar kita pun mendengar. Allah berkata-kata, kita pun berkata-kata, siapa kita ? Nauzubillah nak kata kita Tuhan. Cuba kau fikir, tiba-tiba dia melemparkan pertanyaan kepada saya.

Saya diam tidak berkata apa. Takut pun ada, lain macam rasanya ilmu yang disampaikannya itu.

Malam berikutnya, sebelum sempat dia bercerita panjang, saya pun bertanya. Apa yang dimaksudkan dengan ayat yang selalu diulangnya itu, Nauzubillah nak kata kita Tuhan. Dia tidak terus menjawapnya, diulangnya kembali cerita tentang 7 sifat yang Tuhan ada, kita pun ada itu.

Akhirnya saya mula memahami yang tersirat dari setiap ceritanya itu.

Dia tidak akan menyimpulkan ceritanya itu. Apa yang diharapkannya ialah agar saya memikirkannya sendiri dan keluar dengan kenyataan yang saya bersetuju dengan apa yang dia maksudkan itu. Selepas dari itu baharulah dia akan berterus terang. Itu cara dia berdakwah, saya menyimpulkan berdasarkan agakan saya sendiri.

Dengan izin Tuhan, akhirnya saya benar-benar faham akhirnya. Sebelum dari itu saya juga bertanya kepada kawan-kawan yang juga telah didekatinya dengan ceritanya itu. Malah ada yang telah terjebak dengan fahaman yang cuba diterapkan olehnya itu.

Mereka yang mengikuti cara ilmunya itu pula mula meninggalkan solat kerana mengikut penerangan yang saya difahamkan,cukup hanya dengan berniat untuk solat tanpa perlu kepada perlakuan solat itu sendiri. Ini kerana pada hujahnya, segala-gala yang ada di dalam Quran ada di dalam Surah Al-Fatihah, segala-gala yang ada di dalam surah Al-Fatihah ada di dalam bismillah. Segala-gala yang ada di dalam bismillah itu ada di dalam huruf Ba ( ب ) di permulaan bismillah itu sendiri.

Dada kita pula berbentuk huruf Ba jika diamati betul-betul dan jika kita rasa dengan jari dibawah sedikit dari bahagian tengah dada di bawahnya terdapat seperti tulang yang berbentuk bulat (pada rasa sentuhan)dan itulah titiknya huruf Ba itu. Sebab musabab kenapa kita hanya perlu berniat tanpa melakukan solat itu dengan perbuatan.

Beberapa ketika berdiam diri, saya pun bertanya. Hendak tanya sikit boleh ? Kenapa abang sebut sifat Tuhan yang tujuh itu saja, bukankah Tuhan itu sifatnya juga Mukhalafatuhu lilhawadith ﻣﺨﺎﻟﻔﺘﻪ ﻟﻠﺤﻮﺍﺩﺙ iaitu bersalahan dengan yang baharu, cakap mudahnya sifat Tuhan berbeza dengan makhluk ciptaanNya.

Kita mendengar, Tuhan mendengar tetapi pendengaran kita terbatas sedangkan Tuhan maha mendengar, tiada terbatas pendengaran Tuhan itu, tidak seperti kita. 

Kelihatan dia terkejut dengan pertanyaan dan sedikit penerangan dari saya itu.

Saya terus menyambung, memang benar Tuhan ada berkata
" Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya"

tetapi Tuhan juga ada berkata
" Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja"

Dia terdiam dan saya lihat wajahnya kemerah-merahan. Mungkin selama dia bercerita dan menghebahkan ilmunya itu tiada pula yang membantah.

Berkaitan solat hanya perlu berniat sahaja tu, saya biasa dengar ustaz cakap, nabi Muhammad s.a.w solat malam sampai bengkak-bengkak kakinya dan kita pula umatnya hanya perlu berniat sahaja pula. Pelik pula rasanya.

Terasa di hati saya yang dia tidak berapa mendengar apa yang baru saya katakan itu tadi kerana dia sudah pun berdiri dan mendongakkan wajahnya melihat ke langit. 

Kau sudah makan, terus saja dia bertanya. Abang lapar la pula, esok kita sambung lagi ye dan dia terus bangun berjalan meninggalkan saya.

Malam esoknya dia sampai agak lewat dan dia mula bersembang tentang pengalamannya bekerja dan tidak lagi tentang ilmu mengenal dirinya itu.

Memandangkan sedikit hujah telah berjaya mematahkan dakwah songsangnya itu, saya kemudiannya bertemu dengan kawan-kawan dan bercerita dengan fakta yang sama. Harapan saya semoga mereka tidak berterusan berada di jalan yang mereka rasakan betul sedangkan hakikatnya songsang.

Wallahu'alam.

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title