Mar 13, 2013

Apa hikmah cara potong kuku ?

Apa hikmah cara potong kuku ?



HARI itu di Facebook, saya terserempak carta menunjukkan aturan potong kuku di tangan dan kaki dengan dakwaan itulah cara sunah.

Menurut gambar itu, kita mulakan dengan jari telunjuk di tangan kanan, kemudian jari hantu, jari manis dan jari kelingking.

Kita lompat pula ke jari kelingking tangan kiri, jari manis, jari hantu, jari telunjuk dan barulah ibu jari.

Terakhir, kita potong kuku ibu jari di tangan kanan.

Bagi kaki pula lebih mudah - kita mula potong kuku di jari kaki paling kanan, kemudian potonglah kuku hinggakan jari kaki paling kiri.

Sangat menarik sekali.

Sungguhpun kuku tampak tidak seberapa, ia turut merupakan satu bahagian penting badan kita.

Kuku melindungi saluran darah, urat saraf dan saluran limfa yang terdapat di bawahnya.

Pun ia menjadi perisai bagi bahagian hujung jari tangan dan jari kaki kita daripada dilanggar, ditekan, dipijak atau seumpamanya.

Ada peribahasa, bagaikan isi dengan kuku. Cubalah cabut kuku daripada isinya - bayangkan sakitnya, hinggakan ia dijadikan satu cara seksaan.

Dari segi hukum pula, kuku termasuk bahagian yang perlu dibasuh semasa berwuduk.

Jadi, sebarang lapisan yang menghalangnya disentuh air, misalnya nail polish, haruslah dihilangkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.

Memang, memotong kuku dititikberatkan Nabi Muhammad saw.

Ia mungkin tampak remeh, tetapi sebenarnya ia menunjukkan betapa rapinya Islam sebagai satu sistem kehidupan serba lengkap bagi umatnya.

Bak diriwayatkan Muslim, memotong kuku termasuk beberapa perkara fitrah seperti mencukur bulu ari-ari dan mencabut bulu ketiak.

Dalam hadis riwayat Muslim pula, Anas ra memberitakan:

"Baginda (Nabi) telah memberi kami waktu agar menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu kemaluan. Kami tidak dibenarkan meninggalkannya lebih 40 hari."

Tentulah anjuran Nabi itu berkaitan dengan menjaga kebersihan dan kesihatan.

Misalnya, satu kajian lebih sedekad lalu yang disiarkan di San Francisco menunjukkan kuku yang melebihi tiga milimeter daripada hujung jari mengandungi lebih banyak kuman daripada kuku pendek.

Bagi saya, memandangkan hadis tadi mengkhususkan 40 hari, menarik sekiranya ada orang kita membuat kajian saintifik tentang akibat membiarkan misai, kuku, bulu ketiak atau ari-ari melebihi tempoh itu.

Berbalik kepada carta itu yang menunjukkan aturan memotong kuku 'ikut sunah'.

Sungguhpun kita dianjur Nabi agar memotong kuku, kebanyakan aturannya berasal daripada para ulama kita - misalnya, Imam Ahmad, Imam Ghazali dan Imam Nawawi.

Dalam soal ini, tentulah mereka lebih tahu hikmah dan faedahnya.

Saya sendiri diajar dua cara berbeza, yang saya turuti sebagai menghormati dua guru saya itu.

Cuma, timbul juga rasa ingin tahu - kenapakah aturan memotong kuku berbeza bagi tangan dan kaki?

Adakah ia ada hubungan dengan hakikat bahawa setiap jari kita terhubung dengan bahagian badan kita yang berbeza melalui sistem saraf dan saluran darahnya?

Sebagai contoh, dalam seni akupunktur tangan (Soojichim) amalan orang Korea, setiap bahagian tangan dikaitkan dengan bahagian berbeza badan. Hujung jari hantu, misalnya, dikaitkan dengan atas kepala.

Akhir kalam, pengepos carta itu menepis saranan saya agar kita merenungi dan menyelidik kenapa ada cara berbeza-beza memotong kuku.

Menurutnya, sebaik-baiknya kita ikut saja apa yang disuruh Nabi tanpa banyak soal.

Ini sungguhpun banyak ayat Al-Quran menganjurkan kita merenungi setiap ciptaan dan aturan-Nya, dan sungguhpun cara yang tertera di carta itu ternyata bukan daripada baginda.

Sesungguhnya, perkara sekecil kuku pun begitu besar hikmahnya.


Syiar

_____________

Komen

sedang cari facebook yang dimaksudkan itu
belum jumpa lagi :)

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title