May 16, 2013

Pra PRU 13 - Nasihat & Peringatan Buat Anwar Ibrahim

Pra PRU 13
Nasihat & Peringatan Buat Anwar Ibrahim
___________________________________________________


Ketua Pembangkang diminta reda 
ketentuan Allah 
 Tuan Guru Abdullah Sa'amah

KOTA BHARU 14 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu reda dengan ketentuan Allah SWT setelah gagal mencapai impiannya menjadi Perdana Menteri apabila ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata, sebagai seorang Islam, Anwar perlu menerima kegagalannya itu dengan hati terbuka.

Beliau berkata, Allah telah menentukan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara ini dan pakatan pembangkang pula ditakdirkan untuk tiga negeri, maka tidak ada sebab bagi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak boleh menerima ketentuan tersebut.

"Kita orang Islam perlu bersatu padu di atas nama Islam, bukannya menghasut orang dengan mengadakan demonstrasi sehingga berupaya mengundang perpecahan.

"Dia (Anwar) kena sedar diri, dia sudah tidak mampu menjadi Perdana Menteri dan kalau jadi sekali pun, dia pasti akan jatuh juga. Jadi redalah dengan semua ini. Kalau dia masih tidak reda, dari segi akidah, dia akan menanggung dosa yang besar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdullah mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang menasihatkan Anwar menerima keputusan PRU-13 sebagai ketentuan takdir.

Sejak minggu lalu, Anwar secara berterusan menghasut rakyat mengadakan perhimpunan bagi membantah keputusan pilihan raya umum lalu dengan sebahagian besarnya disertai generasi muda Cina.

Tambah Abdullah, beliau secara peribadi melihat tindakan Anwar tersebut menunjukkan sifat sebenar Ketua Pembangkang itu yang begitu inginkan Putrajaya dan jawatan Perdana Menteri.

"Saya ingin nasihatkan Anwar, dia sudah dua kali kalah dalam pilihan raya yang telus sehingga menyaksikan mereka turut diberi mandat memerintah sesetengah negeri, jadi terima ketentuan Allah. Segala percaturan Allah adalah yang terbaik untuk hamba-Nya," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff pula menyifatkan cara pemikiran Anwar sudah tidak betul kerana terlalu mengikut emosi dan tidak dapat menerima keputusan PRU-13.

Mohd. Syamsul berkata, walaupun sudah jelas rakyat menolak beliau menjadi Perdana Menteri, namun Anwar masih tidak boleh menerima hakikat tersebut dengan terus mengadakan perhimpunan haram.

"Saya ingin nasihat rakyat jangan terikut-ikut dengan Anwar yang hanya mengunakan rakyat untuk merealisasikan impiannya menjadi Perdana Menteri," nasihat beliau.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Anwar perlu terima takdir
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria

Anwar Ibrahim (kiri) dan Harussani Zakaria (kanan)


IPOH 13 Mei - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai ketentuan takdir.

Menurut beliau, tindakan Anwar mengetuai siri bantahan dan perhimpunan seperti yang dilakukannya sekarang hanya akan menjadikan negara ini tidak aman, malahan mendorong perpecahan lebih besar dalam kalangan rakyat.

Katanya, sebagai rakyat di sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi, Anwar perlu menganggap kekalahan tersebut sebagai percaturan yang telah ditentukan Allah.

''Dia (Anwar) kata mahu demokrasi dan kalau begitu kena terimalah keputusan itu, kenapa nak bantah? Pada saya, sebenarnya bukan kerana soal demokrasi tapi dia (Anwar) buat (bantahan) kerana tak suka kerajaan, itu saja.

''Nasihat saya satu sahaja. Mereka kena terima benda ini sebagai takdir. Dah tak boleh menang, nak buat macam mana? Kalau diikutkan rasa tak puas hati begitu, sampai bila negara boleh aman, akhirnya jadi bergaduh nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Harussani mengulas tindakan Anwar menghasut rakyat mengadakan perhimpunan termasuk di Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya, Selangor Rabu lalu bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut beliau, rakyat telah membuat pilihan dengan memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dan semua pihak termasuk pembangkang patut menghormatinya.

Beliau berkata, tindakan Anwar itu hanya akan menyebabkan keamanan negara tergugat dan menjadi mangsa ialah rakyat yang tidak bersalah.

''Ini sebenarnya bukan politik sahaja tapi taksub perkauman. Bila kehendak sendiri tak tercapai yang jadi mangsa rakyat. Mereka ikut sertai dia (Anwar) membantah supaya dapat jajah kita, hapuskan Perlembagaan tapi rancangan mereka tak jadi begitu, ini yang mereka marah.

''Mereka undi Melayu langsung tidak, kita pula tolong mereka kalahkan Melayu. Tetapi tetap kalah dan bila begitu, (masih) kata (pilihan raya) tak betul," katanya.

Beliau turut melontarkan pertanyaan tentang kehendak sebenar pembangkang.

''Saya juga tak faham apa mereka (pembangkang) ini nak sebenarnya apabila pada masa sama Dewan Ulama Pas pula buat keputusan meminta semua kepimpinan pembangkang menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd
 rokiah.abdullah@utusan.com.my

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title