Dec 17, 2012

Melayu jangan taksub dengan parti kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria


Melayu jangan taksub dengan parti, kata Mufti Perak 
Tan Sri Harussani Zakaria
Oleh Mohd Farhan Darwis
  
KUALA LUMPUR, 15 Dis — Masyarakat Melayu di negara ini dinasihatkan untuk tidak terlalu taksub dengan parti politik kerana perkara itu bakal memberikan kerosakan kepada perjuangan memartabatkan Islam di negara ini,” kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Harussani menegaskan, meskipun wujudnya dua parti yang mendakwa memperjuangkan Melayu dan Islam seperti Umno dan PAS, selagi kedua-dua parti itu bertelagah, perjuangan memartabatkan Islam tidak akan berlaku.

“Ini keadaan yang berlaku, kemudian kita lihat, kita bertelagah begitu hebat sekali kerana ada dua pertubuhan Melayu.

“PAS dan Umno, kedua-duanya cakap mempertahankan Islam, masing-masing bertelagah, saya seronok kalau dua kumpulan itu bergerak mengembangkan Islam pasti berjaya.

“Tapi mereka bertelagah, tuduh menuduh, kafir mengkafir,” kata Harussani ketika ucaptama merasmikan Persidangan Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa ketiga (Perkasa) di sini.

“Macam mana kita mahu memperjuangkan Islam bila kita bertelagah ... sedangkan Islam sudah kata kita tidak boleh bertelagah sesama Islam,” katanya.

Harussani turut menegaskan, perbezaan pendapat yang wujud seharusnya membawa kemajuan kepada pembangunan Islam, tetapi apabila bertelagah, ia akan menjurus kepada kehancuran.

“Melayu jangan taksub dengan parti, biarlah (wujud) dua parti, percanggahan fikiran akan membawa kemajuan ... tetapi jangan lupa matlamat kita adalah Islam.

“Kalau itu dilaksanakan kita akan berjaya ... namun, apabila taksub kepada parti, kita akan berkerat rotan sesama Islam,” katanya dan menambah, perkara itu mesti dihapuskan.

“Kalau ulama bercakaran, tuduh menuduh sesama sendiri apa jadi?” soalnya lagi.

Harussani sebelum itu turut dianugerahkan Bintang Pahlawan Tertinggi Perkasa Negara oleh Perkasa sebagai menghargai jasa beliau selaku tokoh agamawan terbilang.

Sebelum ini penerima anugerah tersebut adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor selaku tokoh keselamatan, Tan Sri Arsyad Ayub, selaku tokoh pendidikan. 
 

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title