Feb 7, 2013

Mufti - Peringatan tentang Isu Nama Allah

 
 
========================
 
Mufti Kelantan mahu polemik kalimah ALLAH dihentikan
6 Februari 2013

KUALA LUMPUR - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menggesa masyarakat tidak kira apa jua fahaman politik supaya segera
menghentikan perbuatan mempolemikkan isu penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam bagi menjaga kesucian agama Islam.

Katanya, isu itu tidak wajar dimainkan mana-mana pihak secara berterusan memandangkan Islam sudah menetapkan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan orang bukan Islam.

"Misalnya di Kelantan sendiri perkara ini sudah jelas termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 di bawah Seksyen 9 yang mana sudah termuat perkataan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Saya percaya di negeri-negeri lain pun ada enakmen ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Kalau kalimah ALLAH dibenarkan guna dalam Bible versi bahasa Melayu, konteks pemahaman orang Kristian 'Allah' ada anak, sedangkan dalam Islam, ALLAH itu 'Tunggal'.. 'Esa'. Jadi 'keesaan' ALLAH tidak ada dalam konteks kefahaman mereka (orang Kristian). Sanggupkah kita sebagai orang Islam memfitnah tuhan kita sendiri, sedangkan tuhan kita 'tunggal'," katanya.

Mohamad Shukri berkata Islam melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam berdasarkan kaedah 'saatuzariah' iaitu pencegahan daripada terus berlaku benda yang diharamkan Islam.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengenepikan agenda politik masing-masing dan tidak mempersenda agama Islam yang mana politik sepatutnya dijadikan alat untuk memperjuang agama Islam.

Katanya, penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam perlu dicegah secara efektif kerana bakal memberi kesan negatif terhadap pemahaman golongan muda berhubung agama Islam iaitu bahawa Islam sama dengan agama lain sehingga menularnya budaya fahaman pluralisme agama.

"Saya bimbang sekiranya tidak dicegah lebih awal, orang-orang muda yang kurang tahu soal hukum hakam agama Islam, akan berfahaman semua agama sama sahaja nanti," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Shukri memohon kerajaan terutamanya majlis agama Islam bertindak tegas bagi menangani perkara itu dengan cara penguatkuasaan enakmen sedia ada yang berkaitan agama Islam. Bernama

Mufti:
 Kalimah ALLAH hak eksklusif umat Islam
15 Januari 2013

SEREMBAN - Dua orang mufti hari ini menjelaskan bahawa larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan bukan Islam sudah lama diputuskan dan patut dihormati.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah pun memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh agama lain selain Islam pada tahun 2008.

Beliau berkata perlu difahami bahawa undang-undang adalah berbeza antara satu masyarakat dengan masyarakat lain berdasarkan 'uruf' (apa yang disenangi/kebiasaan) dan realiti setempat.

Katanya, prinsip 'siyasah syar'iyyah' (kaedah melaksanakan) sendiri menjadikan 'uruf' dan realiti setempat diguna pakai dalam menentukan hukum syarak dan realiti di Malaysia, sekian lamanya penggunaan kalimah ALLAH digunakan oleh masyarakat Islam.

Justeru, adalah tidak wajar realiti semasa penggunaan kalimah ALLAH di negara lain menjadi ukuran dan pemakaian di Malaysia, katanya.

Mohd Yusof berkata, sewajarnya dalam isu melibatkan agama Islam, rujukan dan pandangan hendaklah dikemukakan kepada institusi yang menguruskan hal ehwal Islam di negara ini dan semua pihak hendaklah mengenepikan kepentingan politik demi mempertahan kesucian agama.

Adalah membimbangkan apabila ada pihak yang mempersoal pandangan dan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama serta Jawatankuasa Fatwa sebagai institusi yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Islam, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Dalam Kalangan Orang Islam (Negeri Sembilan) 1991, jelas menunjukkan bahawa kalimah ALLAH dilarang penggunaannya untuk agama bukan Islam.

Pertimbangan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam melarang penggunaan lafaz ALLAH oleh agama bukan Islam adalah merupakan isu akidah dan maruah ummah yang wajib dipertahan oleh semua umat Islam.

"Walaupun ada pihak yang tidak sependirian dan seakan-akan cuba menyukarkan kesepakatan umat Islam, namun majoriti ummah akan terus mempertahan dan memartabat penggunaan kalimah ALLAH sebagai hak eksklusif umat Islam," katanya.

Di sebalik polemik ini, menjadi pengajaran kepada umat Islam bahawa kelalaian dalam mempertahan kesucian agama dengan melaksanakan tuntutan dan pegangan agama akan membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman pula berkata, orang bukan Islam di Pahang dilarang menyalahgunakan kalimah ALLAH dan 34 perkataan lain yang dikaitkan dengan agama Islam seperti yang tertakluk dalam jadual Pentadbiran Agama Islam 1989 Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Larangan ialah dari segi penggunaan kenyataan, penyebaran percakapan, apa-apa bentuk penerbitan sama ada media elektronik atau media cetak yang boleh mengelirukan dan merosakkan akidah umat Islam.

"Perkataan-perkataan yang terkandung di bawah Enakmen Nombor 5 Pentabiran Agama Islam 1989 itu menyebut jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata isu penggunaan kalimah ALLAH perlu diselesaikan menerusi penguatkuasaan undang-undang agar perkara yang diputuskan tidak dipertikai oleh pihak-pihak tertentu.

"Ini untuk membendung perpecahan umah dan membendung kekeliruan masyarakat," katanya.

Apa yang perlu, kata Abdul Rahman, peranan penguat kuasa agama perlu lebih proaktif memandangkan selama ini penguatkuasan tidak diambil, yang mungkin menyebabkan orang ramai tidak tahu dan semakin ramai individu yang mengeluarkan fatwa sendiri.

Isu kalimah ALLAH ini dibangkitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan membenarkan Bible bahasa Melayu mengunakan kalimah ALLAH, dan beberapa portal kemudian melaporkan pada 8 Januari bahawa majlis pimpinan pakatan pembangkang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan penganut semua agama dengan syarat tidak disalahgunakan.

Mesyuarat majlis itu turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pas melalui mesyuarat Majlis Syura kelmarin bagaimanapun menukar keputusan bahawa kalimah ALLAH adalah khusus untuk agama Islam. - Bernama


Mufti Selangor
'Kenapa hendak guna kalimah ALLAH'
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
10 Januari 2013

SHAH ALAM - Pendirian membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu satu langkah seolah-olah merelakan ALLAH Yang Esa dalam ajaran Islam itu disekutukan, kata Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid.

Oleh yang demikian katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa kalimah ALLAH hanya boleh digunakan oleh penganut agama Islam supaya ia tidak menimbulkan sebarang keraguan di kemudian hari.

"Jika kalimah ALLAH itu digunakan dalam Bible menggantikan 'God' sedangkan 'God' dalam Bible itu adalah 'Trinity', Tuhan yang ada anak, Tuhan yang ada bapa, Tuhan yang ada isteri, jadi beerti, andai kata kita redha kalimah ALLAH digunakan dalam Bible, maknanya kita telah pun merelakan ALLAH itu bukan lagi Esa," katanya ketika diminta mengulas pendirian Pakatan Rakyat berhubung penggunaan kalimah ALLAH di kalangan bukan Islam.

Meskipun begitu katanya, penggunaan kalimah ALLAH dalam keadaan-keadaan tertentu misalnya dibolehkan kepada penganut agama lain selain Islam.

"Kalau dia nak sebut, umpamanya kalau ditanya siapakah yang menciptakan langit dan bumi, kalau dia kata ALLAH, memang betul. Kalau orang kafir itu hendak sebut ALLAH, itu terpulang kepada dialah.

"Tetapi apa yang kita tekankan di sini ialah apabila kalimah ALLAH itu hendak digunakan dalam Bible bahasa Melayu kemudian perkataan 'God' itu ditukar dengan kalimah ALLAH, itu yang kita tidak setuju. Itu nanti yang akan mewujudkan kekeliruan," tegas beliau lagi.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) kelmarin bersetuju kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Keputusan tersebut diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Hadi, Pas berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah ALLAH tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

Oleh sebab itu katanya, penganut Islam dari berbagai bangsa tetap menyebut perkataan ALLAH apabila menterjemah ke dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

“Walau bagaimanapun, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran,” ujarnya.

Anwar dan Kit Siang menyambut baik pendirian Pas itu.

Mengulas lanjut, Tamyes menegaskan sekiranya terjemahan 'God' dalam Bible itu digantikan dengan ALLAH, beliau khuatir anak muda yang cetek pengetahuan agama boleh terpesong akidahnya kelak.

"Anak muda yang cetek agama ini, mungkin sekarang belum lagi tetapi 10 tahun akan datang merasakan tidak ada beza ALLAH dalam Kristian dan ALLAH dalam Islam. Sama sahaja, kalimahnya juga sama," katanya.

Beliau turut mempertikaikan bagaimana cadangan seumpama itu boleh ditimbulkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini walhal 'God' dan ALLAH dalam kedua-dua fahaman agama, Islam dan Kristian, adalah berbeza sama sekali.

"Pertamanya ALLAH itu bukan ALLAH Trinity. Kenapa kalimah ALLAH ini hendak diguna?" soalnya.

Beliau juga tidak menolak ini adalah usaha pihak tertentu untuk mengelirukan masyarakat Islam di negara ini.

"Ada usaha untuk memutarbelitkan fahaman kalimah ALLAH itu yang hendak dibawa dan diterjemahkan ke dalam Taurat atau pun Injil supaya akhirnya manusia ini tidak dapat membezakan di antara fahaman ALLAH dalam Islam dan God dalam Kristian," katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dalam SMS kepada Sinar Harian Online menggesa umat Islam di seluruh negara supaya memperkukuhkan ajaran Islam masing-masing daripada mengambil peduli kebebasan beragama penganut agama lain sehingga menimbulkan permusuhan.

"Adalah tidak wajar orang Islam campur tangan urusan agama lain. Ini bertentangan dengan konsep tiada paksaan dalam beragama yang ditetapkan oleh ALLAH dalam al-Quran. Juga ia menyalahi Perlembagaan Malaysia.

"Umat Islam sepatutnya memperkuatkan dakwah islamiah. Bukannya asyik mengambil sikap bermusuhan dengan penganut agama lain. Ini tidak baik untuk dakwah Islam. Hak beragama kafir zimmi dijamin oleh Rasulullah SAW. Umat Islam wajib pertahankan hak dan keputusan yang pernah Rasulullah bagi kepada mereka," katanya.

Atas dasar itu, beliau turut menyeru umat Islam di negara ini membuang sikap buruk "yang tak sukakan kedamaian antara agama di Malaysia."

"Umat Islam lemah sebab mereka suka salahkan orang lain dan malas buat tugasan sendiri khususnya dalam dakwah Islam. Bila datang agama lain, sibuk salahkan mereka. Negatif," tambah beliau.

Mufti Perak
Isu kalimah ALLAH cabar kesabaran umat Islam
Wartawan Sinar Harian
27 Januari 2013


IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta agar cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu dihentikan kerana isu itu mencabar kesabaran umat Islam.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa jika cadangan itu diteruskan, tidak mustahil akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini sehingga boleh menimbulkan kekacauan.

"Sebagai orang Islam, kita wajib berjihad mempertahankan kalimah tersebut kerana ia tidak boleh diberikan kepada sesiapa melainkan Islam,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat Damara Care and Herbs di Gunung Rapat, semalam.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah ALLAH.

Katanya, hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan Harussani menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan ALLAH.

“Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita. Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan ALLAH,” katanya.

Beliau berkata, di dalam enakmen setiap negeri sudah dinyatakan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam agama lain.

“Enakmen telah dibuat oleh Dun yang telah diberi kuasa oleh perlembagaan untuk membuat undang-undang mengenai agama dan diluluskan Sultan yang menjadi undang-undang negara.

“Oleh itu, undang-undang negara tidak boleh diusik jika tidak seolah-olah tidak menerima Perlembagaan. Justeru, orang yang tidak mematuhi undang-undang adalah orang yang derhaka kepada negara,” katanya.


Mufti bantah kenyataan Hadi
NOR ATIEYAH YUSOFF
11 Januari 2013


SHAH ALAM – Beberapa mufti membantah dan tidak bersetuju kalimah ALLAH digunakan orang bukan Islam, termasuk dalam Bible versi Melayu seperti yang dipersetujui Majlis Pakatan Rakyat (PR) 'bahawa penggunaan kalimah ALLAH wajar diberikan untuk semua agama dengan syarat kalimah itu tidak disalahgunakan'.

Malah mereka juga tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa 'Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran'.

Menurut mereka, ini kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan di mana agama Islam adalah agama rasmi persekutuan dan kalimah itu adalah hak eksklusif umat Islam.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu dilihat sebagai satu dakyah atau dakwah bukan Islam agar mempengaruhi umat Islam dengan ajaran Kristian.

“Sebelum ini, Majlis Fatwa Pahang telah menentang kalimah ALLAH ditukarkan dalam Bible kerana ia tidak digunakan penganut Kristian namun perkara ini sengaja dibangkitkan sejak beberapa tahun yang lepas.

“Perkara ini sudah termaktub dalam Fatwa Kebangsaan, pemerintah dan sultan berhak untuk menghalang pihak tertentu untuk menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, penggunaan kalimah ALLAH dilihat sebagai perkara baru di negara ini, terutamanya Semenanjung Malaysia berbanding negara Arab, ia merupakan bahasa mereka dan tertulis di dalam al-Quran mengenai perkara tersebut.

Katanya, bagi umat Islam Tuhan hanya satu iaitu ALLAH (SWT) yang menciptakan alam dan seluruh kejadian di dunia ini, tiada sekutu atau menyerupai makhluk lain.

“Namun, (penganut) Kristian menyebut ALLAH sebagai Tuhan tetapi mempunyai pelbagai bentuk serta beranak pinak (ayah, ibu dan anak).

“Bukan Islam (Kristian), tuhan mereka adalah ALLAH dan perkataan yang diterjemahkan pada dasarnya mereka tidak menyebut ALLAH tetapi God (Tuhan),” katanya.

Beliau berkata, Bible yang dicetak dalam Bahasa Melayu dengan menukarkan God kepada kalimah ALLAH dibuat dengan agenda tertentu supaya anak muda terkeliru dan dipengaruhi bahawa al-Quran dan Bible, tiada perbezaan.

Abdul Rahman menjelaskan bahawa Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, iaitu Seksyen 163. Fatwa dan Seksyen 169, penghinaan terhadap pihak berkuasa agama akan diguna pakai sekiranya terdapat pihak tertentu cuba menyebarkan ajaran lain selain Islam kepada umat Islam.

Sementara itu Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata, penganut Kristian tidak boleh mengguna Kalimah ALLAH, kerana ia hanya untuk orang Islam sahaja.

Katanya, merujuk makna ALLAH sendiri bermaksud Esa iaitu tunggal berbanding ajaran Kristian bahawa Tuhan mereka adalah triniti seperti ayah, ibu dan anak Tuhan.

“Jika perkataan God ditukar menjadi ALLAH, menunjukkan ALLAH terdapat dalam pelbagai bentuk bagi Kristian, sedangkan Tuhan bagi umat Islam hanya satu iaitu, ALLAH.

“Ia dianggap salah dari segi akidah. Malah sejarah penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Bible tidak pernah berlaku,” katanya.

Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, negeri itu mewartakan 40 perkataan yang dilarang sama sekali bukan Islam untuk menggunakannya, termasuk kalimah ALLAH.

Beliau berkata, perbuatan tersebut akan dikenakan tindakan undang-andang oleh Jabatan Penguat kuasa Negeri bagi menentang penggunaan perkataan itu selain dari orang Islam.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad pula mengingatkan semua pihak di negeri ini tentang kalimah Allah yang eksklusif untuk orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain.

Menurutnya, sidang Dun Kelantan pada 1 Disember 1981 telah meluluskan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 iaitu satu enakmen untuk menjaga kesucian kalimah itu.

Harussani sokong Majlis Syura
Wartawan Sinar Harian
21 Januari 2013

SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyokong tindakan Majlis Syura Pas untuk tidak menarik balik keputusan berhubung isu kalimah ALLAH.

Menurutnya, perkara yang melibatkan akidah tidak perlu dibincangkan dan ketegasan yang ditunjukkan adalah perkara yang wajar dicontohi.

"Isu akidah itu sensitif, bukan seperti akhlak yang boleh diperdebatkan atau ditukar mengikut pendirian sendiri.

"Sudah banyak kali saya tekankan perkara ini. Jangan sesekali campurkan isu agama dengan politik," katanya.

Katanya, pendirian Majlis Syura Pas menunjukkan perihal agama Islam tidak ada tolak ansur.

"Kita sendiri pun tidak boleh membawa kalimah ALLAH ini ke dalam tandas, bagaimana pula ia boleh dibawa masuk ke tokong atau gereja?

"Kalimah agung ini juga tidak boleh diletak di bawah kaki dan (mesti) sentiasa berada di atas. Jadi Majlis Syura Pas telah menjalankan kerja mereka dengan baik sekali," katanya.

Harussani berharap tidak ada lagi mana-mana parti politik mempersoalkan perkara berkaitan akidah ini.

"Saya dapati, DAP seperti mahu memecahbelahkan umat Islam di negara ini. Kerana itu, ketegasan seperti yang dilakukan (oleh Majlis Syura) ini amat penting supaya agama Islam tidak diperlekehkan," katanya.

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title