GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli di beberapa kampung daerah ini, meminta kerajaan Kelantan yang baru tidak terus mengambil balik tanah yang diusahakan mereka.

Selain itu, mereka turut mengharapkan Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yakob memberi pertimbangan untuk mewartakan tanah yang dimajukan golongan berkenaan.

Akibat tindakan ambil tanah, kebanyakan Orang Asli tiada peluang pekerjaan kerana banyak tanah yang diusahakan dengan pelbagai tanaman diambil balik kerajaan negeri.

Malah, penempatan mereka juga terdedah dengan pelbagai masalah hakisan akibat daripada pembukaan tanah pertanian yang tidak terkawal termasuk sekitar Tanah Tinggi Lojing.

Penduduk, Arif Rami, 41, berkata, Orang Asli juga mahu hidup seperti orang lain, maju dalam bidang pertanian.

"Penduduk tidak mahu lagi hidup dengan pelbagai masalah, kerana sekarang bukan masanya bagi mereka memberontak untuk mendapatkan pewartaan tanah di kawasan penempatan.

“Kita benar-benar mengharapkan kerajaan negeri yang baru dapat memberi perhatian terhadap masalah Orang Asli.

“Sebelum ini kerajaan negeri berjanji untuk mewartakan tanah untuk Orang Asli, tetapi sampai sekarang belum tunaikan janji itu,” katanya.

Azman Adam, 45, pula berkata, keutamaan juga perlu diberikan kepada generasi mudah Orang Asli yang puratanya tidak mempunyai peluang pekerjaan.

"Jika kerajaan negeri dapat mewartakan tanah untuk mereka, mungkin masa depan lebih cerah.

"Ladang rakyat yang dibuka kerajaan negeri langsung tidak memberi faedah kepada mereka kerana dividen setiap bulan lebih diutamakan kepada orang lain,” katanya.