Mar 12, 2012

Telitilah Solatmu Oleh Dr Juanda Jaya - Mufti Perlis

Menurut riwayat Ibnu Majah dan Imam Ahmad, Rasulullah SAW memberikan wasiat yang terakhir sebelum Baginda wafat dengan katanya yang bermaksud: “Sembahyang…., sembahyang…. dan tunaikanlah kewajipan terhadap hamba-hamba yang kamu miliki.”

Mengapa Rasulullah SAW masih mengingatkan para sahabatnya tentang sembahyang? Padahal mustahil di kalangan mereka ada yang melalaikannya. Maksud yang tersirat dari kata-kata kekasih yang amat mengasihi umatnya itu sebenarnya terlalu mendalam. Walau apapun nama dan gelaran kita, kedudukan dan pangkat, tahap ilmu dan amal ibadat kita, hendaklah kita sentiasa perbaharui dan selidiki kesempurnaan sembahyang kita. Tidak semestinya seorang alim ulama telah lulus dari ujian sembahyangnya. Kerana setiap manusia dicipta dengan potensi ‘kelalaian’ yang tak pernah akan hilang dari kehidupannya. Manakala salah satu sifat orang beriman yang bijaksana adalah dia sentiasa merasa dirinya lalai dan kurang sempurna. Berbahagialah bagi mereka yang masih ‘sedar diri’ di atas segala kelemahannya.

Setelah bertahun-tahun mengerjakan sembahyang, kadang-kadang kita merasa terlalu hebat hingga dapat menghabiskannya tak sampai lima minit. Kerana terlalu mudah, ringan dan senang akhirnya sikap mempermudah-mudah dan meremehkan sembahyang menjadi kebiasaan. Padahal jika anda mendengar cerita Saidatuna Aisyah RA: ”Rasulullah SAW bersembang-sembang dengan kami, ketika datang waktu sembahyang, maka seolah-olah Baginda SAW tidak mengenal kami dan kamipun tidak mengenal Baginda.” Anda akan mengerti betapa beratnya perkara sembahyang ini, yang telah merampas segala perhatian keluarga Rasulullah SAW daripada urusan duniawi.

Begitulah khusyuk yang diajarkan Baginda SAW, langsung tidak mempedulikan dunia ketika waktu sembahyang datang. Mengapa pula kita berat sangat meninggalkan keindahan dunia yang menyihir dan memukau? Pernahkah anda merasa diperhamba oleh kerjaya, perniagaan, isteri dan anak-anak? Betapa tertekannya hidup kita jika masa yang ada tak cukup untuk menjaga segala yang kita miliki. Berkejar ke sana ke mari kerana tanggungjawab yang mesti dipenuhi. Hingga perasaan tertekan itu sampai ke kemuncaknya apabila urusan akhirat dilupakan, ketika Allah SWT tiada lagi dirasai kehadirannya pada setiap pergerakan. Saat itu kita sebenarnya telah terlempar jauh dari orbit iman, melayang-layang di semesta kesibukan dunia yang mematikan hati dan perasaan sebagai hamba Allah.

Bersikaplah seimbang dan adil dalam setiap tindakan. Dunia dan akhirat kedua-duanya sama penting. Akhirat tak akan dapat diraih jika dunia tidak digenggam. Telitilah setiap saat yang berlalu dalam sembahyang kita sepertimana anda meneliti buku kira-kira harta dan saham yang ada. Bila anda temui dalam dua jam berniaga mendapat keuntungan berlipat ganda, adakah anda pasti sembahyang yang tak sampai dua puluh minit itu dapat memberatkan timbangan amal anda di akhirat?

Sungguh berat urusan sembahyang ini. Para sahabat Rasulullah SAW menjaga sembahyang mereka melebihi penjagaaan mereka terhadap harta dan dunianya. Sehingga Saidina Umar bin al-Khattab RA ketika beliau ditikam hingga rebah berlumuran darah sewaktu sembahyang. Walaupun telah bermacam-macam ubat digunakan untuk menyedarkannya, tak juga berhasil, akhirnya seorang sahabat menemukan ubat yang paling mujarab iaitu dengan satu kalimah sahaja. Katanya: “Wahai Umar. Telah datang waktu sembahyang.” Umar terus bangkit dan bertakbir tanpa mempedulikan sakitnya.

Bahkan beliau pernah berpesan kepada para sahabatnya: “Jika kalian melihat seseorang menyia-nyiakan sembahyangnya, maka demi Allah pasti dia akan lebih menyia-nyiakan urusan yang lainnya.”

Ada beberapa tingkatan kesempurnaan sembahyang, iaitu:
1. Orang yang sembahyang tetapi tidak sempurna, wuduknya, syarat dan rukunnya, hatinya lalai.
2. Orang yang sembahyang, sempurna wuduknya, syarat dan rukun tetapi dia terlalu was-was dalam hati sehingga mengganggu kekhusyukan sembahyangnya.
3. Orang yang sempurna wuduk, syarat dan rukun. Amat bermujahadah melawan perasaannya supaya terus-menerus khusyuk.
4. Orang yang bukan hanya sempurna ilmu sembahyangnya tetapi ia mampu meletakkan hatinya di hadapan Allah, seolah-olah melihat-Nya, merasai keagungan-Nya sehingga dinding pemisah antaranya dengan Allah telah terangkat. Komunikasi terjalin dan segala bentuk was-was musnah kerana ia terlalu sibuk bersama dengan Tuhannya. Tiada rasa takut kehilangan khusyuk, semuanya berjalan dengan lancar dan tiada gangguan lagi.

Peringkat-peringkat ini akan dirasai oleh setiap hamba bergantung kepada ilmu dan mujahadahnya. Jika anda dahulu pernah sampai pada peringkat keempat cubalah teliti hari ini mungkin anda sudah jatuh ke beberapa tangga, anda terpaksa mendaki lagi sehingga Allah SWT reda dengan usaha kita.

oleh  Oleh Dr Juanda Jaya - Mufti Perlis

Sumber : Drjuanda.com
photo edited by IslamBrowser

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title