Jun 4, 2012

Hawa Nafsu dan Panjang Cita-Cita - Kesannya

بسم الله الرحمن الرحيم


 عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَتَخَوَّفُ عَلَى أُمَّتِي الْهَوَى وَطُولُ الْأَمَلِ فَأَمَّا الْهَوَى فَيَصُدُّ عَنِ الْحَقِّ وَأَمَّا طُولُ الْأَمَلِ فَيُنْسِي الْآخِرَةَ وَهَذِهِ الدُّنْيَا مُرْتَحِلَةٌ ذَاهِبَةٌ وَهَذِهِ الْآخِرَةُ مُرْتَحِلَةٌ قَادِمَةٌ وَلِكُلِّ وَاحِدَةٍ مِنْهُمَا بَنُونَ فَإِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ لَا تَكُونُوا مِنْ بَنِي الدُّنْيَا فَافْعَلُوا فَإِنَّكُمْ الْيَوْمَ فِي دَارِ الْعَمَلِ وَلَا حِسَابَ وَأَنْتُمْ غَدًا فِي دَارِ الْآخِرَةِ وَلَا عَمَلَ‏.‏ - البيهقي

Dari Jabir r.a., Nabi s.a.w, bersabda: "Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku bimbangkan terhadap umatku ialah hawa nafsu dan panjang cita-cita, kerana hawa nafsu itu menghalang daripada menerima kebenaran dan panjang cita-cita pula melengahkan amalan akhirat. Dan ingatlah dunia ini pada setiap saatnya berjalan pergi, dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang, sedang tiap-tiap satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya: Oleh itu kalau kamu dapat menahan diri daripada menjadi orang-orang yang kasih dan setia kepada dunia maka buatlah, kerana kamu pada hari ini berada di kampung yang ada padanya peluang untuk kamu beramal dan belum ada sebarang hisab dan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tidak ada peluang bagi sebarang amal."
- Al-Baihaqi

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menjelaskan, mengapa hawa nafsu dan panjangnya cita-cita itu merupakan perkara-perkara yang sangat dibimbangkan oleh Baginda s.a.w., terhadap umatnya? Menurut penjelasan Baginda s.a.w.: Hawa nafsu itu menghalang seseorang daripada menerima dan mengikut kebenaran yang menjadi syarat mutlak bagi mencapai keselamatan, manakala panjang cita-cita pula menyebabkan seseorang mencuaikan soal-soal akhirat yang semestinya diutamakan.

Baginda s.a.w., menyatakan lagi bahawa dunia ini sentiasa berjalan pergi, sedang akhirat sentiasa berjalan datang, dan kerana itu tiap-tiap seorang jangan mengutamakan dunia yang sedang berjalan pergi, bahkan hendaklah sungguh-sungguh berusaha mengerjakan amal bakti kerana dunia ini dijadikan Tuhan untuk orang mukmin bertaqwa dan mengambil bekal untuk akhirat - tempat yang tidak ada peluang padanya bagi seseorang beramal, bahkan ada padanya hisab dan balasan.

Sayugia disebut bahawa segala usaha manusia untuk faedah dirinya, anak pinaknya, kaum keluarganya, masyarakatnya dan negaranya semuanya itu termasuk dalam amal bakti yang menjadi bekal seseorang untuk kebaikannya pada hari akhirat, asalkan semuanya itu diusahakan dan dijalankan dengan bersih suci dan tidak menyalahi ajaran syarak serta dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah yang maha limpah rahmat-Nya.

Dengan penjelasan dan keterangan hadis ini nyatalah bahawa hawa nafsu yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w., itu ialah hawa nafsu yang menyalahi kebenaran bukan yang mematuhi kebenaran dan bahawa panjangnya cita-cita yang dibimbangkan oleh Baginda s.a.w., itu ialah yang meleka dan mengabaikan amal akhirat bukan yang bertujuan menyempurnakan amal-amal yang diredhai Tuhan.

Dengan yang demikian, maka sebarang rancangan kemajuan dan kebajikan yang diatur dan dijalankan oleh seseorang, atau sesebuah badan, atau negara, tidaklah termasuk dalam perkara yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w.: Asalkan rancangan-rancangan itu dan orang-orang yang menjalankannya tidak menyalahi kebenaran yang ditetapkan oleh syarak dan tidak pula amalan akhirat dilalaikan dan diabaikan dengan sebab rancangan-rancangan itu dijalankan.
- sedutan dari -

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title