May 14, 2013

Tindakan Anwar Mendorong Perpecahan Rakyat - Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria

Anwar perlu terima takdir - Harussani

Anwar Ibrahim (kiri) dan Harussani Zakaria (kanan)


IPOH 13 Mei - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai ketentuan takdir.

Menurut beliau, tindakan Anwar mengetuai siri bantahan dan perhimpunan seperti yang dilakukannya sekarang hanya akan menjadikan negara ini tidak aman, malahan mendorong perpecahan lebih besar dalam kalangan rakyat.

Katanya, sebagai rakyat di sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi, Anwar perlu menganggap kekalahan tersebut sebagai percaturan yang telah ditentukan Allah.

''Dia (Anwar) kata mahu demokrasi dan kalau begitu kena terimalah keputusan itu, kenapa nak bantah? Pada saya, sebenarnya bukan kerana soal demokrasi tapi dia (Anwar) buat (bantahan) kerana tak suka kerajaan, itu saja.

''Nasihat saya satu sahaja. Mereka kena terima benda ini sebagai takdir. Dah tak boleh menang, nak buat macam mana? Kalau diikutkan rasa tak puas hati begitu, sampai bila negara boleh aman, akhirnya jadi bergaduh nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Harussani mengulas tindakan Anwar menghasut rakyat mengadakan perhimpunan termasuk di Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya, Selangor Rabu lalu bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut beliau, rakyat telah membuat pilihan dengan memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dan semua pihak termasuk pembangkang patut menghormatinya.

Beliau berkata, tindakan Anwar itu hanya akan menyebabkan keamanan negara tergugat dan menjadi mangsa ialah rakyat yang tidak bersalah.

''Ini sebenarnya bukan politik sahaja tapi taksub perkauman. Bila kehendak sendiri tak tercapai yang jadi mangsa rakyat. Mereka ikut sertai dia (Anwar) membantah supaya dapat jajah kita, hapuskan Perlembagaan tapi rancangan mereka tak jadi begitu, ini yang mereka marah.

''Mereka undi Melayu langsung tidak, kita pula tolong mereka kalahkan Melayu. Tetapi tetap kalah dan bila begitu, (masih) kata (pilihan raya) tak betul," katanya.

Beliau turut melontarkan pertanyaan tentang kehendak sebenar pembangkang.

''Saya juga tak faham apa mereka (pembangkang) ini nak sebenarnya apabila pada masa sama Dewan Ulama Pas pula buat keputusan meminta semua kepimpinan pembangkang menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 
 

 

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title