Dec 23, 2013

Persoalan Khatamun Nubuwwah

Persoalan Khatamun Nubuwwah

Baru-baru ni ada jemaah masjid bertanya tentang 'khatamun nubuwwah' untuk digantung di rumah sebagai tawasul dengan Allah. Dia memberikan sehelai kertas yang tercatat sebuah hadis di samping gambar khatamun nubuwwah tersebut (lihat gambarnya di atas). Persoalannya, betulkah hadis tersebut dan apakah benar bentuk khatamun nubuwwah yang ditunjukkan itu? Sebelum menjawab persoalan ini, didatangkan terlebih dahulu isi kandungan yang tercatat dalam kertas tersebut iaitu:

Menurut mafhum hadis yang dipindahkan daripada Imam At Turmuzi Radhiyallahu 'anhu katanya:

"Barangsiapa menilek atau memandang kepada "Khatamun Nubuwwah" sedang ia berwudhu' pada waktu subuh, nescaya memelihara Allah akan dia hingga membawa ke petang. Dan barang siapa menilek kepadanya pada waktu maghrib terpelihara pula hingga ke pagi. Demikian juga barang siapa menilek kepadanya pada awal bulan nescaya memelihara Allah akan dia dari segala bala dan kecelakaan hingga akhir bulan itu.Selanjutnya barang siapa yang menileknya kepadanya sewaktu hendak berjalan (musafir) nescaya jadilah sepanjang perjalanannya itu barakah dan selamat dan barang siapa mati dalam tahun itu nescaya dimatikan Alllah dalam iman...".

Perbincangan

Apabila diteliti terhadap 'hadis' yang dibawa dan dinisbahkan pula kepada Imam al-Tirmizi, maka sewajarnya dirujuk maklumat tersebut dalam Sunan al-Tirmizi. Setelah disemak, didapati bahawa maklumat tersebut tidak terdapat dalam Sunan al-Tirmizi. Ini bermakna ia adalah suatu tohmahan atau tersilap menisbahkan kepada Imam al-Tirmizi.

Persoalan seterusnya ialah, dari manakah riwayat ini datang ?

Sebenarnya riwayat ini disandarkan kepada Al-Hakim At-Tirmizi berdasarkan ... 

seterusnya @ darulkautsar.net



Panel Kajian Aqidah kali ke-45/2012 telah memutuskan bahawa kepercayaan terhadap "Khatamun Nubuwwah" dengan gambar rajah tertentu, tulisan tertentu dan khasiat tertentu adalah tidak mempunyai sebarang asas daripada al-Qur'an dan al-Sunnah. Kepercayaan terhadap "Khatamun Nubuwwah" seperti yang dinyatakan adalah perbuatan khurafat dan bid'ah munkarah serta boleh membawa kepada syirik.

Imam al-Zurqani menjelaskan, “Syaikh al-Islam al-Hafiz Ibn Hajar berkata dalam Fath al-Bari, apa yang warid bahawa khatam itu seperti kesan berbekam…atau termaktub di atasnya “Muhammad Rasulullah” sebagaimana dalam Tarikh al-Hakim dan lainnya atau perkataan “berjalanlah sesungguhnya engkau dibantu” sebagaimana dalam al-Nawadir, tiada satu pun yang sabit bahkan sesetengahnya batil (palsu) dan sesetengahnya dha’if”. (Syarh al-Zurqani ‘ala al-Mawahib al-Ladunniyyah bi al-Minah al-Muhammadiyyah 1996:1/293.)

Al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqr, bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar pula mengatakan: “Khatam al-Nubuwwah memang tersebut dalam hadith-hadith sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain. Ia merupakan seketul daging yang tumbuh di atasnya beberapa helai rambut di antara dua bahu Nabi SAW...dan telah sampai riwayat-riwayat lain tentang sifat tanda ini, antaranya ada yang palsu dan bohong, antaranya juga ada yang dha’if dan tidak boleh dijadikan rujukan, antaranya juga yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi al-Hakim, dia bukan al-Tirmizi Sahib al-Sunan, bahawa termaktub pada batinnya “Allah Maha Esa, tiada sekutu baginya” dan pada zahirnya “Hadapkan muka anda ke manapun, anda pasti diberi pertolongan”. Riwayat ini karut sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari. Dari sini dapat dimaklumi bahawa apa yang tersebar berkenaan bentuk tanda ini adalah tidak benar, dan apa yang dihubungkan dengannya juga tidak ada kebenarannya dalam agama ini” (Fatawa al-Azhar: 8/125)


Wallahu'alam

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title