Feb 10, 2013

Tahaluf Siyasi 01 - Tafsiran dan Pandangan Di Persada Politik Malaysia





Tahaluf Siyasi PAS bersama Pakatan Rakyat
Abdul Hadi Awang, 13 Okt 2012



Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :

لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - ج 1 / ص 258

(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).

Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila bapa-bapa saudara baginda membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.

Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.

Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.

Rasulullah S.A.W. bersabda tersebut diatas dengan huraiannya : ( Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).

Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).

(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).

Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman tersebut , walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :

المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره

(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).

PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO.

Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.

Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan Tahaluf yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf Siyasi yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.

Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.

Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.

Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal.

Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara hantu yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.

Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan yang diletak diatas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.

PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.

PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan menubuhkan Barisan Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya dengan keputusan Muktamar Khas supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk ahli parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.

Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihanraya khas selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.

Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.

PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.

Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.

PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi khadamnya, kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.

Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.

Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.

Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.

Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.

Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.

Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.

Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.

Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum Hudud laksana ayam jantan kukuk berderai pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO lah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.

Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.

Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan dan ekonomi.

Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.

Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya.

Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.

Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.

Pesanan Rasulullah S.A.W. “sesiapa yang memencilkan diri daripada jamaah akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.

harakahdaily.net

======================

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya 
Sep 27, 2012
Wujudkah perbezaan antara tahaluf siyasi Umno dengan Pas ?

Jawapan:

Kalau dilihat kepada tahaluf siyasi Pas dan tahaluf siyasi Umno, sebenarnya Umno telah mendahului Pas jika dilihat dari sudut MCA, MIC, dan juga Gerakan.

Jika kita lihat, Pas apabila melakukan tahaluf siyasi bersama-sama dengan Dap dan juga Pkr, di mana jika kita boleh terjemahkan dengan bahasa yang mudah; tahaluf siyasi ialah pembahagian kerusi di dalam politik.
Dalil yang digunakan oleh Pas adalah peristiwa Hilful Fudhul iaitu perjanjian yang Nabi SAW buat bersama-sama dengan Arab Jahiliyah. Juga mereka gunakan dalil perjanjian Hudaibiyah dan Piagam Madinah.

Itu adalah perjanjian-perjanjian yang Nabi SAW meteraikan dengan golongan non-muslim di zaman baginda SAW. Perjanjian-perjanjian tersebut meletakkan syarat-syaratnya.

Sekarang ini ada dua persoalan yang besar. Pada zaman Nabi SAW, persepakatan itu termetrai antara Muslim dan non-Muslim, dan tidak ada perpecahan sesama Muslim. Orang Islam pada ketika itu bersatu-padu, berbeza dengan kita pada hari ini.

Umno dan Pas adalah parti yang berbeza dan mempunyai kecenderungan yang berbeza. Mereka tidak bersatu, jadi mana mungkin masing-masing ingin menggunakan dalil Hilful Fudhul, Perjanjian Hudaibiyah, Piagam Madinah untuk mengatakan keharusan bersama-sama dengan non-Muslim. Sedangkan kita dituntut mendahulukan kebersamaan dan perpaduan sesama Islam.

Maka mengapa untuk bersatu dengan Umno kita menggunakan dalil tidak boleh,

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang zalim yang mengakibatkan kalian disentuh oleh api neraka.“ (surah Hûd: 113)
Tetapi apabila bersama dengan Dap atau Pkr atau kelompok-kelompok selain Umno mereka mencari dalil yang mengatakan boleh pula. Begitu juga dengan Umno yang memberikan dalil untuk bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Saya bawakan contoh ini agar kita semua berfikir tentang perpaduan sesama Melayu dan Islam yang lebih perlu kita utamakan dan dahulukan.

Kita pada hari ini sibuk mencari dalil untuk bersama-sama dengan golongan yang benci kepada Islam sedangkan dalil yang banyak berupa arahan dan perintah agar kita bersatu padu, bersaudara, dan berkasih sayang kita abaikan dan tidak manfaatkannya.

Yang kedua, dulu Pas pernah mengkritik Umno habis-habisan apabila Umno melakukan tahaluf siyasi bersama-sama dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional. Kemudian apabila Pas melakukan hal yang sama, mereka mengharuskan tindakan mereka dengan mengeluarkan terminologi atau istilah tahaluf siyasi.
Orang awam yang mendengarnya, perkataan bahasa arab jadi mereka anggap tindakan itu dibolehkan dan selari dengan Islam. Tetapi maksud sebenarnya cumalah pembahagian kerusi sahaja. Jadi kalau hendak dilihat dari sudut yang mendahului tahaluf siyasi sebenarnya Umno lebih awal mendahuluinya berbanding Pas.

Cuma sekarang ini, kedua-dua pihak harus meneliti, tahaluf siyasi bukan hanya pada perkataan, tetapi juga pada syarat-syarat dalam perjanjian.

Sekiranya syarat-syarat tahaluf siyasi dengan jelas dan terang menggambarkan bahawasanya kita ini (Islam) tidak dominan, kita hanya jadi kuda tunggangan, maka perjanjian tersebut akan menjadi satu perjanjian yang sia-sia.

Memang Nabi SAW pernah melakukan perjanjian Hudaibiyah bersama Arab Jahiliyah di mana perjanjian itu merupakan perjanjian yang berat sebelah kepada golongan kuffar sehingga sahabat-sahabat baginda sendiri tidak bersetuju dengan perjanjian tersebut. Namun harus kita ingat, pada ketika itu umat Islam bersatu.

Nabi melakukan perjanjian itu kerana kemudharatan dan kemaslahatan. Sekarang ini umat Islam berpecah. Jadi mana mungkin kita menggunakan dalil Nabi SAW di mana baginda pada ketika itu dalam keadaan mudharat bertembung dengan golongan yang benci dan anti-Islam, sedangkan pada hari kita ada umat Islam yang ramai tetapi tidak mahu bersatu sesama umat Islam lalu mencari orang yang anti-Islam untuk bersatu dengan mereka.

Ini merupakan satu keganjilan yang perlu diteliti. Sebab itu saya kira, syarat-syarat perjanjian adalah perkara yang besar untuk diambil kira dan diteliti.

Sebagai contoh, dalam manifesto buku jingga, ditulis secara jelas Negara Berkebajikan. Kita boleh menerima Negara berkebajikan, tetapi adakah sama tafsiran Negara berkebajikan yang diinginkan Dap dan tafsiran Pas?

Saya mendengar sahabat saya Ustaz Nashruddin Tantawi menjelaskan tentang negara berkebajikan, sangat baik cerita dan ciri-ciri tentangnya. Tetapi saya bertanya, adakah ianya sama dengan negara berkebajikan yang diterjemahkan dan dikehendaki Dap?

Dap memaksudkan negara berkebajikan itu adalah negara sekular. Pas memaksudkan negara berkebajikan itu adalah Negara Islam. Berlaku kontradiksi yang sangat jelas. Sebab itu kalau hendak membuat tahaluf siyasi pun tidak kena dengan cara begini. Ia tidak akan memberi penyelesaian bahkan akan menambahkan masalah yang besar.

Jadi saya cadangkan seluruh umat Islam; Umno dan Pas ini bersatu. Bersatu dalam erti kata kita mencari titik pertemuan, dahulukan perpaduan dan kasih sayang sesama Islam, bersangka baik sesama Islam sebelum kita bersama-sama dengan golongan yang benci dan anti kepada Islam.
Wallahua’lam.
ustazfathulbari

======================

Pertahan ijtihad tahaluf siyasi - Ketua Ulamak
Harakahdaily, 15 Nov 2012

KOTA BHARU: Para ulama di dalam PAS diseru agar mempertahankan ijtihad Tahaaluf Siyasi (persefahaman politik) termasuk mengarahkan semua ahlinya mengundi calon-calon bukan Islam di kalangan Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, untuk mencapai matlamat politik Islam, ulamak berijtihad dalam menentukan wasilahnya.

"Antaranya, Ulamak dalam PAS berijtihad dengan merujuk kepada al-Qur’an dan al-Hadis membenarkan Tahaaluf Siyasi dengan parti-parti lain dengan syarat-syaratnya sebagai satu wasilah mencapai kemenangan dalam pilihanraya.

"Rentetan daripada ijtihad Tahaaluf Siyasi, ahli-ahli PAS diarahkan mengundi calon-calon pilihanraya bukan Islam di kalangan Pakatan Rakyat," katanya.

Untuk itu, katanya, ulamak perlu menjelaskan perkara ini kepada ahli-ahli parti dengan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan al-Hadis.

Dalam masa yang sama juga Ulamak perlu sentiasa prihatin dengan syarat-syarat Tahaaluf Siyasi yang telah digariskan.

"Sekiranya berlaku sebarang pelanggran kepada syarat-syarat tersebut, Ulamak perlu segera menegur kepimpinan parti dan memberikan nasihat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan Ucaptama dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang berlangsung di Dewan Duyung, Perdana Resort hari ini. Teks ucapannya dibaca Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfudz Mohamad.

Dalam ucapan itu juga, Ustaz Harun turut memberitahu, ulamak PAS perlu menggunakan media baru dalam menyampaikan mesej dakwah mereka.

"Tidak cukup hanya dalam kuliah di surau dan masjid serta ceramah, bahkan perlu disiarkan dalam media massa. Youtube, blog, website dan media alternatif lain perlu digunakan semaksimum mungkin untuk tujuan tersebut," katanya.

Ulamak perlu memanfaatkan media ini bagi membentuk minda rakyat dan cara pemikirannya agar benar-benar menguntungkan Islam di samping mempunyai semangat untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini, tambahnya.

Sementelahan lagi isu berkaitan ijtihad siyasi dan tarbawi biasanya dialpakan oleh banyak pihak.

Ulamak Haraki berperanan memenuhi media baru dengan pemikiran dakwah, tarbiyah dan jihad menentang kezaliman.

Jihad Ulamak Haraki, katanya, tidak hanya dengan lisan tetapi juga menggunaka mata pena penulisan.

"Marilah kita mengisi ruangan yang terbuka luas sebagai medium dakwah moden untuk menyampaikan risalah Allah kepada masyarakat," jelas beliau.

======================
 
Sunday, June 24th, 2012
ISMA minta PAS kaji semula tahaluf siyasi bersama DAP

KOTA BHARU – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meminta Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengkaji semula tahaluf siyasi mereka bersama parti DAP.

Naib Presiden 2 ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, tahaluf siyasi adalah satu perkara yang memerlukan disiplin syarak yang cukup ketat.

“Saya tidak mengatakan tahaluf itu haram secara mutlak, tetapi hukum tahaluf itu sangat ketat dan perlu dijaga dari semasa ke semasa.

“Jadi saya menyarankan PAS membincangkan kembali tentang tahaluf ini dan membuka perbincangan tentang strateginya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira lebih 1000 hadirin di dalam program Bual Bicara Bersama Facebookers anjuran Pejabat Kerajaan Negeri Kelantan di Balai Islam Kota Bharu baru-baru ini.

Menurut Ustaz Fauzi, merujuk kepada kertas kerja tahaluf siyasi yang disediakan oleh Majlis Syura Ulamak PAS, dilihat terdapat beberapa kelonggaran dari sudut kaedah pendalilan syarak.

“Di situ dinyatakan bahawa empat ayat berkenaan larangan untuk memberi wala’ kepada orang kafir itu terbatal walhal dakwaan tersebut adalah salah,” jelasnya.

Selain itu beliau berkata, kertas kerja tersebut telah meninggalkan satu hadith riwayat Muslim yang berbunyi “Kami tidak akan meminta tolong Musyrik untuk mengalahkan Musyrik” sedangkan hadith ini adalah sahih dan cukup penting dalam perbincangan tahaluf siyasi.

Manakala hadith yang digunakan bagi membenarkan tahaluf siyasi tentang Nabi S.A.W. meminta tolong daripada Bani Qainuqa’ diriwayatkan oleh Hasan bin Umarah sedangkan Hasan bin Umarah ini disebut oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani sebagai seorang yg dhaif, tambah Ustaz Fauzi.
ismaweb.net

 ======================

in progress

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title