Mar 22, 2014

PRK Kajang 2014 : Harga Sebuah Demokrasi

PRK Kajang 2014
Harga sebuah demokrasi
**************
                     
Kajang: Harga sebuah demokrasi
SYAIRI SHAARI & JANATUL FIRDAUS YACOB
22 Mac 2014

HAMPIR dua minggu penulis berkampung di Kajang mengikuti perkembangan PRK Dun Kajang.

Kehilangan pesawat MH370 dan lawak Raja Bomoh yang dikatakan punca menjadikan PRK Kajang agak lesu tidak menjejaskan pengundi Kajang yang akan menunaikan tanggungjawab esok.

PRK Kajang menemukan satu lawan satu menyaksikan dua ‘heavyweight’ tokoh wanita, Datin Seri Wan Azizah Ismail (PKR) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (BN).

Kedua-dua calon ini sememangnya masak dengan tumbuk terajang dalam politik dan tidak dinafikan mempunyai kelebihan masing-masing dengan kelayakan akademik dan pengalaman politik.

Bagaimanapun agak malang apabila penulis gagal melihat signifikan PRK ini diadakan kerana bukanlah di atas sebab kematian atau sakit tetapi mempunyai agenda parti dan bukannya kepentingan rakyat.

Maklum balas penduduk Kajang turut melahirkan kecewa apabila terpaksa melalui pilihan raya tidak sampai setahun setelah bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Sungguh pun begitu, dalam politik, apa- apa perkara boleh berlaku demi cita-cita dan kepentingan politik mahupun parti.

Maka tidak hairanlah sepanjang kempen PRK Kajang, penduduk tidak menunjukkan keghairahan menghadapi pilihan raya termasuklah kempen parti yang agak hambar.

Meskipun Anwar berkempen awal menghadapi PRK Kajang sebelum penamaan calon, namun suasana pilihan raya tetap lesu kerana rakyat semakin tidak selesa dengan politik sebegini.

Penulis turut mempersoalkan poster dan billboard yang tertera tertulis ‘Kajang ke Putrajaya’ dan ‘Keadilan Untuk Anwar’ apabila mendapati matlamat asal PRK Kajang diadakan kini jelas tersasar dari matlamatnya.

Namun begitu, PRK Kajang tetap akan dilakukan demi memenuhi hasrat dan cita-cita pihak tertentu di mana pilihan raya ini merupakan satu pembaziran dan dilihat mempergunakan sistem demokrasi negara.

Anwar penentu, bukan Azizah

Umum mengetahui PRK Kajang diadakan bagi memberi peluang kepada Anwar bertanding bagi merealisasikan impian politiknya ke Putrajaya, tetapi keputusan kes liwat oleh mahkamah rayuan membantutkan hasratnya.

Namun, aura figura ketua pembangkang itu tetap menjadi tarikan kehadiran pengunjung ke ceramah kelompok anjuran PR walaupun sambutannya tidaklah begitu meriah berbanding pilihan raya umum lalu.

Hasil pengamatan sepanjang tempoh berkempen mendapati acap kali kedatangan Anwar ke ceramah, pengunjung atau boleh dikatakan pengundi Kajang memenuhi tapak acara tanpa mengira keadaan cuaca.

Bagaimanapun, kaum Cina dan India lebih teruja mendengar celoteh Anwar menceritakan nasib malang menimpa dirinya dan kepincangan pemerintahan kerajaan persekutuan. Kaum Melayu lebih memilih berada di kedai kopi sekitar tapak ceramah dan tidaklah teruja seperti bangsa lain.

Walaupun yang bertanding merebut kerusi N25 Kajang ini ialah Wan Azizah namun bayangan Anwar masih menjadi daya penarik utama.

Penduduk setempat di Kajang yang diklasifikasikan sebagai suburban tidak mudah dipengaruhi dengan retorik politik kerana mereka arif dengan perkembangan politik negara.

Bukan sekadar menyerap setiap hamburan ceramah tetapi mereka menilai dan menimbang apa dihujah, namun isu yang sering dibangkitkan oleh PR dengan desakan kos sara hidup yang mencanak naik, peluang untuk BN mungkin dilihat tipis.

PKR ulangi manifesto

WAN AZIZAH turut melancarkan manifesto untuk PRK Kajang bagi menambah baik kehidupan di Kajang namun tiada apa yang menarik untuk dibincangkan setelah manifesto dilihat sebuah janji ulangan pada pilihan raya yang lalu.

Janji Wan Azizah antaranya meningkatkan prestasi kutipan sampah, membanteras jenayah dan meningkatkan keselamatan, pembangunan anak muda dan usahawan kecil selain menangani kesesakan lalu lintas di Kajang.

Tetapi jika dilihat sudut lain, manifesto tersebut memberi keuntungan kepada penduduk Kajang setelah masalah banjir dan lalu lintas di Kajang gagal diatasi oleh kerajaan negeri sepenuhnya.

Banyak pihak mempersoalkan di manakah peranan PR dan kerajaan negeri sebelum ini. Mungkin sedikit sebanyak manifesto berkenaan memberi tempias kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pas hanya berdiam diri

Sedikit menyentuh keterlibatan Pas dalam kemelut PRK Kajang, tidak adil untuk menidakkan peranan Pas dalam membantu PKR.

Bagaimanapun, penulis agak hairan apabila kempen PRK Kajang kali ini agak suram apabila Pas menampilkan sokongan sederhana setelah Pemuda Pas sebelum ini lantang menyatakan bantahan dan protes mengadakan PRK Kajang.

Bukti paling ketara apabila tiadanya poster dan bendera Pas yang kebiasaannya menghiasi sudut jalan dan lampu di jalan raya setiap kali menjelang pilihan raya.

Begitu juga sewaktu hari penamaan calon pada 11 Mac yang lalu, penyokong Pas yang mengiringi Wan Azizah tidaklah seramai yang dijangka.

Mei Fun tampak yakin

Tampil sebagai calon ‘underdog’ , Mei Fun tampak lebih yakin.

Mei Fun yang pernah dilabelkan sebagai YB longkang kini tampil dengan jentera BN yang lebih bersedia selain mendapat sokongan dari setiap kepimpinan parti.

Pemilihan Mei Fun juga sangat tepat setelah mengambil kira integriti dan kredibiliti dimiliki beliau dan dijangka mampu melakukan kejutan pada PRK kali ini.

Dengan transformasi MCA dan kelebihan personaliti Mei Fun, tidak mustahil pengundi Cina kembali kepada MCA seterusnya membantu beliau mencipta kejutan merampas kerusi Dun Kajang.

Ini juga sebagai kayu pengukur kepada BN untuk melihat sejauh mana usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapat keyakinan rakyat semula.

Bagaimanapun, selain berkempen rumah ke rumah, bertemu NGO dan memenuhi jemputan, Mei Fun dilihat semakin menerima sokongan dengan karakternya yang mesra rakyat.

Mei Fun juga tidak ketinggalan berikrar iaitu sebahagian dari teras perjuangannya berjanji akan menjadi pembangkang yang konstruktif.

Antara ikrarnya adalah memperkuatkan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri Selangor, menyelesaikan masalah setempat dan menjadi Duta Muhibah untuk perpaduan.

Jika diteliti manifesto PKR dan ikrar calon BN, Mei Fun tampak lebih segar dan bersedia menjanjikan sesuatu yang menarik kepada pengundi Kajang berbanding Wan Azizah yang terpaksa mengemukakan manifesto baharu mengulangi janji lapuk PR.

Sungguhpun begitu, Mei Fun tidak lari dari tohmahan dan kontroversi sepanjang kempen seperti wajahnya dimanipulasi dengan gambar separuh bogel.

Kewibawaan Mei Fun turut dipertikaikan kononnya gagal menyelesaikan isu membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Damansara namun beliau memberi penjelasan dengan baik.Paling menarik Mei Fun digesa menarik diri, dan ditawarkan sebagai ahli majlis di Selangor.

Pengundi jadi penentu

Pengundi Kajang sekali lagi diuji dalam membuat pertimbangan memilih wakil rakyat mereka, esok.

Bukan perkara mudah kerana pengundi Kajang sudah semestinya tidak mahu dikhianati sekali lagi.

Mei Fun pernah menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang cukup dedikasi dalam tugasan.

Wan Azizah pula pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh dan pernah mengosongkan kerusi parlimen untuk memberi peluang kepada suaminya dan mungkin episod sama berulang seperti di Permatang Pauh.

Dengan rekod kedua-dua calon tersebut, pengundi Kajang harus membuat pertimbangan terbaik agar tiada lagi wakil rakyat yang dipilih nanti meletak jawatan sebelum PRU sebenar.

Paling jelas, PRK Kajang sudah jauh dari matlamat amalan sistem demokrasi sebenar dan dilakukan untuk memenuhi selera politik masing-masing.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, matlamat PRK Kajang sudah berakhir setelah tujuan asal memberi laluan kepada Anwar meneruskan cita-cita politiknya tidak kesampaian.

Katanya, rakyat diseret ke dalam masalah sengaja diadakan dan tidak kira siapakah yang akan menjadi calon menggantikan Anwar termasuklah Wan Azizah, ’Langkah Kajang’ tetap sia-sia.

Sia-sia atau tidak, rakyat diberi pilihan bagi memberi mesej kepada calon mana mereka mahukan kali ini atau menunjukkan bantahan senyap dalam peti undi nanti.

Kepada pengundi bakal menunaikan tanggungjawab esok, lakukanlah berdasarkan rekod baik pemimpin dan meletakkan rasional paling atas, bukannya meletakkan emosi sebagai penentu.

artikel: sinar harian

photo: berita harian



Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title