Jul 29, 2013

Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia Tiada Maknanya Andai ...

Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia 
Tiada Maknanya Andai ...

  
Tak kan Melayu hilang di dunia, inilah kata-kata yang dikatakan keluar dari mulut Datok Panglima Hang Tuah. Entah lah sejauh mana kebenarannya tak siapa yang tahu. Harus untuk dipercaya, harus juga untuk kita tidak percaya ianya dari Datok Hang Tuah

Begitu bermaknakah kata-kata ini. Dari pemerhatian ku, bangsa yang kita kenali sebagai Red Indian masih ujud hingga ke hari ini biar pun tanah milik mereka dirampas oleh kolonial british suatu masa dulu. Kunta kinte masih hidup di bumi Amerika hinga hari ini biarpun mereka tidak lagi berbudayakan kunta kinte. Rakyat Afghanistan masih berjuta jumlahnya biarpun di bom sakan oleh tentera Amerika siang dan malam.

Maka apakah maksudnya tak kan melayu hilang di dunia seperti yang di maksudkan oleh Datok Hang Tuah. Mustahil Panglima yang hebat cerita dan lagendanya itu meluahkan ungkapan dan slogan yang sebegitu benggap dan tak bermakna.

Jika benar ianya dari Datok Hang Tuah, tentu ianya kata-kata yang mendalam maksudnya. Melayu dulunya dikatakan sebagai bangsa yang lemah lembut, sopan santun, rajin berusaha, gagah berani, punya prinsip hidup dan taat beragama. Perniagaannya maju hingga Melaka jadi pelabuhan terkenal di peta dunia dahulu kala. Andai benar kata-kata ini dari Datok Panglima Hang Tuah, tentu buktinya juga jelas diperlihatkannya melalui tindakannya berhadapan dengan kerenah rajanya yang bernafsu di mata berkehendak di hati. Kalau benarlah tindakan dan tingkah laku Datok Hang Tuah melambangkan kata-katanya itu, maka ianya sesuatu kata-kata yang indah dan bermakna untuk melayu sekelian ambil ingatan.

Taatnya pada raja, kecekapannya mempertahankan negara, budi bahasa dan sopan santunnya yang tinggi menonjol dalam kesah-kesah yang melakarkan kesah hidupnya. Mungkin ini lah maksudnya melayu tak kan hilang di dunia. Adab dan sopannya dipelihara, agama disebatikan dalam hidupnya dan bersatu dia dalam memperkasakan bangsa dan agamanya. Maka barulah bermakna ungkapan tak kan melayu hilang di dunia.

Sebaliknya, jika layar seronok menjadi impian melayu, mengejar kesenangan hidup tak berkira sumbernya samada halal atau haram jadi budaya melayu, maka tak kan melayu hilang di dunia tentunya tak bermakna kerana bangsa lain pun masih tidak hilang di dunia. Orang Palestin masih hidup beranak pinak, malah ada yang berkereta mewah biarpun siang malam hidup dalam lentuman ledakan bom dan peluru.

Aku ke kedai mencari barangan dapur selepas magrib tadi. Sewaktu hendak membayar, ada dua tiga anak melayu muda remaja sedang meletakkan tin-tin minuman keras di sebelah barang yang ku beli di atas kaunter bayaran. Tak segan tak silu, tersenyum-senyum pula memandangku, begitu terserlah rasa bangganya atas keselambaannya itu pula. Aku keluar kedai berjalan di kaki lima menuju ke kereta, sekumpulan lelaki dewasa lewat usia sedang melepak duduk di kaki lima kedai dalam samar malam. Bercerita berdekah ketawanya, botol minuman keras seumpama botol oren berdiri megah di sisi mereka.

Aku terus ke kedai makan untuk beli bungkus makan malam ini. Aku bertanya pada anak gadisnya, menu ada ? Tu ! baca lah, sergah anak gadis tokey gerai makan melayu tu sambil menunding jari ke arah tampalan menu di dinding gerai nya. Sewaktu meletakkan hidangan makanan, sambil matanya meliar memandang ke arah lain, diletakkannya pinggan berisi makanan di hujung meja bersama sudu dan dia berlalu pergi .

Kelmarin, aku pulang dari kerja di waktu makan tengahari, anak muda berpakaian sekolah menengah bermotor menerju masuk pagar rumahnya. Dari atas motor dicampaknya beg sekolah ke dalam rumah melalui "sliding door" dan terus memerah motor berpatah balik keluar menuju ke tempat dia dan kawan-kawannya berkumpul bermain gitar dan berborak hingga ke petang. Hampir saja dilanggarnya sesiapa sahaja yang kebetulan lalu di depan pagar rumah nya sewaktu dia menghambur keluar.

Entah bila harinya, aku pun dah lupa, sepasang teruna dara berborak di depan pagar rumah. Ku pandang agar mereka faham dan pergi dari situ, malangnya pandangan ku sebagai orang tua tiada makna apa-apa di hati mereka. Lantaran itu ku hampiri mereka dan ku tegur. Dik nak borak pergi la tempat lain atau di depan rumah adiksendiri ke. Tak elok lelaki perempuan berjumpa dan berborak di depan pagar rumah orang lain. Di tenungnya aku lantas berkata, kami bukan buat apa, borak pun tak boleh ke ! Hanya setelah aku hampir naik angin, barulah mereka bergerak pergi.

Di kaca televisyen, pemimpin melayu bertuduh- tuduhan antara parti melayu. Walaupun sebenarnya mereka sama sahaja bersandaran dengan parti bukan melayu lain agar dapat memerintah negara. Tiada ucapan perpaduan melayu melainkan mencari salah parti lawan. Yang alim cakap ikut sedap hatinya, yang bersemanggat melayu asyik menunding jari ke melayu lain.Fitnah jadi mainan politik masakini. Pengikutnya pula cemas berlari bersama pemimpinnya. Pemimpinnya melompat ke barisan lawan, pengikutnya bertujai ikut sama melompat. Esok balik semula pemimpinnya ke parti asal, berombak pengikutnya berpaling ke parti asal.

Di kaca televisyen juga, minda melayu disantak dengan hiburan siang dan malam. Ada sedikit ruangan untuk agama dan berita namun selepas itu minda melayu terusan disantak hingga ke pagi oleh cerita dan nyanyian lagu melayu dan inggeris. Artis nya seksi belaka mengalahkan yang bukan melayu pula. Pengacaranya terjerit-jerit, terkekeh kekeh ketawanya dengan lawak yang ada ketikanya sukar untuk dimengertikan untuk apa dia harus berkelaku begitu rupa. Rancangan majalah hiburan pula menjaja gosip seolah melayu tak boleh hidup tanpa gosip. Dicanangkan hiburan sebagai industri dan perjuangan mereka sebagai anak seni. Apa seni nya apa industrinya aku pun tak tahu, yang aku tahu, mereka mengajak umat melayu berhibur, mengajar melayu berpakaian tidak menentu sopan dan terbuka auratnya ikut teragak hati. Salam pun sudah mereka perbagaikan, bukan hanya Assalamualaikum seperti yang agama ajarkan.

Uhh.. banyak lagi, belum masuk lagi soal melayu yang makan rasuah, tidak amanah dan membelasah hak rakyat. Cuba membela kemungkaran seperti jabatan agama, kepalanya pula disekeh setiap kali cuba membuat tangkapan maksiat anak muda di kelab-kelab dan pusat hiburan. Itu belum lagi mufti-mufti yang diperlekehkan dan diejek tentang gaji yang kununnya mereka yang bayar. Belum lagi disenaraikan peratusan anak muda menghisap dadah dan mati tersadai direnggut virus dan aids. Ada yang bertukar jantina dan hidup berlandaskan budaya dan cara artis barat kegemaran mereka. Malah ada yang beridolakan penyanyi barat yang memuja syaitan. Jika disenaraikan satu persatu, ianya amat mengerikan lagi mengaibkan bangsa melayu sendiri. Jika ingin melihat lautan melayu jenggah sahaja di konsert-konsert. melayu pasti memenuhinya. Di disko, melayu ramai tergelek-gelek dari remaja hinggalah lewat usia. Ketawa riang remaja perempuan melayu dalam mabuk menghiburkan khalifah-khalifah melayu terakhir di malam yang makin larut.

Andai begini berterusan melayu, maka tentunya tak kan melayu hilang di dunia tiada bermakna lagi jika yang ada cuma melayu yang telah hilang sifat mulianya dan hidup bersukaria mengejar nikmat sekehendak nafsunya.

Mulia melayu kerana agamanya. Yang dikatakan sopan santun bukanlah kerana melayu itu sendiri. Apa ada pada bangsa kerana bangsa itu ciptaan Tuhan. Mulia melayu kerana takdir Tuhan telah menentukan melayu hidup sebagai orang Islam. Dahulu melayu ramai yang tidak pandai membaca tapi mereka gemar mengaji Al-Quran. Maka ada yang menghafal ayat-ayat dari Quran dan melagukan di setiap waktu berkesempatan. Di dada melayu terisi dengan ayat-ayat Quran. Inilah puncnaya tenangnya jiwa melayu dahulu kala. Sabar dan sopannya terajar oleh ajaran Quran. Malam jumaat melayu berkumpul membaca yasin.. Walaupun tidak sepenuhnya tapi di jiwa melayu ada Quran.

Kini kelas belajar membaca Al-Quran masih ada, cuma yang makin pudar warnanya, budaya membaca Quran. Hampir saja ada Quran di rumah melayu yang terbuka hanya bila ada ahli keluarganya meninggal dunia.

Bila Quran tiada di dalam dada melayu, dada melayu menjadi kering dan gersang. Bosannya datang tak menentu. Ruang yang kosong itu perlu di isi, maka hiburanlah menjadi pengantinya. Maka layu dan lemahlah jiwa melayu walaupun nampak dia rancak dalam kehidupannya mengejar keseronokan dan kemewahan hidup.

Dadah menjadi pil pengubat resah, arak menjadi tonik penyegar semangat terutama bila malam datang. Perempuan pantang alpa tersadai di birai pesona ringgit dan kemewahan hidup. Tergoda dan digoda lelaki melayu yang asalnya khalifah di bumi Tuhan ini. Ada gadis melayu berdagang tubuh menyara pelajaran atas biasiswa bernama terpaksa. Maka bila ditanya salah siapa terdengar berita bayi dibuang ke dalam tong sampah. Salah gadis melayu yang tak pandai menjaga kehormatan dirinya atau salah lelaki melayu yang sengaja menjadi egen syaitan merosakan kaum hawa demi tuntutan nafsu sendiri.

Along atau asal namanya ceti datang membelasah peminjam melayu. Salah alongkah atau salah melayu yang suka berhutang dan suka-suka tak bayar hutang. Melayu sudah lupakah yang Riba itu termaktub sebagai dosa besar. Atau melayu sendiri tidak gentar lagi bila mendengar ungkapan dosa besar. Atau riba yang bertukar nama menjadi bunga senasib dengan perkataan perkataan gundik di zaman dahulu di mana tidak anggap orang sebagai berzina.

340 tahun hidup dijajah. Tragedi aib yang tak suka dikenang melayu. Dalam mengecapi kemakmuran pelabuhan tersohornya, ada melayu hidup di istana yang penuh dengan hasad dengki. Sistem kehidupan itu sendiri bukan lah mulia sangat. Beratus ribu gadis melayu menjadi penghibur naluri dengan nama yang di terima pakai sebagai tidak menjijikkan iaitu gundik. Beratus ribu lelaki melayu menjadi hamba sahaya di istana, malah kedapatan pembesar itu sendiri tidak kenal yang mana satu hambanya dan yang mana satu tetamu yang datang bertandang ke rumah di sebabkan begitu ramai hamba sahayanya.

Maka bila melampau batas, bala datang bergolek tak tertahan lagi. Melayang kegahan melayu, merengkok di belenggu penjajah selama 340 tahun. Tidak kah ini menjadi peringatan tersohor melayu agar tidak berulang sejarah hitam itu lagi. Atau melayu sekarang memang sudi dijajah jiwanya oleh sogokan nikmat sementara dunia ini.

Pengkhianatan demi pengkhianatan bersilih ganti. Bermula dari panglima Haji sewaktu cubaannya menawan kota melaka dari tangan belanda. Tembus peluru di dadanya akibat khianat bangsanya sendiri. Penghianatan berulang kali mencipta sejarahnya di alam Melayu. Beratus ribu pahlawan melayu yang berjuang bersama Mat Kilau dan Dato' Bahaman gugur syahid di malam seribu bintang akibat pembocoran rahsia serangan besar-besaran mereka terhadap kedudukan tentera inggeris oleh ketua negeri yang pentingkan kuasa.

Terkemudian dari itu masih ada lagi khianat melanda dunia melayu. Kecundang Dato' Naning hingga terpaksa berundur dari medan perjuangan akibat khianat pemimpin melayu sendiri.

Sememangnya sejarah telah membuktikan segalanya jika melayu mahu berfikir dan mengambil iktibar.

Bicara memang handal, ungkapan dan simpulan bahasa memang cantik tetapi melayu yang mengarangnya, melayu sendiri yang melanggarnya.

Melayu tak kan hilang di dunia tapi jiwa mulia bangsa ini akan terkikis jika melayu tinggalkan agama dan Quran nya.

Tanpa ajaran Islam dan Al-Quran di dada, siapalah melayu.

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title