Mar 8, 2014

SYIAH BERBAJU SUNNI

Syiah berbaju Sunni

DUNIA Islam tidak pernah sunyi dengan pelbagai bentuk pemikiran yang menyeleweng daripada jalan yang benar.

Benarlah apa yang diingatkan Rasulullah SAW dalam hadis al-Tirmizi dan selainnya dan dinilai oleh al-Tirmizi hasan sahih, akan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat setelah kewafatan Baginda SAW lalu.

Baginda SAW mewasiatkan agar berpegang kepada sunnahnya dan sunnah khulafa al-Rasyidin, seterusnya menjauhi bidaah dalam agama.

Perpecahan yang berlaku kepada umat Islam disebabkan jauhnya mereka daripada petunjuk al-Quran dan Sunnah, berpaling daripada pada keduanya lalu mempertuhankan hawa nafsu semata, sesat dan menyesatkan.

Di sebalik itu antara rahmat ALLAH kepada umat ini adalah dibangkitkan pada setiap zaman ulama yang akan memikul bebanan dakwah berusaha menafikan penyelewengan mereka yang melampau, memerangi kebatilan dan takwilan mereka yang jahil terhadap agama.

Syiah berterusan

Di Malaysia, kesedaran tentang sesat dan bahayanya ajaran Syiah sudah meluas dan usaha ini wajib berterusan.

Tetapi dalam kerancakan masyarakat berkata mengenai kesesatan Syiah terdapat juga sekelompok kecil yang secara zahirnya mengaku ahli sunnah tetapi pegangan yang mereka anuti sebahagiannya mirip kepada fahaman Syiah.

Adakah mereka ini Syiah yang bertopengkan Sunni atau sebaliknya? Di Jordan nama Hassan al-Saqqaf terkenal dengan pemikiran yang mirip kepada Syiah dan bercampur aduk dengan pemikiran lain yang menyeleweng daripada ahli sunnah.

Dia mendakwa daripada keturunan Ali bin Abi Talib dan cukup berbangga dengan pangkat itu. Seorang yang cuba menonjolkan diri dia seorang ahli sunnah bermazhab Syafi’e.

Dalam Jurnal Penyelidikan Islam bil 19, Cawangan Aqidah Jakim menyatakan al-Saqqaf dikatakan mempunyai kecenderungan kepada Syiah disebabkan pandangan yang menyebelahi Syiah seperti mempertikaikan sahabat Nabi Muawiyah, mentashihkan hadis “Aku bandar ilmu dan Ali ialah pintunya”, menolak hadis “kitab ALLAH dan sunnahku” dan sebagainya.

Akhirnya membawa kesan buruk kepada ahli sunnah tetapi memberikan kelebihan kepada Syiah apabila kitab-kitab Syiah menggunakan bahasa ahli sunnah untuk memburuk-burukkan ahli sunnah.

Sahabat jadi mangsa kutukan

Melalui penulisan al-Saqqaf ia seolah-olah seperti mengisyaratkan akan pemikirannya yang cenderung kepada Syiah. Salah satu contohnya, dalam kitab ‘Al-Ibanah’ yang ditulis oleh Imam Abu Al-Hassan

Al-Asy’ari: “Apabila telah wajib keimaman Abu Bakar ra setelah Rasulullah SAW maka wajiblah Abu Bakar adalah orang Islam yang paling utama (Afdal)”.

Tetapi kata al-Saqqaf: “Bahkan Saidina Ali paling utama (afdal) di sisi kami (Saqqaf) dan di sisi sebahagian sahabat dan di sisi orang yang sesudah mereka”.

Apakah makna perkatan ini? Di samping itu antara sahabat yang menjadi sasaran kutukan dan cacian al-Saqqaf ialah Muawiyah bin Abi Sufian.

Contohnya jenayah ilmiyyah yang dilakukannya dengan membawa riwayat yang tidak sahih, atau riwayat yang tidak lengkap atau riwayat yang diinterpretasikan sendiri olehnya berkenaan keburukan Muawiyah seperti beliau meminum arak, menuduh Muawiyah membunuh sahabat Nabi SAW yang bernama Hijr bin Adi juga menuduh Muawiyah mengarahkan untuk membunuh anak kepada Khalid Al-Walid iaitu Abdul Rahman yang kesemuanya tidak sahih.

Al-Saqqaf juga turut mengambil suatu yang diriwayatkan tanpa sanad berkenaan kisah Al-Hasan al-Basri mencela Muawiyah hanya kerana terdapat dalam kitab Al-kamil oleh Ibn Al-Atsir, sedang dalam masa yang sama telah sedia maklum kisah-kisah sirah tidak pernah selamat dari riwayat-riwayat yang lemah dan palsu. (Rujuk Amr Abdul Mu’im Salim, La Difa’anAn Al-AlbaniFahasbBalDifa’an An al-Salafiyah)

Muawiyah bukan penulis wahyu?

Tuduhan liar terhadap Muawiyah bin Abi Sufian ini tidak akan didengari melainkan ia datang daripada mulut seseorang yang berakidah dan berfahaman Syiah.

Apa kata Imam Ahmad bin Hanbal kepada soalan yang diajukan kepadanya tentang perkataan seorang yang menyatakan Muawiyah bukan penulis wahyu, diragui dia seorang yang beriman.

Jawab Imam Ahmad bin Hanbal: “Perkataan ini sungguh jahat dan buruk, wajib menjauhi mereka ini dan jangan duduk bersama mereka dan hendaklah dijelaskan keadaan mereka ini kepada masyarakat”. (Kata al-Khallal dalam al-Sunnah no: 659 dan sanadnya sahih).

Kata Khallal dengan sanad yang sahih: menceritakan kepada kami Abu Bakar Al-Marwazi, dia bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal: Manakah yang afdal antara Muawiyah dan Umar bin Abdul Aziz?

Maka dijawab oleh Imam Ahmad: “Muawiyah lebih afdal, Kami tidak menqiaskan seorang pun dengan sahabat Rasulullah SAW kerana Nabi SAW bersabda sebaik-baik manusia ialah kurun di mana aku diutuskan bersama mereka”.

Lihatlah perbezaan perkataan antara Imam Ahli Sunnah iaitu Imam Ahmad bin Hanbal dengan si al-Saqqaf yang mengambil pendirian sama seperti Syiah.

Ini hanya dua contoh daripada sekian banyak penulisan al-Saqqaf yang memberi isyarat kecenderungannya kepada pemikiran tersebut.

Pemikiran al-Saqqaf

Antara lain yang menjadi kecenderungan pemikiran Hassan Saqqaf ialah menyesatkan, bahkan mengkafirkan tokoh-tokoh ulama ahli sunnah seperti menuduh Imam Ahli Sunnah wal jamaah iaitu Al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Al-Imam Al-Baqilani sebagai berakidah tajsim iaitu akidah menyamakan ALLAH dengan makhluk.

Hassan Saqqaf memuji Aqidah Muktazilah sebaliknya mengeji Al-Imam Abu Al-Hassan dan Al-Imam Baqilani kerana kedua-dua mereka mengutuk Muktazilah.

Antara lagi tokoh ulama ahli sunnah yang banyak mendapat kritikan, kutukan, penyesatan bahkan pengkafiran daripada Al-Saqqaf ialah Ibn Taimiyyah.

Al-Saqqaf membuat fitnah terhadap Ibn Taimiyyah dengan menyeleweng fakta, menukilkan dari penulisan-penulisan Ibn Taimiyyah secara tidak amanah dan melakukan jenayah ilmiyyah yang sangat banyak.

Di negara-negara Timur Tengah, istilah ‘As Saqqafiyyah’ ini amat masyhur merujuk kepada pemikiran rosak golongan yang menjadikan penulisan-penulisan Hassan Saqqaf sebagai rujukan.

Ramai ulama menulis kitab yang membantah dan menjelaskan penyelewengan pemikiran Al-Saqqaf, antara mereka ialah Syeikh Al-Muhaddis Abdul Razak Abdul Muhsin Al-Badr, Syeikh Amr Abdul Mun’imSalim, Syeikh Ali Abdul Hamid Al-Halabi, Syeikh Sulaiman Al-Ulwan dan ramai lagi.Pentingnya untuk dijelaskan bahayanya pemikiran Hassan Saqqaf ini di Malaysia khususnya, disebabkan pemikiran seumpama ini pun berjaya meresap masuk ke dalam Malaysia melalui mereka yang belajar sendiri dengan Hassan Saqqaf, kemudian pulang ke Malaysia menyebarkan pemikiran ini.

Antara usaha mereka menterjemahkan buku-buku yang ditulis al-Saqqaf ke dalam bahasa Melayu. Menyebarkan pemikiran yang dibawa oleh guru mereka ini dengan menerapkan unsur-unsur yang berbaur Syiah seperti merendah-rendahkan martabat para sahabat Nabi SAW.

Mereka menyesatkan dan mengkafirkan orang yang tidak sependapat dengan mereka dan menimbulkan pecah-belah dalam masyarakat. Oleh itu umat Islam di Malaysia, khususnya Institusi-institusi agama dan badan-badan kerajaan wajib berwaspada daripada Syiah berbulu Sunni ini yang hanya membawa perpecahan dalam masyarakat.

Mohd Khairil Anwar Abdul Latif
Kaunselor Agama Institut Jantung Negara (IJN)
sumber: sinarharian

SYIAH BERBAJU SUNNI

Antara perkara yang perlu diawasi dalam negara ini ialah 'Syiah Berbaju Sunni'. Ini seperti yang pernah berlaku di Jordan di mana seorang tokoh yang berakidah Syiah tetapi berpura-pura sunni. Beliau ialah Hasan as-Saqqaf. Beliau berlagak aktif bermazhab Syafii dan mempertahankan ASWJ namun terbongkar beliau seorang Syiah. Jordan mengenakan tahanan ke atasnya kerana didakwa menjadi perisik Iran. Dalam buku-bukunya beliau sibuk menuduh orang itu dan ini sebagai bukan ASWJ dan cuba mengeruhkan hubungan negara-negara umat Islam dengan Qatar dan Saudi atas tuduhan mereka bukan ASWJ. Namun akhirnya beliau sendiri mengakui bermazhab Muktazilah. Sebenarnya bukan muktazilah tetapi Syiah. Namun kerana perbahasan akidah Syiah dan Muktazilah sama dalam isu kalam beliau mendakwa kononnya beliau muktazilah supaya lebih ringan. Hasan as-Saqqaf mempunyai gelintir anak murid di negara-negara tertentu termasuk negara kita. Terima kasih pihak yang membikin video ini. Video ini mendedahkan Siapakah Hasan as-Saqqaf yang cuba dibela oleh sesetengah pihak terutama muridnya.




Syiah Berbaju Sunni
Ustaz Aizam Mas'ud





Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title