Apr 28, 2013

ANTARA SYAITAN DAN MALAIKAT - Dr Ridhuan Tee

ANTARA SYAITAN DAN MALAIKAT

(Berita Harian 20 Apr 2013, Edisi Petang)
Selepas penamaan calon hari ini, bermulalah kempen pilihan raya yang sebenar. Sebelum itu lagi, kempen sudah rancak berjalan, terutama kawasan-kawasan panas. Antara kerusi Parlimen Shah Alam antara Zulkifli Nordin (BN) dan Khalid Samad (PAS).
Pakatan Rakyat (PR) menggunakan isu Zulkifli Noordin bertanding sebagai kempen pilihan raya untuk memenangi sokongan India. Apabila nama Zulkifli diumumkan, PR awal-awal lagi melakukan serangan peribadi tertubi-tubi. Pencalonan beliau didakwa merupakan penghinaan kepada komuniti tersebut. Hatta, ada yang berkata pencalonan Zulkifli akan menyebabkan BN kalah di Selangor. Nasihat saya, jangan jadi Tuhan.
Video menunjukkan Zulkifli menggunakan perkataan “Keling”, dan satu lagi video, menyaksikan beliau mempersoalkan seorang peniaga India mengapa tuhan Hindu tidak menyelamatkan kedainya daripada banjir dan mempersoalkan kesucian Sungai Ganges di India, dianggap suci oleh penganut Hindu, diulang dan diulang. Ini politik desperado ultra kiasu.
Ternyata ultra kiasu ini gagal membeza antara strategi dengan persepsi. Pengundi perlu membezakan antara keduanya. Meletakkan Zulkifli di situ adalah strategi. Serangan ke atas ceramah Zulkifli adalah persepsi. Zulkifli yang saya kenali, bukanlah sebagaimana yang dipersepsikan. Saya tidak nampak Zulkifli akan merobohkan kuil Hindu dan memperlekehkan orang India yang sedia ada di Shah Alam jika memenangi parlimen tersebut.
Sebenarnya calon PAS itu takut bertemu dengan Zulkifli. Buku bertemu ruas. Pengundi Shah Alam menerima calon PAS itu dalam PRU 12 kerana tidak ada pilihan. Tidak perlulah bermain taktik kotor. Ditakdirkan jika saya bertanding melawan beliau di Shah Alam, adakah peribadi saya tidak dijadikan bahan kempen. Artikel saya sebelum ini akan dijaja ke sana ke mari. Sudahlah calon PAS (Khalid Samad), belajarlah daripada abang kamu, Shahrir Samad.
Misalnya, di hadapan sekumpulan lebih 500 orang di rumah pangsa Taman Buntong Harmoni di sini baru-baru ini, pemimpin ultra kiasu bergilir-gilir mahukan pengundi India menolak BN dalam PRU13 kerana “mempromosikan” Zulkifli, yang dituduh menghina kaum India.
Peliknya, sekian lama DAP menghina Islam dan undang-undang Islam, kenapa calon-calon mereka semuanya dijadikan kawan dan diundi oleh PAS? Kenapa ultra kiasu ini terus dijulang, sedangkan semua telah tahu niat busuk mereka? Adakah kita sudah lupa sebaik sahaja berjaya menguasai Selangor dalam PRU12, serta merta ultra kiasu mahu mewujudkan bandar Cina di Shah Alam yang majoriti penduduknya orang Melayu?
Ketika BN memerintah Selangor sebelum ini, belum kedengaran MCA atau Gerakan mencadangkan untuk mengcinakan bandaraya Shah Alam. Tiba-tiba apabila ultra kiasu naik junjung, serta merta mahu diubah status bandaraya ini.
Sedarlah, DAP tidak pernah berubah dari dulu hingga kini. Penghinaan demi penghinaan dilakukan terhadap Islam. Rakan sepakatan hanya memejamkan mata kerana ingin berdakwah dan memahamkan mereka tentang Islam kononnya.
Masalahnya, mahukan mereka ikut. Tidak perlu saya sebut lagi penghinaan mereka terhadap kalimah Allah. DAP turut menghina pendirian kerajaan Kelantan untuk mengasing kedai gunting rambut (saloon) dan kaunter pasaraya antara lelaki dan perempuan. Apakah mereka masih tidak faham?
Kenapa tindakan mereka tidak dikeji? Adakah kerana berada dalam pakatan, maka kita boleh menghalalkan segala penghinaan yang dilakukan terhadap Islam. Kenapa PAS tidak berkempen menolak DAP? Kenapa Zulkifli Nordin dijadikan sasaran hanya kerana ucapan beliau yang terlepas dan tidak disengajakan itu? Lagipun beliau telah meminta maaf awal-awal lagi.
Pimpinan PAS bersetuju dengan kata-kata, lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada berkawan dengan malaikat yang tidak dikenali. Jika syaitan yang dimaksudkan itu adalah DAP dan malaikat itu adalah UMNO, maka saya masih memilih malaikat, walaupun tidak dikenali. Ini kerana syaitan tetap syaitan, malaikat tetap malaikat. Syaitan tidak boleh menjadi malaikat dan malaikat tidak boleh menjadi syaitan.
Berkawan dengan syaitan amat bahaya kerana seekor syaitan boleh menyesat ramai orang baik, walaupun bilangannya sedikit. Saya masih teringat kata-kata pemimpin ultra kiasu Melayu, beza antara masuk kilang minyak wangi dengan masuk kilang arang.
Beza berkawan dengan orang baik dengan berkawan dengan orang jahat. Berkawan dengan malaikat, InsyaAllah, ciri-ciri kemalaikatannya akan terpercik jua. Berbanding dengan berkawan dengan syaitan, ciri-ciri kesyaitanannya akan lebih kuat mempengaruhi kita. Apakah perkara ini sudah berlaku? 
Meskipun petikan Zulkifli diulang-ulang, sekurang-kurang beliau berterus-terang. Beliau sanggup mengambil risiko tersebut.
Saya tidak hairan jika yang mengkritik Zulkifli adalah ultra kiasu DAP. Perkara biasa. Kalau bukan mereka yang mengkritik, siapa lagi. Kitapun boleh mengkritik ultra kiasu. Persoalannya, kenapa PAS ikut serta?
Dalam situasi di hujung tanduk, mana lebih bahaya ultra kiasu atau Zulkfili Nordin? Syaitan yang dikenali atau malaikat yang tidak dikenali? Saya tetap memilih malaikat yang tidak kenali disebabkan oleh ciri-ciri kemalaikatannya, berbanding syaitan yang terkenal dengan sifat kesyaitannnya.
Jika masih belum jelas, lupakah kita kepada pengajaran peristiwa 13 Mei 1969? Siapa yang memulakan perarakan selepas mencapai kemenangan dalam PRU 1969 sehingga mencetuskan peristiwa berdarah itu? Siapa yang mengeluarkan kata-kata menghina Melayu dan Islam dengan bahasa-bahasa kesat? Kaji watak ultra kiasu satu persatu dalam sejarah. Saya yakin kita akan faham betapa bahayanya syaitan yang dikenali itu. Kepada pengundi Shah Alam, bezakanlah antara kedua makhluk ini.  

disalin sepenuhnya dari ridhuantee

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title