Apr 18, 2013

PRU13: Isma jawab Hadi Awang - Sinar Harian

PRU13: Isma jawab Hadi Awang
Zaik Abd Rahman, Presiden Isma
18 April 2013

MERUJUK kepada surat terbuka Presiden Pas pada 17 April 2013 yang disiarkan oleh Sinar Harian, saya terpanggil untuk menjawab dakwaan-dakwaan beliau dalam surat tersebut bagi pihak Isma.

Oleh kerana perkenalan saya dengan Tuan Guru (Datuk Seri) Hadi (Awang) merupakan satu rakaman sejarah yang lama, maka izinkan saya memilih untuk memanggilnya dengan Ustaz Hadi, gelaran yang biasa saya panggil sebelum beliau popular dengan gelaran Tuan Guru dan Datuk Seri.

Dalam surat terbuka kali ini, Ustaz Hadi menyebut Isma secara langsung dan menyifatkannya sebagai ‘khadam Umno’ dan ‘askar upahan’. Ustaz Hadi juga mempertikaikan tujuan Isma bertanding dalam PRU kali ini yang mengikut andaiannya adalah untuk memenangkan calon-calon BN.

Saya percaya manusia semua tahu dan ALLAH Maha Mengetahui bahawa tuduhan tersebut adalah fitnah yang melampau. Ia merupakan dakwaan palsu yang bermotifkan politik. Ramai yang tidak dapat menerima hakikat bahawa ‘Tuan Guru’ boleh membuat kenyataan tersebut.

Ustaz Hadi kelihatan terperangkap dalam kotak pemikiran politik kepartian Pas lawan Umno dan gagal melihat maksud politik dalam konteks kepentingan umat yang lebih menyeluruh. Ustaz Hadi juga gagal menampilkan pemikiran demokratik yang beliau imani.

Ustaz Hadi sepatutnya faham bahawa Umno adalah musuh politik dan ‘mungkin’ juga musuh akidah bagi Pas tetapi ia tidak semestinya bagi umat Islam yang lain. Oleh itu pendirian permusuhan antara Pas dan Umno adalah ekslusif bagi dua parti itu sahaja dan tidak sepatutnya menjadi pendirian umat Islam keseluruhannya.

Umat Islam tidak sepatutnya diheret ke dalam perbalahan politik melampau yang tidak berkesudahan sehingga merugikan masa depan mereka sendiri. Sebaliknya semua pihak wajib memupuk semangat ke arah perpaduan dan memperkasakan Ukhuwah Islamiah.

Firman Allah s.w.t:
"Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara.” (Al-Hujurat: 10)

Juga firman Allah s.w.t:
"Sesungguhnya ini adalah umat-mu, umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku." (Al-Anbiya’: 92)

Politik Islam adalah lebih luas daripada perbalahan antara dua parti Melayu Islam itu. Apabila kita bercakap tentang politik bermakna kita berbicara tentang kuasa-kuasa dan pengaruh-pengaruh yang sedang bertembung antara satu sama lain. Di sana ada kuasa-kuasa dan pengaruh-pengaruh daripada berbagai-bagai latar belakang ideologi, agama dan kaum dari dalam dan luar negara yang sedang mencatur senario politik tanah air untuk kepentingan masing-masing.

Sebagai contoh, di luar sana ada kuasa imperialis barat (globalisasi) yang membawa perang pemikiran dan tamadun, ada pengaruh kristian Evangelis yang ada hubungan dengan Israel yang membawa agenda Yahudi Kristian, adanya pengaruh cauvinis kaum yang tamak dan inginkan kekuasaan, ada kaum yang ingin kembali ke zaman sebelum Islam (zaman Majapahit) yang menganggap Islam sebagai pendatang, juga ada proksi-proksi di kalangan penduduk tempatan yang membawa agenda asing.

Politik Islam ialah politik yang dapat mengekalkan dan mempertahankan kuasa dan pengaruh di tangan orang Islam agar survival dan kepentingan umat Islam terus terjamin dan terpelihara berdepan dengan pelbagai ancaman kuasa-kuasa dan pengaruh dari dalam dan luar negara.

Ya, kita kena perbetulkan salah laku dan penyelewengan politik di kalangan penguasa Islam tetapi kita juga perlu faham lingkungan politik yang kita sedang bertarung. Justeru, kita perlu membuat imbangan yang teliti dan cermat, yang mana satu musuh sebenar yang harus kita perangi, dan yang mana satu kaum sendiri yang perlu kita perbetulkan.

Untuk pengetahuan YB Ustaz Hadi walaupun Isma masih baru dari segi usia berbanding PaS, itu tidak bermakna Isma masih budak-budak dan tidak faham apa-apa. Kami telah menimba sebanyak mungkin ilmu agama dan pengalaman ilmu dakwah. Di kalangan kami ada yang berstatus ulama dan intelektual yang disegani.

Kini kami telah berjaya membentuk sebuah pertubuhan yang independen (merdeka/tidak dikuasai) yakni memiliki keupayaan ijtihad dan pengurusan dakwah secara mandiri. Dengan memiliki keupayaan intelektual dan barisan ulama yang mampu melakukan kajian ilmiah dan aktiviti keintelektuan secara independen. Itu semua telah mengeluarkan Isma dari daerah taklid (ikut-ikut buta).

Tidak harus bagi Isma mentaqlid ijtihad atau pendapat mana-mana badan atau individu tanpa melakukan pemeriksaan wajar terhadap dalil dan hujjah yang digunakan untuk satu-satu pendapat atau pendirian.

Keupayaan ini telah membolehkan Isma melakar rukyah siasiyah (pandangan politik) tersendiri berdasarkan fiqh siasi yang dibongkar daripada sumber Islam yang asli dan pemahaman yang mendalam terhadap realiti politik negara dan juga antarabangsa. Isma bukan badan dakwah berlindung di bawah agenda parti atau tokoh-tokoh lain seperti yang dilakukan oleh sesetengah parti dan NGO Islam yang lain.

Saya juga ingin tegaskan bahawa Isma bukan proksi kepada mana-mana pihak dan tidak beriman sama sekali dengan pendekatan dakwah cara proksi.

Isma telah meneliti hujah-hujah Pas berkaitan dengan konsep Negara Berkebajikan dan Tahaluf Siasi dan berpendapat bahawa ia adalah pendapat yang lemah, celaru dan tidak tepat.

Pas perlu menjelaskan dalil dan kaedah ijtihad yang dipakai dalam tahaluf siasi yang dibuat dengan bertanggungjawab. Ia tidak cukup sekadar mengatakan secara umum bahawa Nabi buat tahaluf maka PAS pun boleh buat tahaluf.

Pas perlu membuktikan bahawa wujud persamaan kuat (al-Jamik) antara bentuk tahaluf yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dengan tahaluf Pas dalam PR dari segi syarat dan rukunnya.

Di samping itu, masih wujud persoalan, adakah negara berkebajikan Pas (Islamik) sama dengan kebajikan PKR dan DAP yang bersifat liberal, sosialis dan sekular?

Memandangkan semua parti dalam PR merujuk  kepada Buku Jingga, adakah sistem pemerintahan yang akan ditegakkan oleh Pas berlainan dengan sistem yang akan dipakai oleh PKR dan DAP yang berasaskan liberalisme dan pluralisme?

Saya berpendapat bahawa PAS kini mungkin berada dalam situasi hilang motivasi perjuangan akibat kecelaruan dalam mesej dan risalah perjuangan yang menyebabkan ia lemah, merasa kalah dan berpecah.

Isma bimbang keadaan itu mendorong Ustaz Hadi untuk mencari kambing hitam bagi menutup kelemahan dalaman Pas. Janganlah nanti Isma pula akan dipersalahkan jika Pas atau PR tewas dalam pilihan raya akan datang.

Kenyataan Ustaz Hadi juga mungkin bertujuan untuk menyuntik semangat jentera Pas yang diarah supaya membantu calon bukan Islam berdepan dengan Isma yang menawarkan calon muslim berwibawa.

Mereka berada dalam keadaan konflik dalaman antara iman dan keyakinan sendiri dan keputusan parti. Iman dan keinsafan mereka menuntut mereka membantu calon muslim tetapi parti mengarahkan supaya membantu calon bukan Islam yang sesetengahnya dengan nyata menentang Islam.

Akhir sekali, saya ingin menyatakan bahawa Isma sentiasa bersedia mendengar penjelasan Pas atau Ustaz Hadi sendiri tentang apakah kandungan fiqh siasi yang disebut berkali-kali bahawa kami tidak faham fiqh siasi tersebut.

Kami menunggu penjelasan segera agar kami dapat membuat penelitian yang sewajarnya.

Zaik Abd Rahman, Presiden Isma
sinarharian.com.my 


Hadi: Umno guna 'khadam NGO' menang PRU
Wartawan Sinar Harian
17 April 2013
 
SHAH ALAM - Di sebalik demam Pilihan Raya Umum ke-13 menghampiri hari penamaan calon, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno, yang menurutnya "sangat gelabah" dengan perkembangan mutakhir, sedang menggunakan khadam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menarik undi Melayu Islam di kawasan-kawasan bukan Islam.

 
Kata beliau, tindakan pendek politik seumapam itu hanya berjaya untuk memenangkan MCA, MIC, Gerakan atau Umno yang sedang  bergelumang dengan kemungkarannya.

Hadi merujuk kepada NGO Islam seperti Isma yang bertanding atas nama Berjasa dan meletakkan calon-calon yang ditandingi bukan Islam.

Penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

"Sekiranya kita memahami demografi pengundi dan politiknya, dicampurkan dengan faktor jumlah kerusi yang sangat kecil ini, maka mereka ini perlu faham bahawa tindakan bertanding ini tidak akan membolehkan mereka untuk menegakkan negara atau menjadi pembangkang.

"Tindakan mereka ini hanya berjaya menjadi khadam menyelamat kemungkaran yang sedang berakar umbi," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Hadi menambah, ada kalangan media Melayu Islam mengambil pendekatan menakutkan orang bukan Islam dengan undang-undang syariat seperti hudud dan lain–lain tanpa penjelasan hikmat, proses kehakiman dan caranya yang adil.

Malah, kata beliau, ada juga yang mengambil pendekatan semangat perkauman dan agama untuk memecahkan Pakatan Rakyat dengan sikap sangat bersimpati terhadap Pas, pada hal merekalah tangan yang menzalimi penyokong Pas selama ini.

"Dalam masa ini, wujud satu lagi golongan yang mendakwa ingin menarik undi Melayu Islam di atas nama Islam, tetapi tujuannya nyata untuk memenangkan BN bukannya memenangkan Islam.

"Mereka hanyalah sekadar khadam kepada BN Umno atau askar upahan dan sebagainya. Hakikatnya mereka hanya bertanding di sejumlah kecil kerusi sahaja, dan kawasannyanya hanya sekangkang kera yang tidak boleh bertanam dan membina rumah," kata beliau lagi.

Hadi berkata, NGO sedemikian bertanding bukan bertujuan untuk menang dan mendokong suara Islam dengan berani dan tegas, tetapi untuk memberi kemenangan kepada kebatilan yang telah berlalu lebih daripada lima puluh tahun, bermakna sejak belum mereka dilahirkan ke dunia.

Kata beliau, "kalau kail hanya sejengkal, jangan memancing di lautan yang dalam."

"Politik dalam Islam adalah amanah besar,  perlu dipelajari dan difahami kalau mahu berpolitik berlandaskan Islam dan matlamatnya.

"Ketahuilah bahawa politik Islam itu ada hukum dan feqahnya, seperti juga feqah sembahyang, haji dan zakat," kata beliau lagi.

Sehubungan itu Hadi yang akan bertanding mempertahankan kerusi Marang berkata, "marilah kita sama-sama bandingkan dengan amanat (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir Mohamad, 'lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada berkawan dengan malaikat yang kita tidak kenali."

Justeru beliau bertanya, "bolehkah berkawan dengan parti yang politiknya dipisahkan daripada Islam?"

"Adapun orang yang bukan Islam pula, terdapat juga di kalangan mereka yang diizinkan oleh ALLAH untuk kita bekerjasama dengan mereka, di atas sifat dakwah dan kemanusiaan sejagat yang diwajibkan ke atas masyarakat madani dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh ALLAH dan Rasulnya SAW bagi menegakkan adil terhadap semua.

"Fahamilah feqah politik Rasulullah SAW sebelum tegaknya negara bersama dengan sahabatnya yang setia dan ikhlas bersama Islam, dan bersama bukan Islam seperti Abu Tholib, Mut’im bin ‘Adi dan lain-lain yang belum Islam dan tidak bermusuh atau tidak keras kerana masih ada sifat–sifat kemanusiaan.

"Rasulullah SAW mengizinkan Abu Bakar RA menggunakan khidmat seorang bukan Islam ketika berhijrah yang sangat memerlukan ciri keselamatan, seterusnya bertahaluf dengan kalangan bukan Islam ketika menegakkan negara di Madinah," kata beliau lagi.
Barisan Nasional yang memerintah sejak pilihan raya umum pertama telah mengumumkan calonnya semalam dan beberapa nama hari ini.
 
Pas, komponen PR, telah mengumumkan beberapa nama sebelum ini dan dijangka mengumumkan senarai penuh hari ini atau esok.

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title