Jun 2, 2013

PRU13 Rebah di Kaki Gunung Kinabalu oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

PRU13
Rebah di Kaki Gunung Kinabalu
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz


Sepanjang tempoh berkempen PRU13 di Parlimen Pasir Mas baru-baru ini, saya kerap ditemuramah oleh para wartawan daripada pelbagai akhbar dan penyiaran. Antara yang agak eksklusif adalah para pengkaji politik daripada luar negara seperti Singapura dan Australia.

Antara yang acap ditanya oleh mereka adalah berkaitan keyakinan atau telahan saya mengenai kemenangan PR dalam PRU kali ini. Lebih menarik adalah kekuatan PAS di negeri Kelantan dan kerusi Parlimen Putrajaya yang begitu kuat gema dan hangatnya yang telah berjaya membakar semangat para petugas parti untuk mencipta kejayaan merampas Putrajaya dan membentuk kerajaan baru pilihan rakyat.

Jawaban saya untuk Kelantan adalah mudah. Sengit tetapi Kelantan akan terus kekal di bawah PAS. Mereka bertanya, mengapa sengit? Saya kata, politik Kelantan tak pernah tak sengit. Rakyat Kelantan celik politik lebih awal mendahului negeri-negeri lain. Apabila rakyat celik politik, maka ahli politik tidak lagi boleh tidur. Kelekaan akan dihukum.

Jawaban saya untuk Parlimen Putrajaya pula agak berbeza daripada keyakinan para wartawan sendiri yang melihat kilauan PR sepanjang kempen berjalan di sana. Saya kata, kami sedang berlawan dalam pilihan raya umum di seluruh negara kecuali di Parlimen Putrajaya. Bagi saya, ia adalah sebuah pilihanraya kecil dalam sebuah pilihan raya umum.

Sifat pilihan raya kecil adalah keramaian dan kebisingan. Tetapi yang ramai dan bising hanyalah para penyokong. Mereka memiliki segala kekuatan kecuali satu. Mereka tidak memiliki kertas undi. Adapun para pengundi, kebanyakan mereka berehat di rumah menunggu hari mereka memangkah dan menghukum. Jika di pedalaman, mereka menunggu wang. Di Putrajaya pula, mereka menunggu gaji kerajaan memerintah. PR tak bayar mereka gaji.

Maka saya beritahu wartawan, untuk 'pilihanraya kecil Putrajaya', saya kira sukar buat PAS.

Adapun untuk kemenangan PR dalam PRU13, saya gagal untuk memberi jawaban walaupun sekadar telahan. Saya hanya kata, saya tak tahu nak kata. Saya berikan mereka beberapa sebab;

Pertama, pergerakan undi kepada PR tidak menyeluruh di kalangan orang Melayu. Ia hanya diyakini bergerak di kalangan masyarakat bermaklumat di bandar dan kalangan anak muda. Oleh kerana PAS bertanding di banyak kawasan majoriti Melayu, manakala kemenangan PR pula banyak bergantung kepada kepada pertambahan kerusi PAS, maka agak sukar untuk saya membuat telahan kemenangan atau kekalahan bagi PR kali ini.

Kedua, jika pun PAS menang lebih baik di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang ditandingi, kemenangan PR masih terlalu bergantung kepada lonjakan besar di Sabah dan Sarawak. Oleh kerana PAS, apatah lagi saya sendiri kurang maklumat lengkap mengenai pergerakan undi sebenar di Sabah dan Sarawak, selain hanya bergantung harap kepada kemenangan PKR dan DAP yang bertanding di banyak kawasan di sana, maka saya katakan kepada rakan-rakan dan wartawan, saya tak boleh nak kata apa-apa mengenai keputusan PRU13. Tunggu 5 haribulan nanti. Dalam menunggu, kita buat kerja termampu.

Keputusan yang diperolehi pada 5 haribulan adalah tidak mengejutkan saya. Saya mudah menerima takdir Allah dalam PRU kali ini berbanding kejutan takdir Allah dalam PRU 2004 yang begitu menggegar bahtera perjuangan PAS.

PAS menang lagi di Kelantan. Ia agak sengit kerana BN hanya memerlukan lagi 3 kerusi untuk menafikan majoriti dua pertiga PAS mentadbir Kelantan. Saya gembira menumpang kegembiraan rakyat Pasir Mas berjaya melunaskan nekad mereka untuk mengalahkan calon yang telah mengkhianati mereka pada 2008. Kuntuman bunga raya bertaburan di kuburan politik khianat dan rasis.

PAS kalah lagi di Putrajaya. Ia agak sukar diterima para penyokong yang begitu kuat bekerja. Tetapi tidak saya dan tidak bagi mereka yang melihat seperti saya lihat. Tetapi adakah kota Putrajaya tidak akan runtuh? Saya kata, Putrajaya adalah kota hijau. PAS akan tiba di sana pada PRU14 nanti. Go Green..

Keputusan PRU13 adalah kemenangan buat BN dan kekalahan buat PR. PAS melalui presidennya menyeru rakyat menerima kekalahan. Ia adalah takdir Allah. Dalam bahasa yang lebih lunak dan menjinakkan hati yang beriman, kita menerima takdir Allah bahawa kita kalah PRU13 melalui penipuan dan manipulasi undi oleh BN. Kita menerima takdir Allah bahawa perjuangan membersihkan SPR belum tamat.

Tinggal dulu perihal penipuan oleh BN. Kita bicara kemudian, atau anda boleh membacanya segera di dalam banyak artikel pendedahan dan pembongkaran.

PAS gagal memikat undi orang-orang Melayu di seluruh negara. Di Kelantan sendiri, PAS gagal membantu PKR mengekalkan kemenangan di 3 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada 2008.

Ia adalah ketakutan yang dijangkakan walaupun tidak diharapkan berlaku. walaupun begitu, PR seperti diyakini, telah berjaya mengasak rapat BN di seluruh semenanjung Malaysia. PR menambahkan kerusi di DUN dan Parlimen semenanjung.

Adapun di Sabah dan Sarawak, PR tumbang. Sabah dan Sarawak melenyapkan harapan PR memenangi Putrajaya. BN Sarawak memenangi 25 daripada 31 kerusi, manakala di Sabah, BN menang 22 daripada 25 kerusi yang dipertandingkan.

Hakikatnya, janji DSAI perihal Sabah dan Sarawak hancur berkecai. Jika ia berdasarkan culaan dan makrifat yang kukuh dan berwibawa, maka ia membayangkan betapa lemahnya jentera DSAI mencula dan memakrifatkan. Jika ia sekadar janji manis menakluk harapan, maka lihatlah betapa ramai penyokong PR yang menjadi mangsa kencing manis akibat janji manis bergula DSAI.

Saya tidak faham politik janji manis dan harapan meranap gunung. Sepanjang saya berguru politik dengan dengan TGNA, TGHH dan guru-guru politik dalam PAS, saya tidak pula diajar begitu selain berkata benar dan tegas.

Ya, DSAI bukan PAS dan beliau tidak perlu mengguna pakai kaedah PAS. Tetapi saya jadi keliru melihat sebahagian mangsa adalah ahli dan pendukung PAS. Sesetengah sukar memahami maksud 'menerima takdir Allah' yang dianjur presiden PAS sehingga menganggapnya sebagai menyerah kepada kezaliman BN yang mempergunakan SPR. Saya sukar memahami sesetengah ahli PAS tidak memahami maksud beriman kepada takdir Ilahi.

Samada saya menyalahkan DSAI atau menyalahkan ahli dan pendukung PAS sendiri yang terlalu kemaruk janji manis DSAI, saya tangguhkan buat sementara. Kerana mungkin juga kedua-duanyalah yang bersalah.

Pada sekitar 2010, Dewan Pemuda PAS Malaysia merumuskan melalui dapatan yang dihasilkan kajian yang menyeluruh, bahawa PAS mestilah menumpukan usaha memikat hati orang Melayu yang masih liat untuk berubah. Pemuda mengingatkan semua jentera parti agar menjaga hati orang-orang Melayu agar PAS dilihat mampu menggantikan UMNO. PAS perlu bertegas dengan isu orang-orang Melayu sebagaimana UMNO dilihat begitu. Bezanya, PAS hanya perlu menampilkan penyelesaian cara Islam yang adil dan bersifat memakmurkan hubungan antara kaum tanpa faham rasis UMNO. Justeru ia akan menambah undi Melayu selain mengekalkan undi bukan Melayu kepada PAS.

Justeru Dewan Pemuda PAS Malaysia telah berusaha menjuarai isu-isu Melayu dan Islam. Saya yakin kami telah memperolehi hasil yang agak positif.

Sebelum PRU13 berlangsung, saya bertanya kenalan yang akses sumber BN. Dia yakin BN kekal dengan kemenangan lebih 140 kerusi. Saya cuba menolak dengan beberapa hujah. Tetapi beliau selamba menjawab, BN yakin menang besar di Sabah dan Sarawak. PAS akan hilang banyak kerusi, tak akan menambah di semenanjung. Saya senyap dalam keliru.

Bila PAS hilang hanya satu kerusi, saya terus menadah syukur. PAS tidak sebagaimana cula BN. Bila PR kalah teruk di Sabah dan Sarawak, saya terima takdir bahawa cula BN lebih berjaya dan cula kita hanya janji manis.

Pada tuan presiden, saya percaya. Pemuda PAS berjuang bersama di barisan hadapan.



 Sumber :


Petikan dari di atas

Pada sekitar 2010, Dewan Pemuda PAS Malaysia merumuskan melalui dapatan yang dihasilkan kajian yang menyeluruh, bahawa PAS mestilah menumpukan usaha memikat hati orang Melayu yang masih liat untuk berubah.

Komen

Orang Melayu bukan liat hatinya tetapi sangat ngeri melihat gelagat pemimpin PAS yang sembarangan bila bercakap terutamanya perkara yang berkaitan dengan persoalan aqidah umat Islam.

Orang Melayu juga musykil dengan pembawakan agama oleh PAS di mana pelangaran secara semborono hal berkaitan hukum agama seperti mengkafirkan sesama orang Islam, menterjemahkan nama Allah seperti Al-Jabbar kepada samseng dan juga naratif yang menyeleweng tentang Nabi Muhammad dengan menyamakan kelahiran Rasullullah dengan manusia biasa di Kelantan.

Orang Melayu dan orang Islam secara umumnya bimbang dengan keakraban PAS dengan ulama syiah dari Iran dan penghantaran pelajar-pelajar ke Iran. Tentunya tidak mustahil sikap dan tindakan pas itu menjadi sebagai salah satu pintu bagi kemasukan fahaman syiah ke negara ini.

Orang Melayu yang tahu sejarah dan asal usul DAP tidak dapat menerima DAP sebagai mahkluk yang "baik" lagi boleh dipercayai walau pun PAS telah bertungkus lumus untuk memuliakan DAP di mata orang Melayu dengan mengiktiraf komunis yang menyerang Bukit Kepong sebagai pejuang. Orang Melayu faham akan tujuan pengiktiraf oleh PAS itu. Jika komunis itu dapat diterima sebagai pejuang, maka tentunya DAP juga tidak akan dipandang sebagai musuh lagi oleh orang Melayu. Ini kerana sekian lama orang Melayu sememangnya sering mengaitkan DAP dengan komunis.

Orang Melayu juga tidak berkeyakinan untuk meletakkan kepercayaan kepada pemimpin PAS walau pun mereka digelar sebagai ulama oleh pengikut PAS. Ini kerana sikap dan cara yang mereka zahirkan seolah-olah dipentas politik hukum agama tidak terpakai lagi melainkan mana yang perlu untuk mereka berpolitik.

Antara contoh yang masyhur : Menutup sama sekali salah laku seks biar pun terdapat petunjuk video yang sangat mirip dengan pemimpin mereka. "Menutup cerita " tanpa melakukan siasatan berlaku bukan sekali, ianya telah berlaku banyak kali. Tentunya orang Melayu yang punya mata hati yang terang pandangannya akan merasakan betapa nanti jika PAS berjaya melaksanakan Hudud, apakah pemimpin PAS akan diberi imuniti dan hanya rakyat yang akan tertakluk dengan hukuman berasaskan hudud itu. 

Orang Melayu juga tidak ingin hidup di dalam dunia yang hanya berlambangkan kemuliaan Islam semata-mata sedangkan hakikatnya seolah-olah berada di zaman yang tidak bertamadun di mana siasatan langsung tidak perlu dilakukan jika melibatkan pemimpin PAS.

Orang Melayu juga agak gusar dengan ketidak bijaksanaan pemimpin PAS dalam menyelesaikan masalah atau menjelaskan sesuatu kemusykilan. Jelas di mata hati orang Melayu betapa tidak bijaknya pemimpin PAS mengaibkan kawan seperjuangan mereka dari PKR dengan mengumumkan di khalayak ramai bahawa terdapat calun-calun PKR yang terlibat dengan Pil Kuda dan pengaruh Lenin.

Jelas sekali betapa tidak bijaknya perkara seumpama itu dihebahkan sedangkan ianya boleh diberitahu kepada kawan seperjuangan dengan cara berbisik sahaja. Pemimpin Pas kununnya ingin menjelaskan persoalan tentang pertembungan calun sesama Pakatan Rakyat namun hasilnya cakap itu telah mengaibkan kawan mereka sendiri.


Kini sekali lagi orang Melayu hilang percaya kepada kewibawaan dan kebijaksanaan PAS dalam menyelesaikan masalah.

Apabila PKR memberi respon terhadap keceluparan pemimpin PAS dalam kes " Pil Kuda dan Lenin ", pemimpin PAS tidak langsung mahu memikirkan kemungkinan itu suatu kesilapan yang telah pemimpin mereka lakukan.

Kita cuma dapat melihat betapa keegoaan telah berjaya menguasai pemikiran dan hati pemimpin pas apabila memberi kenyataan balas yang berbentuk menghentam kembali PKR. Malu balas malu, pendedahan lawan pendedahan.

Itulah yang sedang berlaku di saat ini jika kita ikhlas mengamati setiap dari kata-kata yang sedang mereka lontarkan di dada akhbar mahu pun di youtube.

Malah kita merasakan tulisan  " PRU13 Rebah di Kaki Gunung Kinabalu  oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz" walau pun tampak kebenaran tentang apa yang cuba ingin disampaikan, namun dari suatu segi ianya adalah sebahagian dari tindakan "hentam kembali" kesan dari ego yang tidak terbendung itu.

Ucapan Haji Hadi berkaitan pil kuda dan lenin itu salah pada fikiran kita bersandarkan ilmu agama yang kita telah tahu.. Ianya salah kerana dibuat secara terbuka di khalayak ramai dan kesan dari kata-kata tuduhan haji Hadi itu telah amat mengaibkan PKR.

Ego sekali lagi berjaya dalam misinya iaitu Menginjak-injak kebenaran.

Tentunya syaitan yang terdiri dari manusia dan jin amat gembira melihat kelaku pemimpin PKR dan PAS diwaktu ini.

Dan orang Melayu sekali lagi benar-benar insaf dan mengerti sebab mengapa mereka perlu tolak kepimpinan PAS.

Pil Kuda dan Lenin


Orang PAS pun ada yang julang gambar ayatollah khomeini
tak ape ke aji ..

DAP juga yang Untung

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title