Dec 7, 2011

Tersungkur di pintu Ilmu

Tulisan ini hanyalah nukilan saya sendiri, seeloknya tidak diambil pedoman darinya.

Bermula cerita sewaktu saya masih di alam kanak-kanak dahulu, kerap juga saya bertanya kepada bapa saya tentang hukum dan ilmu Islam yang secara tiba-tiba menjadi begitu musykil dan mendatangkan perasaan susah hati apabila berlaku sesuatu kepada diri saya.



Apabila pulang dari kebun sawit, saya kerap susah hati kerana sewaktu memunggut buah lerai di keliling pokok sawit (kelapa bali) kerapkali terdapat bekas kubang babi. Tentunya saya terpaksa memijak bekas-bekas kubang babi itu untuk memunggut buah lerai yang biasanya bertaburan di sekeliling pokok sawit.

Sebaik sahaja sampai di rumah saya akan terus ke belakang rumah, mengali tanah untuk menyamak tangan dan kaki saya. Begitulah selalunya berlaku hinggalah suatu hari saya bertanya kepada bapa saya, pak kena samak ke kalau terpijak bekas kubang babi. Bapa saya memberikan jawapan yang saya pegang hingga kini dan sejak dari itu tiadalah lagi rasa susah hati dan gundah gulana setiap kali saya pulang dari menolong bapa saya di kebun sawit.

Kata bapa saya, tengok dulu, ada ain najis babi atau bulu babi ke tidak di kubang babi yang kita pijak atau di tanah yang terkena tangan kita itu. Jika tiada tak perlulah kita samak, kerana bekas tanah yang dilanyak oleh babi itu tidak mendatangkan najis kepada tangan atau kaki saya yang terkena olehnya.

Bila saya sedikit dewasa, terjumpa pula oleh saya dari keratan surat khabar di ruangan soal jawab agama. Najis atau tidak air liur orang yang makan babi dan jika terkena tangan kita adakah tangan kita juga di kira terkena najis.

Jawapan yang diberikan ialah tidak dikira najis air liur orang yang makan babi dan tangan kita tidak dikira terkena najis sekiranya tiada ain babi di dalam air liur orang tersebut. Maksudnya yang mendatangkan najis kepada tangan kita ialah cebisan daging babi itu kalau ada, bukannya air liur orang yang makan babi itu sendiri andai ianya terkena tangan kita. Mungkin persoalan ini timbul bila ada yang meludah atau bercakap hingga terpercik air liurnya itu.

Sewaktu belajar di sekolah agama, ustaz menyatakan seperti mana yang saya faham terdapat jenis-jenis najis yang di maafkan. Maksudnya ianya masih najis tetapi dengan rahmat Allah ianya di maafkan jika tidak tentulah ianya akan mendatangkan kesukaran yang amat sangat kepada kita hambaNya. Contohnya air yang terpercik di kaki sewaktu hujan di jalan raya. Kita semua tahu berbagai-bagai najis yang mungkin terdapat di jalanraya atau di jalan tanah merah dan sebagainya. Di tempat terbuka sebegitu, tentunya haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, ayam dan burung-burung bisa melepaskan hajat mereka di mana-mana bahagian jalan  yang mereka rasakan selesa untuk berbuat begitu.

Bayangkan sewaktu menaiki motor atau berbasikal untuk solat jumaat, hujan pula turun dan jalan mula basah. Sebaik sahaja sampai di masjid, kaki atau betis kita di penuhi percikan air dari tayar motor atau basikal yang kita naiki tadi. Mentelah pula, di perjalanan tadinya, kelihatan kawanan anjing berlari-lari menyelamatkan diri dari basah hujan. Andai kita tidak mengerti dan memahami akan hukum feqah tentang najis, tentu akan buat kita dalam delima. Silap haribulan kita pun pulang disebabkan perasaan kita mula cuak dan was-was tentang hukum samada najis atau tidak percikan air itu tadi. Mungkin hati kita mula bertanya, najis berat ke najis ringan ni.

Syukurlah, disebabkan di waktu itu tahu dengan pasti tentang ilmu berkaitan najis, terus saja membasuh kaki seperti biasa dan melakukan solat jumaat tanpa was-was.

Andai ada yang bertanya tentang masalah yang sama, rasanya bolehlah dikhabarkan akan hukumnya dengan yakin, ini katogeri najis yang di maafkan. Kita selamat dan kawan kita juga selamat, tidak perlu pulang ke rumah untuk menyamak kaki yang terkena percikan air sewaktu kita di lintasi oleh anjing yang berlari menyelamatkan diri dari hujan itu tadi.

Ada waktunya, sewaktu masih kanak-kanak, sewaktu melangkah dari bilik air untuk solat fardhu, tiba-tiba kaki terpijak tahi cicak. Hati mula rasa nak marah pada cicak kerana terpaksa mengambil air sembahyang semula di sebabkan terpijak tahinya. Bila saya bertanya kepada bapa, batal ke tidak pak, air sembahyang kalau terpijak tahi cicak. Bapa saya spontan menjawab soalan saya dengan soalan. Apa dia perkara-perkara yang menbatalkan air sembahyang. Saya pun terus menyebutnya satu persatu. Dan bapa bertanya lagi, ada ke tidak disebut kena tahi cicak batal air sembahyang, saya pun terus tersenggeh.

Di saat begini, terasa di hati saya begitu mudahnya saya menyelesaikan ke keliruan atau tidak faham tentang hukum agama jika saya memiliki ilmu tentangnya.

Dalam ilmu berkaitan feqah, semuanya telah tersedia, orang dulu-dulu termasuk Imam Mazhab yang empat itu dan ulama-ulama muktabar seperti Imam Al-Ghazali telah mengupas dan menyusun semuanya dari ilmu Quran dan hadis yang  mereka memang menghafal dan memahaminya untuk kemudahan kita.

Persoalannya, samada kita tahu dengan pasti, samada kita sudi atau tidak untuk mempelajarinya jika kita tidak tahu. Tidak perlu bagi kita untuk pening-pening kepala mendengar cakap orang itu dan cakap orang ini tentang sesuatu permasalahan hukum yang mana sesetengah dari mereka mengetahuinya hanya mendengar dari ceramah agama, bukannya di pelajari secara berguru atau membaca dengan faham dari kitab kitab muktabar atau bertanya secara berinteraksi dengan ustaz atau guru-guru agama yang bertauliah.

Ilmu meninggikan darjat manusia bukan mengelirukan fikiran hamba, begitulah sepatut adanya.

Begitulah pentingnya mengetahui dan mempelajari sendiri ilmu dengan kefahaman kepada prinsip dan kaedah menghukum agar kita tidak mudah terikut-ikut hukum dari ceramah agama yang tiada kepastian dalam hujah dan sandarannya terutama pada perkara yang boleh di katogerikan sebagai "baru" yakni tidak pernah kita dengar sebelumnya.


Berhati-hati memang perlu dalam mengambil ilmu, namun seperti barang yang hilang di mana ketemu wajarlah dikutip ilmu itu. Cuma tentunya harapan kita semua, sewaktu orang lain berjalan dengan ilmu yang  yakin di dada, janganlah pula kita tersungkur dengan ilmu yang tiada pasti hakikat hukumnya pula.

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title