Mar 24, 2014

Majlis Cinta Rasul, Selawat Diiringi Alat Muzik dan Pembawakan Golongan Habib

Cinta Rasul, Selawat Diiringi Alat Muzik 
dan Pembawakan Golongan Habib

*****************
Nota 01
Matlamat tetap tidak dapat menghalalkan cara 

Baguslah jika kreatif, namun prinsip kesucian yang ada di dalam Islam tidak boleh diketepikan dalam merealisasikan cita-cita yang mulia. Kemurnian dan kesucian akan hilang jika perlakuan tidak benar disertakan sama dalam usaha mencari kebaikan. Pendek kata memang benar pada hakikatnya " Matlamat tetap tidak dapat menghalalkan cara "

Allah dan rasul lebih tahu apa yang disuka manusia namun ditengah-tengah masyarakat yang hidup dengan cara jahilnya itu... terbukti Islam tetap disebarkan dengan cara yang suci dan mulia, tidak sedikit pun dipengaruhi unsur-unsur atau budaya jahilliyah yang ada di saat itu..

Ikutilah perbincangan sekadar mengutarakan pandangan yang ditemui agar pengisian Majlis Cinta Rasul yang diisi dengan Selawat dan Qasidah beriringan dengan muzik yang sering diadakan masakini dapat dihalusi akan kebenarannya samada bertepatan dengan kehendak ajaran agama Islam dan syariat yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w itu sendiri.

Apa sahaja anjuran dan fahaman samada ianya Ulama dari Yaman atau Turki atau Mesir atau Indonesia atau Malaysia atau dari mana sahaja bahagian dari dunia ini, tentunya. yang benar wajar kita ikuti, yang salah sangat mesti kita jauhi... agar ianya sentiasa selari dengan doa yang sering kita pohon dari ALLAH  ... Tunjukilah kami jalan yang lurus ..

Nota 02
Majlis Cinta Rasul Pembawakan Golongan Habib Bersama Qasidah dan Selawat ke Atas Nabi. Apakah ianya menepati syariat yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w

Bagaimana pula jika ianya diadakan tanpa dicampur aduk dengan unsur-unsur hiburan seperti alatan muzik

Wallahu'alam

Qasidah dan Selawat diiringi alatan muzik oleh golongan habib

Nota 03
Apa bezanya gambus dan gitar. Kedua-duanya alat muzik bertali, serupa juga sifatnya piano yang menguakan tali. Jika piano dan gitar dihukumkan tidak boleh bagaimana pula gambus pula dibenarkan. Tentu ada penejelasan oleh pihak yang berauthoriti dalam bidang hukum agama berkaitan perkara ini.

Nota 04
Umno menganjurkan majlis qasidah, berselawat atas Nabi s.a.w baru-baru ini. Cuma pada kita ada perkara-perkara yang lebih penting perlu diusahakan juga. Antaranya menegakkan cara kehidupan mengikut tuntutan agama terutamanya dalam pemerintahan mesti di usahakan dengan bersungguh juga.

Jika asyik dgn berqasidah sahaja... ibarat rumah yang berhias ayat quran di dinding jadiknya nanti. Baca nya tidak, maknanya pun mungkin tidak pernah diambil peduli.. Yang dapat hanya rasa banga sajalah... cantik bingkainya ...wallahu'alam.


wallahu'alam
Islam Browser

*********************
Fahami dengan Betul Hadis Nabi s.a.w
Dr. Abdul Basit Abdul Rahman

*********************

Gaya Berzikir yang boleh ditemui 
di youtube




*********************

HUKUM BERSELAWAT & BERZIKIR 
DENGAN GENDANG, MUZIK & TARIAN
January 27, 2013


(Perhatian: Posting ini di edit dari web abuanasmadani.blogspot dan tidak disalin sepenuhnya. Sila klik link yang tertera untuk mengikuti tulisan asal beliau agar dapat memahami maksud asal yang ingin di sampaikan oleh beliau yang amat kita hormati )

BERSELAWAT & BERZIKIR DENGAN GENDANG, MUZIK & TARIAN.

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وأصحابه، والتابعين لهم على الهدى والإسلام إلى يوم الدين، أما بعد

Dalam kita mencari ilmu untuk beribadah menurut apa yang diajar oleh Nabi saw, masih ramai lagi yang keliru dalam memahami kaedah sebenar sebagai panduan dalam beribadah. Maka lahirlah begitu banyak perselisihan di dalam bab ini. Baik perselisihan dengan golongan ahli ahwa’ (golongan rafhidhah yang menghalalkan bid’ah di dalam urusan agama) yang sememangnya tersasar dari Manhaj As-Sunnah mahupun perselisihan sesama golongan yang berfahaman atau bermanhaj As-Sunnah.

Perbincangan di sini akan difokuskan kepada isu yang menjadi persoalan dalam masyarakat, apabila ada ahli ilmu atau pencinta ilmu dalam kalangan ahli ibadat, orang masjid yang melakukannya.

Kita sedar dan faham bahawa perkara yang dibincangkan ini adalah dikatakan perkara khilaf yang menjadi perbezaan pandangan para ulama’ dahulu dan sekarang. Namun untuk menjelaskan isu ini eloklah kita rujuk pandangan imam yang besar dan pandangan ulama’ dalam kalangan pendokong Mazhab Syafie yang dekat dengan jiwa kita.

Membaca selawat sambil diiringi rebana, gendang atau yang seumpamanya (alat muzik).

Perbuatan ini sama juga seperti membaca qasidah-qasidah atau sya'ir-sya'ir yang dinyanyikan dan diringi dengan pukulan kayu, rebana atau seumpamanya. Bahkan lebih teruk lagi sambil menggoyang-goyang badan, berpusing-pusing dan menari-nari. Ia disebut dengan istilah as-Sama' atau Taghbir (sejenis syair berisi anjuran untuk zuhud di dunia yang dinyanyikan dengan sebahagian hadirin memukul-mukul kayu pada bantal, kulit atau sebagainya sesuai dengan irama lagunya).

Antara Pandangan Ulama'-ulama’ Ahlus Sunnah:



1)    Imam Asy-Syafei (wafat 204H) berkata:

Ikuti teks di dalam bahasa arab dari abuanasmadani.

“Di Iraq, aku meninggalkan sesuatu yang dinamakan taghbir. (Iaitu) perkara baru yang diada-adakan oleh Zanadiqah (orang-orang zindiq; menyimpang), mereka menghalangi manusia dari al-Quran.” [Riwayat Ibnul Jauzi, dalam Talbis Iblis].

Ulama'  menjelaskan perkataan Imam asy-Syafei tersebut dengan mengatakan:

Ikuti teks di dalam bahasa arab dari abuanasmadani.

“Apa yang disebutkan oleh Imam asy-Syafei rahimahullah (bahawa perbuatan tersebut merupakan hasil ciptaan para zindiq), adalah suatu pandangan seorang imam yang ahli dalam ilmu usul dalam Islam. Kerana pada dasarnya, tidak ada yang menggalak dan menganjurkan nyanyian melainkan orang-orang zindiq….. sebagaimana yang disebutkan oleh Abdurrahman as-Sulami dalam Mas’alah as-Sama’ daripada Ibnu Rawandi.” [Majmu’ al-Fatawa, 11/570].

Dalam kitabnya, “Al-Umm”, Imam asy-Syafei rahimahullah menegaskan lagi bahawa:

Ikuti teks di dalam bahasa arab dari abuanasmadani.

“Seorang lelaki yang menyanyi dan menjadikannya sebagai pekerjaan, adakalanya ia diundang dan adakalanya ia didatangi sehingga ia dikenali dengan gelaran penyanyi, juga seseorang wanita (yang seperti itu), maka tidak diterima sumpah persaksiannya. Kerana menyanyi termasuk permainan yang dibenci. Tetapi, adalah yang lebih tepat, sesiapa sahaja yang melakukannya, maka ia disebut sebagai dungu (bodoh) dan mereka termasuk orang yang sudah tiada harga diri (jatuh maruahnya)...” [Asy-Syafei, al-Umm, 6/226].

Bagi mazhab asy-Syafei sendiri dinyatakan bahawa: “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat muzik seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang saling dilagakan bagi menghasilkan bunyi), gendang, serunai dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Dibolehkan duff (kompang) bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau seumpamanya. Nyanyian jika tanpa alat muzik, hukumnya makruh (dibenci) dan jika dengan diiringi alat-alat muzik hukumnya adalah haram.” [Lihat perbahasannya dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah al-Faz al-Minhaj, Kitab asy-Syahadat karya Imam Muhammad bin Ahmad bin al-Khathib asy-Syarbini].

2)    Imam Ahmad apabila ditanya tentang taghbir, beliau menjawab: “Bid'ah.” [Riwayat Al Khallal. Dinukil dari kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 163].

 3)    Al-Qadhi Abu at-Toyib al-Tobari (wafat 450H), seorang tokoh ulama' Syafie yang telah menyatakan bahawa: “Kumpulan yang menyanyi untuk ibadah ini telah menyalahi jamaah muslimin kerana telah menjadikan nyanyian sebagai agama dan ketaatan. Iklan-iklan mereka terdapat di masjid-masjid, jami’ah dan semua tempat mulia.” [Mas’alah as-Sama’, Ibnu al-Qayyim].

4)   Imam At-Tartusyi (wafat 520H), tokoh ulama’ Maliki dari kota Qurtubah; telah  ditanya tentang satu kelompok di suatu tempat yang membaca Al-Quran, lalu seseorang di antara mereka menyanyikan sya'ir, kemudian mereka menari dan bergoyang. Mereka juga memukul rebana dan memainkan seruling. Apakah menghadiri majlis mereka itu halal atau tidak ?

Beliau menjawab: “Jalan mereka itu adalah batil dan sesat. Islam itu hanyalah kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Adapun menari dan berpura-pura menampakkan cinta (kepada Allah), maka yang pertama kali mengada-adakannya adalah kawan-kawan Samiri (pada zaman Nabi Musa). Iaitu ketika Samiri membuatkan patung anak lembu yang boleh bersuara untuk mereka, lalu mereka datang menari di sekitarnya dan berpura-pura menampakkan cinta (kepada Allah). Tarian itu adalah agama orang-orang kafir dan para penyembah anak lembu.

Adapun majlis Rasulullah SAW dan para sahabatnya penuh ketenangan, seolah-olah di atas kepala mereka dihinggapi burung. Maka seharusnya pemerintah dan wakil-wakilnya melarang mereka menghadiri masjid-masjid dan lainnya (untuk menyanyi dan menari, Pen). Dan bagi seorang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidaklah halal menghadirinya. Tidak halal membantu mereka melakukan kebatilan. Demikian ini jalan yang ditempuh oleh (Imam) Malik, Asy-Syafei, Abu Hanifah, Ahmad dan lainnya dari kalangan imam-imam kaum muslimin.” [Tafsir Al-Qurtuba 11/238 Syamilah. Lihat Kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 168-169].

 5) Imam Al-Hafiz Ibnu As-Solah (wafat 643H), imam terkenal penulis kitab Muqaddimah 'Ulumil Hadis. Beliau juga ditanya tentang orang-orang yang menghalalkan nyanyian dengan rebana dan seruling, dengan tarian dan bertepuk-tangan. Mereka menganggapnya sebagai perkara halal dan qurbah (perkara yang mendekatkan diri kepada Allah), bahkan (katanya sebagai) ibadah yang paling utama.

Ikuti teks di dalam bahasa arab dari abuanasmadani.

Kesimpulan jawapan beliau ialah: “Mereka telah berdusta atas nama Allah Ta'ala. Dengan pendapat tersebut, pandangan ini masyhur di kalangan golongan batiniyyah  yang Mulhidin (menyimpang). Mereka juga bertentangan dengan ijma'.

Sesiapa yang menentang ijma', (ia) terkena ancaman firman Allah:

وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَاتَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَاتَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيرًا 

{Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam. Dan Jahanam itu seburuk-buruknya tempat kembali.} [An-Nisa:115]”. [Fatawa Ibnu As-Solah, 2/499- Syamilah. Lihat: Kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 170].

5)   Syeikh Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiah rahimahullah berkata: “Dan telah diketahui secara pasti dari agama Islam, bahawa Nabi SAW tidak mensyariatkan kepada orang-orang soleh dan para ahli ibadah dari umat Baginda, agar mereka berkumpul dan mendengarkan bait-bait yang dilagukan dengan bertepuk tangan, atau pukulan dengan kayu (stik), atau rebana. Sebagaimana Baginda  tidak membolehkan bagi seorangpun untuk tidak mengikuti Baginda, atau tidak mengikuti apa yang ada pada Al-Kitab dan Al-Hikmah (As-Sunnah). Baginda tidak membolehkan, baik dalam perkara batin atau zahir, untuk orang awam atau untuk orang tertentu.” [Majmu' Fatawa, 11/565. Dinukil dari kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 165].

6)    Fatwa Imam as-Suyuthi rahimahullah (wafat 911H):

Ikuti teks di dalam bahasa arab dari abuanasmadani.

“Dan di antaranya adalah menari, menyanyi di dalam masjid, memukul kompang (atau gendang) atau rebab (sejenis alat muzik bertali seperti biola), atau selain itu dari jenis-jenis alat-alat muzik.
Maka sesiapa yang melakukan perkara yang tersebut di dalam masjid maka dia adalah mubtadi’ (pelaku bid’ah), sesat, perlu dihalau dan boleh dipukul, kerana dia meremehkan perintah Allah untuk memuliakan masjid. Allah SWT berfirman: “Bertasbihlah kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan (iaitu menggagungkannya) dan disebut nama-Nya di dalamnya.” [An-Nur, 24: 36]. Iaitu dibacakan kitab-Nya di dalamnya.

Rumah-rumah Allah adalah masjid-masjid, dan Allah Ta’ala telah memerintahkan untuk memuliakannya, menjaganya dari kotoran, najis, anak-anak (dari mengotori masjid), hingus, bawang putih, bawang merah (memakannya kemudian ke masjid tanpa bersugi terlebih dahulu), nasyid-nasyid, sya’ir, nyanyian dan tarian di dalamnya. Maka sesiapa yang menyanyi atau menari di dalamnya maka dia adalah pelaku bid’ah, sesat dan menyesatkan, dan berhak dikenakan hukuman.” [Jalaluddin as-Suyuti, Al-Amru bil Ittiba’ wan Nahyu ‘anil Ibtida’, m/s. 30 – Al-Maktabah Asy-Syamilah].

Bagi orang Malaysia pula, Nasihat dari Majlis Fatwa Negeri Melaka:

Fatwa Larangan Berzikir, Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Di Dalam Masjid.
Ibadah. Tarikh Keputusan:  29 Dec, 2010.

Keputusan:
 (a) Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid atau surau kerana perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam;

(b) Bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alatan muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh Syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan Syariat dan akhlak Islam.

Status Penwartaan:  Diwartakan
Tarikh Diwartakan:  5 Jan, 2012
Nombor Rujukan:  JMM/BFB(S)/351/255/02/10; PUNM. 700-02/37 Jld. 2
Akta/Enakmen:  Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002
Negeri: Melaka.
Sumber: e-fatwa.gov.my

PENUTUP

Demikianlah penjelasan yang ringkas tentang masalah ini, kami nukilkan untuk maklumat dan penjelasan kepada masyarakat, lakukanlah amalan yang jelas ada dalil keharusannya, mencari yang benar dan tidak ada keraguan dalam beribadat adalah selamat sebagaimana yang diputuskan oleh para ulama’ bahawa
 الخروج من الخلاف مستحب  “Keluar dari perkara khilaf adalah dituntut”.

Perintah Nabi SAW:

عن الحسن بن علي بن أبي طالب سبط رسول الله وريحانته رضي الله عنه قال: حفظت من رسول الله صلى الله عليه وسلم: (دعْ ما يرِيبُك إلى ما لا يريبُك ) رواه الترمذي وقال : حديث حسن صحيح .

“Tinggalkan apa yang kamu ragu kepada perkara tidak meragukan kamu”. [HR: Tirmizi, hasan sahih]
Perbuatan ini adalah khilaf antara Haram dengan Harus, bukan antara afdhal dengan kurang baik. 

Alhamdulillah, jalan ibadat kepada Allah yang sahih banyak dan luas kenapa mencari jalan yang kabur dan tidak jelas. Uslub untuk berdakwah dengan cara yang selamat masih banyak, tidak perlu menggunakan jalan yang meragukan keharusan amalnya, juga kesan akan kejayaannya.

Dalam ibadah tidak memadai hanya niat yang baik tanpa mengikut Syariat atau Sunnah. Niat yang baik mestilah diiringi dengan cara yang betul. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

{Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.} [al-Mulk 67:02]

     Makna “lebih baik amalnya” (أحسن عملا ) ialah siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling betul
 أخلصه وأصوبه. Ini kerana sesuatu amalan jika ikhlas tetapi tidak betul maka ianya tidak diterima. Begitu juga sekiranya betul tetapi tidak ikhlas, maka ianya tidak diterima juga. Betul di dini merujuk kepada apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

     Insan tanpa panduan al-Quran dan al-Sunnah akan tersesat dalam menentukan cara ibadah kepada tuhan. Inilah yang berlaku di dalam agama-agama palsu. Mereka mencipta cara ibadah menurut akal fikiran mereka tanpa tunjuk ajar wahyu. Mereka tersesat jalan kerana mendakwa kehendak tuhan dalam ibadah tanpa bukti, sekalipun mungkin mereka itu ikhlas. Keikhlasan tanpa diikuti dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah adalah tidak mendapat tempat.

    Maka ibadah mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW berdalilkan apa yang disebut oleh Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

{Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} [Aal Imran 3:31]

Ibadah yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW sekalipun niat pengamalnya baik, adalah tertolak. Firman Allah SWT:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِيناً فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِي

{Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.} [Aal Imran 3:85]

Berkata al-Imam Ibn Kathir rahimahullah (774H) ketika menafsirkan ayat di atas: “Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain dari apa yang disyari‘atkan oleh Allah maka sama sekali ianya tidak diterima.” [Tafsir Ibn Kathir].

     Dalam hal ini Dr. Yusuf al-Qaradawi juga mengingatkan:

“Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (tatacara) yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan”.     [Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi al-Islam].

     Semoga kita mendapat bimbingan dan rahmat dalam beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah, Alhamdulillah Rabbil 'alamin.

وصل الله وسلم على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Sumber:
1. Al-Maktabah Asy-Syamilah.
2.  http://almanhaj.or.id/content/3275/slash/0/bagaimana-cara-selawat-yang-sesuai-sunnah-dan-bolehkah-selawat-diiringi-dengan-rebana/
3.  http://abuanasmadani.blogspot.com/2012/04/fatwa-larangan-berzikir-memukul-gendang.html

Di Susun Oleh:
Al-Faqir Ilallah, Abu Anas Madani.
13 R. Awal 1434H – 25/1/2013M.
www.abuanasmadani.com
www.abuanasmadani.blogspot.com
www.dartaibah.com

Cinta Rasul s.a.w
Antara Golongan yang melampau 
dan Golongan yang cuai
Dr. Abdul Basit Abdul Rahman

Selawat Ke Atas Nabi s.a.w 
Kelebihan & Lafaz yang sahih
Dr. Abdul Basit Abdul Rahman

Kedua-dua video klip di atas adalah sebahagian dari posting di  abuanasmadani.


Pandangan Prof Dato' Dr Haron Din 
Berkenaan “Zikir Sambil Menari”



Oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
July 2nd, 2013 

Kadang-kadang ada yang memberi jawapan tentang sesuatu hukum itu mengikut ‘rasa’, seperti soalan anda tentang hukum menari yang diamalkan oleh puak sufi seperti di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.

Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.

Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah ‘Ali-’Imran ayat 191).

Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.

Ummul Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku.”

Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus ditakbirkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah SAW. Tingkah laku beliau itu atau ‘body language’ beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah SAW.

Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.

Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.

Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari- menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.

Ditanya al-Allamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.

Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”

Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-’Imran di atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a. Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.

Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan. Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).

Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka. Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT. Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.

Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum feqah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”

Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram.

Wallahu ta’ala a’lam.
harakahdaily.my

Nota 05 : Sayangnya ulasan Dato' yang dihormati tidak menyentuh tentang selawat yang diiringi alatan muzik.

Juga berkaitan maksud ayat dari surah Al Imran ayat 191 itu, adakah benar bermaksud "Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya" atau lebih sempurna maksudnya mengingati Allah dalam apa jua keadaan, dengan lain kata ayat tersebut tidak sedikit pun memberi maksud membenarkan zikir itu dilakukan sambil menari atau dengan niat berzikir sambil diiringi dengan tarian. Harap pencerahan tentang tafsiran seperti di atas.

Wallahu'alam, kita di sini tidak cuba menafsirkannya sekadar mengutarakan persoalan tentang tafsiran yang lebih benar dan tepat... kerana terlalu gembira hingga bertakbir sambil menari-nari ( kesah Ja’afar Bin Abu Talib) lantaran beroleh pujian dari Nabi s.a.w itu atau pun dengan kehadiran Rasullullah s.a.w ( hadis berkaitan orang habsyah ) tentunya dua perkara berbeza jika dibandingkan dengan perbuatan sengaja bangun untuk berzikir lalu menari-nari sebagai cara untuk berzikir.

**********
Mufti As-Saadah As-Syafiiyyah di Makkah, Al-Allamah Al-Kabir Ahmad Zaini Dahlan Rahimahullah menyebut di dalam kitabnya yang masyhur iaitu As-Sirah An-Nabawiyyah wal Aasar Al-Muhammadiyyah hadis yang dirawayatkan oleh Imam Bukhari di dalam sahihnya pada (كتاب الصلح ) : Selepas fathu khaibar telah kembali daripada habsyah Ja’far Bin Abi Tolib R.A dan bersamanya daripada kalangan muslimin. Bilangan mereka 16 orang lelaki dan Nabi SAW menemui Ja’faar dan mengucup dahinya dan memeluknya. Rasulullah berdiri kepada Sofwan bin Umayyah dan ‘ Udayy bin Hatim Radiallahu ‘Anhuma dan Rasulullah SAW bersabda : Aku tidak tahu dengan dua sebab aku gembira samada sebab fathu khaibar ataupun dengan kepulangan Ja’faar? Dan bersabada Nabi SAW kepada Ja’faar : Kamu menyerupai kejadianku dan akhlakku. Maka Ja’far menari dengan kelazatan perkataan Nabi SAW kepadanya. Nabi tidak mengingkari perbuatan menari-nari Ja’afar Bin Abi Tolib itu. - pondokhabib
**********
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya dan al-Hafiz al-Maqdisi dengan rijal sahih daripada hadis Anas Radiallahu Ta’ala Anhu telah berkata ; Adalah orang habsyah berjoget atau menari di hadapan Rasulullah SAW dan sambil mereka berkata Muhammad hamba yang soleh. Bertanya Rasulullah SAW: Apa yang mereka katakan? maka dikatakan kepada Rasulullah sesungguhnya mereka berkata Muhammad hamba yang soleh. ketikamana Rasulullah melihat mereka dalam keadaan itu Nabi SAW tidak meingkari mereka dan membenarkan perkara tersebut. - pondokhabib
**********
Alangkah baiknya jika ada sandaran dari hadis lain buat menyokong terjemahan sedemikian. Ini kerana kita terkenang hadis yang diterjemahkan ke dalam bahasa melayu seperti berikut ...

Rasulullah SAW dengan sabdanya: Barang siapa yang beramal dengan suatu amalan yang bukan atas perintah kami, maka tertolak. (HR. Bukhari dan Muslim).

Apakah berzikir atau berselawat sambil menari-nari amalan para sahabat r.a ?

Apa pun wallahu'alam. Tidak kita berhukum di sini. Sekadar persoalan yang timbul sahaja berkaitan maksud sebenar ayat dan hadis yang dinyatakan itu. Semoga akan beroleh pencerahan berkaitan berzikir/berselawat sambil menari-nari itu..Insya Allah


Penjelasan berkaitan dengan 
Pembawakan dan Aktiviti Golongan Habib
*****************************

Dakwaan Golongan Habib 
dan Kekeliruan yang Ujud
Penjelasan oleh  Maulana Asri Yusoff

Cerita dari golongan Habib yang agak mengelirukan akan tujuan dan maksud Penceritaannya

Nota 06 : Apakah tujuan penceritaan yang sebegini oleh golongan Habib. Cerita mereka bersumberkan mimpi ini pula agak mengelirukan agak mengelirukan tentang tujuan dan maksud yang ingin disampaikan

*************

Di dalam kuliah subuh semalam 19 April 2012, Al Allamah Al Arif Billah Al Hafidz Habib Umar bin Hafidz di Masjid Bandar Baru Uda, telah menceritakan. Bahawa Al Imam Hasan Assadzili salah satu Ulama Tabi'in pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Di dalam mimpinya beliau melihat Rasulullah SAW duduk di tempat yang lebih tinggi dikelilingi oleh para Nabi dan Rasul, para sahabat Nabi, para siddiqin, para salihin, para syuhada dan imam-imam besar.

Di dalam majlis itu, Nabi Musa AS telah bertanya kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah SAW, Apakah maksud Hadis mu: Ulama-ulama di kalangan umatku seperti nabi-nabi Bani Israel?”.

Maka Rasulullah SAW pun memanggil Imam Ghazali dan memperkenalkannya kepada Nabi Musa AS “Ini adalah salah satu ulama di masa kami yang bagaikan para nabi di masa kamu.”

Nabi Musa AS telah bertanya kepada Imam Al-Ghazali, “Siapakah nama mu”. Maka Imam Ghazali pun menjawab, “Namaku ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al Hamid Al Ghazzali. Atau yang lebih dikenal Imam Ghazali At Thu'usi”

Nabi Musa A.S berkata “Aku bertanya nama mu sahaja, kenapa kau menyebut nama ayah dan datuk mu”.

Imam Al-Ghazali meminta izin dari Rasullullah SAW untuk menjawab persoalan dari Nabi Musa Kalimullah. Selepas mendapat keizinan maka Imam Al-Ghazali pun menjawab, “Bukankah Allah telah bertanya kepadamu :
“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa? (Surah Thaahaa:17), dan Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu." (Surah Thaahaa:18) ”

Nabi Musa lantas berkata “Allah itu adalah kekasih kita, maka aku mengambil peluang itu untuk bercakap panjang lebar dengannya lantaran rasa kerana senang, nikmat dan lazat dapat bercakap dengan Tuhan. Maka Imam Ghazali pula mengatakan “Begitulah aku, kamu juga adalah kekasih aku, maka aku juga mengambil kesempatan untuk bercakap panjang lebar denganmu”.

Rasulullah SAW berkata: “Wahai Musa, apakah ada ulama di masa kamu bagaikan nabi di masa kami?” Nabi Musa AS menjawab “Tidak ada Ya Rasulullah.”

Sumber : facebook Hamba Allah


Nota 07 :  Menarik kata-kata dari photo di atas, cuma soalannya, bagaimana boleh kita ketahui seseorang itu berzikir atau tidak terhadap Tuhannya.. sebelum dari kita mengambil pandangan dari seseorang itu ...

Sedangkan ... " Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yang lain.

Sedangkan berdoa juga tanda seseorang itu berzikir kepada Tuhannya. Bagaimana jika ianya dilakukan tanpa ditunjukan kepada umum, bagaimana mampu kita ketahui mereka itu berzikir atau tidak kepada Tuhan.

Sedangkan zikir yang biasa dilakukan oleh hamba-hamba Allah kerap dilakukan di waktu malam yang sunyi tanpa di saksikan oleh sesiapa pun jua. Bagaimana hendak kita mengukur siapa yang berzikir dan siapa yang tidak.

Siapa pula kita untuk menilai siapa yang berzikir dan siapa yang tidak. Tidakkah itu nanti akan membawa kepada sifat bersangka-sangka sesama kita umat Islam.. Oh !! kita lebih Islam dari mereka, kita berzikir mereka tidak.. begitukah akhirnya nanti ...

Cuba renungi kesah berikut.. mana tahu dapat menyedarkan kita tentang hakikat dalam pembawakan beragama yang benar dan lurus...

Hasan Al Basri telah belajar. Mengapa tidak kita ?

Pada suatu hari, terjadi suatu peristiwa yang sangat membekas pada diri Hassan Al-Basri.Ditepi sungai Dajlah, Hassan Al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di samping mereka terdapat sebotol arak. Hassan berkata, “Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau ia seperti aku!”

Tiba-tiba beliau melihat sebuah perahu di tengah sungai perlahan-lahan tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir mati kelemasan. Dia berhasil menyelamatkan enam daripada tujuh penumpang perahu itu, kemudian ia berpaling ke arah Hassan Al-Basri seraya berkata, “Jika engkau memang lebih mulia dari saya, maka dengan nama Allah, selamatkanlah seorang lagi yang belum sempat saya tolong.Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedangkan saya telah menyelamatkan enam orang.”

Namun sayang, Hassan Al Basri tidak berhasil menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu berkata kepadanya, “Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan”.

Hassan Al-Basri terpegun, lalu ia berkata, “Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah pula saya dari tenggelam ke dalam kebanggaan dan kesombongan.” Orang itu menjawab, “Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan.” Semenjak hari itu, Hassan Al-Basri selalu merendahkan dirinya bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang paling hina.


*********

Saidina Umar bin al-Khattab r.a melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad senyum. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” - Hadis No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

Sumber : Islambrowser

Kalangan Habib & Tarekat Mendakwa 
Rasulullah s.a.w
Hadir dalam Halaqah mereka
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Penutup Posting Ini

Nota 08 : Yang benar tetap benar, Yang salah tetap salah, tidak kira siapa pelakunya. 

Jangan mudah terpesona, kerana tidak semua yang nampak baik dan dilakukan oleh orang yang nampak baik, benar-benar menurut ajaran dan amalan agama yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad s.a.w . Bagi kita apa yang penting..ianya mesti menepati kehendak ajaran Islam itu sendiri.

Namun begitu merendah-rendahkan usaha murni sesiapa jua bukanlah jalan yang mulia.

Apa yang ingin diutarakan di sini hanyalah agar perkara sebegini wajarlah diberi perhatian oleh pihak berkuasa di Malaysia agar apa sahaja yang dibawa masuk diberi perhatian semoga ianya benar menepati kehendak ajaran agama Islam sebelum sesuatu yang tidak molek menjadi sebati di di dalam jiwa umat Islam di sini. Jika telah sebati baru sedar silapnya, tentulah agak sukar untuk dibendong nanti..

Apa pun pihak yang berauthoriti dalam bidang agama tentunya lebih memahami selok perkara sebegini dan semestinya mereka mengambil berat tentang Berselawat diiringi Muzik. Juga fahaman golongan habib yang tidak menepati cara fahaman sebenar di dalam agama Islam ( jika ada) turut juga diawasi sebelum jalan yang lurus menjadi serong apatah lagi lari dari fahaman agama yang di bawa oleh Baginda Rasullullah s.a.w

Nota 09 : Majlis Cinta Rasul yang kerap diadakan masakini kelihatan dapat memabwa suasana yang lebih harmoni dan dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita umat Islam. Maka tidaklah kita di sini ingin mempertikaikan kebaikan hasil dari Majlis Cinta Allah dan Cinta Rasul itu. Cuma diharapkan jika benar ujud unsur-unsur negatif di dalamnya dan tidak menepati dengan ajaran sebenar agama, wajiblah bagi pihak berkuasa membetulkannya.. terutama oleh pemerintah, para-para mufti dan ketua agama Islam di negara kita ini.

Bak kata orang lama, jangan sudah terantuk baru nak terngadah ... Sesal tidak pernah datang dulu, yang datang dulu itu beringat namanya ...

Mungkinkah penyataan berikut boleh dijadikan kesimpulan ...

Sheikul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata,”Dan telah diketahui secara pasti dari agama Islam, bahwa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak mensyari’atkan kepada orang-orang shalih dan para ahli ibadah dari umat beliau, agar mereka berkumpul dan mendengarkan bait-bait yang dilagukan dengan tepuk tapak-tangan, atau pukulan dengan kayu (stik), atau rebana. Sebagaimana beliau tidak membolehkan bagi seorangpun untuk tidak mengikuti beliau, atau tidak mengikuti apa yang ada pada Al Kitab dan Al Hikmah (As Sunnah). Beliau tidak membolehkan, baik dalam perkara batin, perkara lahir, untuk orang awam, atau untuk orang tertentu.”  - Majmu’ Fatawa, 11/565. Dinukil dari kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, hlm. 165

Wallahu'alam

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title