Nov 26, 2012

Buku Harta Yang Tak Pernah Habis - Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis

Artikel Mufti

Buku, Harta Yang Tak Pernah Habis
Oleh : Dr Juanda Jaya ( Mufti Perlis )


Musibah akan menimpa diri manusia jika akal dan hatinya tidak diaktifkan dengan membaca. Kejumudan akan berlaku dan akibatnya diri akan sibuk dengan kejahilan yang diciptakan sendiri. Suka berhibur, panjang angan-angan, malas berusaha, hati dan fikiran kosong dan matlamat hidup menjadi kabur. Miskin ilmu, namun kaya nafsu menyebabkan manusia melarat jiwa dan raga.

Buku adalah harta yang tak pernah habis. Ia ibarat kunci untuk membuka otak dan memandunya ke arah nasihat. Banyak membaca membuat lidah petah, hati lapang dan fikiran terang. Buku adalah hiburan ketika kita bersendirian, teman berdialog dan penawar hati yang sedih. Semakin sering membaca, mengulang, mengkaji dan menghafal, maka semakin berbuahlah ilmu, ranum dan manis terasa manfaatnya untuk manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Kelebihan orang yang berilmu ke atas ahli ibadat adalah sama seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah tarafnya di antara kalian (sahabatku), sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya, penghuni langit dan bumi termasuk semut di dalam lubangnya dan ikan di perut lautan pula sentiasa berselawat kepada orang-orang yang mengajarkan ilmu yang bermanfaat kepada manusia.” Hadis riwayat Imam al-Tirmizi.

Syaitan yang menebarkan racun kepada ahli ibadat dengan mudah akan merosakkan amal yang mereka lakukan kerana amal tanpa ilmu menjadi sia-sia. Sedangkan ahli ilmu yang mengamalkan ilmunya menjadi musuh syaitan yang terlalu kuat kerana ilmu ibarat benteng yang terbuat dari besi waja yang kukuh.

Antara faedah ilmu menurut al-Imam Ibnu Hazm dalam kitabnya Mudawat al-Nufus ialah menghindarkan bisikan syaitan dan menghilangkan kesedihan. Kesedihan itu bersarang di dalam hati yang gelap, iaitu hati yang tiada cahaya ilmu. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkan.” Surah al-Maidah: Ayat 15.

Jika hati ditimpa kesusahan, ambillah ubat penawar daripada lautan ilmu, kitab yang mengandungi khazanah langit dan bumi, dunia dan akhirat. Mengapa membawa diri ke tempat yang jauh, jika di dalam sebuah buku kita boleh menikmati perjalanan seluas mata memandang.

Kesusahan yang diderita oleh Abu Hurairah RA ketika menuntut ilmu tidak menyurutkan semangatnya untuk mendampingi Rasulullah SAW. Suatu hari beliau menderita kelaparan yang amat sangat sehingga orang yang melihatnya menyangka beliau mempunyai penyakit sawan. Keadaan umat Islam saat itu terlalu daif, ramai yang menahan lapar selama berhari-hari. Abu Hurairah Ra adalah antara sahabat yang miskin namun dia sentiasa bersama Rasulullah SAW untuk menghafal Hadis. Walaupun hanya empat tahun bergaul dengan baginda SAW (Tahun ke-7H – 11H) namun tiada seorangpun dari kalangan sahabat yang mampu menandingi banyaknya hafalan Abu Hurairah Ra iaitu sebanyak 5374 hadis menurut Ibnu al-Jauzi.

Sesungguhnya kesedihan dan kemiskinan itu ada penawarnya. Ilmu yang bermanfaat membawa kebahagiaan yang hakiki. Berikut adalah kisah perjalanan mencari ilmu oleh ulama hadis yang paling ulung, al-Imam al-Bukhari (lahir 129H). Walau dalam keadaan daif yang dideritai, pada usia 11 tahun beliau telah mula mempelajari hadis. Setelah menghafal hadis dari ulama yang tinggal di kotanya, beliau mengembara ke negeri-negeri yang jauh bersama ibunya kerana sang ayah telahpun meninggal dunia. Walaupun hidup dalam keadaan yatim, beliau terus mencari ilmu hadis hingga ke Balkh, Baghdad, Makkah, Kufah, ‘Asqalan, Hims dan Damsyik. Beliau berkata: “Ketika aku berumur lapan belas tahun, aku telah menghafal fatwa-fatwa daripada para sahabat dan tabiin.” Seorang sahabat beliau pernah berkata: “Al-Bukhari pergi bersama-sama kami belajar kepada seorang guru. Kami semua mencatat hadis-hadis yang kami pelajari namun dia hanya duduk berdiam diri sahaja. Salah seorang menegurnya: “Kamu hanya membuang masamu.” Datang lagi sahabat yang lain menegurnya, hingga beliau marah dan berkata: “Kamu semua telah mengganggu, mari bawakan kesemua catatan kamu.” Sungguh, kami telah mendengar dia menghafal sebanyak 15,000 hadis persis sama banyaknya seperti catatan kami.

Pada masa ini, sumber rujukan ilmu bertambah luas. Buku-buku yang berada di pasaran terlalu banyak, amat senang diperolehi. Tamadun manusia bertambah maju, hanya yang rajin membaca dan sayangkan buku dapat mengejar segala ketinggalan dalam kemajuan ilmu. Membaca adalah ibadat, jika ia boleh menerangi hati dan menundukkan jiwa ke jalan Allah. Dialah Pemilik segala ilmu dan atas setiap mereka yang berilmu itu ada Yang Maha Berilmu.






Antara Artikel yang Perlu diAmati

Panduan Qunut Nazilah Menurut Sunnah Nabi SAW
Kebenaran cinta seorang hamba kepada Allah Taala
Gejala Keruntuhan Moral Generasi Muda Islam
Ciri-ciri tamadun islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang
Anak, menjadi punca turunnya rahmat Allah
Resipi Kejayaan, Bekerja Dengan Hati Yang Bersih
Kualiti Iman Yang Terbaik
Kahwin terpaksa, Punca Suami kata tak cinta
Adab Merawat, Melawat & Pengurusan Pesakit Nazak
Mencari Kebahagiaan di Atas Jalan Redha
Kempen kesedaran tentang fitnah Ahmadiyah Qadiani
Tindakan tegas terhadap filem seram persenda Islam
Mufti: Lambakan filem tahyul, hantu membimbangkan
Lelaki @ wanita, siapa menang siapa kalah ?
Waspada ‘nikmat dan azab’ berkahwin
Membersih Diari Hidup Dari Catatan Dosa
Tangan Siapa Rosakkan Anak Kita?
Al-Qaradhawi: Perubatan Islam, Antara Pengalaman Manusia dan Wahyu Ilahi

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title