Oct 1, 2012

Nasihat Mufti Perak - Jangan Taksub Parti Politik - Sinar Harian


Mufti Perak: Beza pendapat OK, tapi jangan taksub parti politik


NURUL AINI MOHAMED ALI 30 September 2012

SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menasihatkan umat Islam negara ini tidak terlalu taksub dengan parti politik masing-masing bagi mengelak perpecahan ummah.

Katanya, umat Islam negara ini semakin menjurus kepada perpecahan, hanya kerana berbeza parti politik.

"Tiada masalah jika berbeza pendapat mengikut parti politik masing-masing, tetapi apa yang tidak dibenarkan dalam Islam ialah jika pengikut sesebuah parti politik itu terlalu taksub, itu yang tidak boleh," katanya pada program Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah di sini, hari ini.

Beliau yang pernah menggerakkan usaha kerjasama politik Pas dan Umno susulan Pilihan Raya Umum 2008 berkata demikian ketika menjadi panel sesi "Bahaya Ketaksuban".

Beliau menambah, apabila umat Islam sendiri mula mencipta puak mereka sendiri di kalangan masyarakat, perpecahan ummah pasti berlaku.

"Bagi membentuk sebuah masyarakat harmoni, perpaduan ummah cukup penting," katanya.

Pengerusi Yayasan Darul Hanan, Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dasuki yang juga ahli panel turut bersetuju dengan kenyataan Harussani.

Menurut Asyraf, umat Islam negara ini mestilah sentiasa bersikap sederhana dan berpada-pada jika melibatkan diri dalam parti politik.

"Tidak salah jika berbeza parti politik, tetapi jangan sampai meletakkan keutamaan parti melebihi agama kita sendiri," tegasnya.

Tambah beliau, biarlah berbeza parti politik sekalipun asalkan umat Islam negara ini tetap bersatu agar masyarakat kekal harmoni.

sinarharian.com

Renung-renungkanlah ... apakah kita ini golongan para taksuban atau pun ahli fikir yang bersandarkan ilmu dan kebenaran agama dalam mencarap hala tuju emosi dan keegoan dalam berpolitik.

Amat wajar untuk direnungkan kerana sejarah sendiri menjadi bukti, emosi dan keegoan para-para taksuban sememangnya antara faktor yang telah meruntuhkan kesejahteraan mahu pun membina kemuliaan umat tanpa direncanakan.

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title