May 25, 2013

Pluralisme dan Pluraliti oleh Dr Sidek Baba - Berita Harian

Pluralisme dan pluraliti

Dr Sidek Baba 
 
Islam gariskan panduan supaya tak tergelincir dari landasan syarak

Walaupun pluralisme dan pluraliti datang dari akar kata yang sama iaitu plural tetapi ia akan memberi konotasi atau makna yang berbeza apabila ia digunakan untuk maksud tertentu. Pluraliti membayangkan kepelbagaian atau kejenisan dan ia suatu fitrah. Dalam Surah al Hujurat (13) terdapat asas kepelbagaian ini dengan anjuran supaya proses litaarafu atau kekenalan berlaku. Daripadanya manusia memiliki sifat mempelajari, saling melengkapi, berkongsi supaya nilai interaktif dapat dikongsi.
 
Pluralisme walaupun titik-tolaknya kemajmukan tetapi dalam aplikasi terhadap kepercayaan beragama seperti akidah dan iman umpamanya Islam dan agama yang lain mempunyai perbezaan yang sangat nyata. Al-Quran memberikan pedoman yang sangat jelas laqum deenukum walya deen iaitu kamu agama kamu dan kami adalah agama kami.

Jiwa muttaqeen ini adalah sesuatu yang amat penting bagi orang Islam kerana ia membezakan cara beragama orang Islam dan juga orang bukan Islam. Jiwa muttaqeen menghubungkan penganut Islam dengan Tuhan Yang Maha Esa dan dengan keyakinan tauhidik itu tidak berlaku proses mensyarikahkan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain.

Dalam bahasa mudah konsep tauhid dalam asas keyakinan kita kepada Allah tidak sama dengan konsep triniti dalam agama Kristian. Asas akidah Islam dengan konsep keberhalaan dan patung-patung juga tidak serupa. Islam memberikan landasan mengenai etika berbeza dengan tidak menghina tuhan daripada agama lain tetapi dijadikan pedoman kerana penganut agama lain juga boleh terdorong untuk menghina agama dan Tuhan kita.

Puncak kebenaran perlu diimani

Apabila terdapat pendirian bahawa semua agama adalah benar belaka, pendirian ini adalah menyalahi dan boleh membawa kepada syirik. Pluralisme semacam ini tidak berasaskan kaedah syarak dan ia wajib dijauhi. Al-Quran memberikan landasan innaddi naindallahil Islam (Agama yang Allah reda ialah agama Islam). Pada Islam terdapat puncak kebenaran yang perlu diimani dan diyakini iaitu Allah Yang Esa (tauhid).

Pluraliti pada asasnya selari dengan jalur zaman dan fitrah sejarah. Sejarah Nubuwwah sejak daripada Nabi Adam as sehinggalah ke Nabi Daud, Nabi Musa dan Isa serta Nabi Muhammad SAW yang mana terdapat kitab-kitab seperti Zabur, Taurat, Injil dan a-Quran diturunkan ia adalah mata rantai tanzil yang diturunkan kepada golongan hanif yang percaya kepada Satu Tuhan.
 
Konsep tauhid itu adalah bawaan nabi dan rasul yang menjadi utusan Allah. Yang terdahulu sehingga ke zaman Nabi Muhammad ajarannya ialah saling melengkapi dan tidak lari daripada asas tauhid. Surah al-Hujurat di akhir ayat ke-13 memberikan landasan mengenai karamah insan (kemuliaan diri manusia) diukur dengan jiwa muttaqeen (innaaqramakum ‘indallah hia atqaqum).

Jiwa muttaqeen ini adalah sesuatu yang amat penting bagi orang Islam kerana ia membezakan cara beragama orang Islam dan juga orang bukan Islam. Jiwa muttaqeen menghubungkan penganut Islam dengan Tuhan Yang Maha Esa dan dengan keyakinan tauhidik itu tidak berlaku proses mensyarikahkan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain.

Oleh itu, pluraliti yang memperlihatkan terdapatnya kemajmukan dan kepelbagaian memiliki kekuatan sekiranya etika daripada budaya, tradisi dan tamadun yang memberi manfaat berbanding yang baik dan tidak bercanggah dengan faktor syarak boleh digunakan oleh umat Islam bagi maksud kebaikan sesama manusia.

Manusia perlu berilmu, bersifat adil

Confucius atau Kong Fu Tze dalam bukunya The Analect menganjurkan supaya manusia memiliki ilmu dan bersifat adil dijadikan sebagai suatu kriteria yang penting dalam hidup. Ia adalah suatu anjuran yang bermanfaat dan selari dengan maksud ilman nafia dan yanfaunnas yang dianjurkan oleh al-Quran.

Allahyarham Prof Ismail Faruqi, tokoh Islamisasi Ilmu yang terkenal menulis sebuah buku bertajuk Christian Ethics yang menarik untuk dikaji dan direnungkan dan Dr Zakir Nait seorang pendakwah unggul di Bombay, India menulis mengenai Hindu Ethics yang juga penting untuk diteliti. Kedua-dua tokoh ini amat terkenal dengan usahanya memahamkan orang bukan Islam mengenai kebenaran Islam sebagai agama rahmah alamiah (rahmatan lil ‘alamin).

Sejarah binaan tamadun Islam mengambil pendekatan ini. Al-Biruni umpamanya menjelajah ke India dan belajar bahasa Hind untuk membuka gedung ilmu orang India dalam bidang matematik, perubatan dan juga astronomi. Yang amat penting ilmu yang bermanfaat itu disaring dan diolah kembali supaya proses pengislaman ilmu terjadi.

Landasan interaksi

Realiti masyarakat Malaysia adalah majmuk. Kewujudannya harus dilihat sebagai suatu rahmah kerana ini akan menjadi lebih bermakna kalau proses kekenalan (litaarrafu) terjadi dengan menjadikan etika dan nilai sebagai landasan interaksi.

Pada Islam umpamanya terdapat nilai paling utama yang menjadi pegangan penganutnya. Nilai tauhidik ini sifatnya melatari dan mendasari tidak saja keyakinan yang tinggi terhadap Pencipta dan hasil ciptaan-Nya tetapi bagaimana kebesaran pencipta mengurus alam ini dan melimpahkan rahmat dan nikmat yang banyak untuk seluruh makhluk. Nilai tauhidik ini amat penting dijadikan sandaran keyakinan dan sifatnya merentasi ibadah, syariah dan juga akhlak. Nilai tauhidik ini meletakkan sumber kepada kesegalaan dan tunjang kepada sistem kepercayaan.

Penulis ialah Profesor Pendidikan di UIAM
 
bharian.com.my 

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title