May 29, 2014

DNA Babi dan Fatwa oleh MAJLIS FATWA

DNA Babi dan Fatwa oleh MAJLIS FATWA

Majlis fatwa elok keluarkanlah fatwa pasal dna babi ni rasanya... atau mungkin telah ada pun fatwa cuma kita saja yang tak jumpa.

Asal hukum buah boleh dimakan walau pun pokoknya dibaja dengan najis babi ... 

Bila dah ada teknologi mudah untuk kesan dna, barulah tahu dalam susu lembu yang makan rumput yang di baja dgn najis babi boleh kedapatan dna babi.. Kalau rumput tu dibaja dgn najis ayam atau lembu, mungkin kot boleh jumpa dna ayam atau lembu... (yang ni agak je)

Asal hukum feqah halal di makan buah atau susu lembu biar pun baja pokok atau rumput yang dimakan lembu mengunakan najis haiwan termasuklah babi.

Masaalahnya dgn teknologi terkini, boleh pulak kesan dna babi... sedangkan dahulu itu semua tiada dalam fikiran yang menghujah hukum. 

Maka eloklah majlis fatwa keluarkan fatwa khusus tentang hukum dna tersebut... Apakah dikira najis juga buah atau susu yang terdapat dna babi atau haiwan lain tu... 

Jika tidak, orang awam hanya akan mengunakan anggapan sahaja ... dahulu asal hukumnya halal ... kini dah jadi haram pula untuk di makan ...

Cam ne agaknye kalau ujian di buat pada kuah atau sop sayuran. Orang Cina biasa tanam sayur secara besar-besaran untuk di jual. Baja apa dia  orang pakai ? Ada dna babi juga agaknya dalam sop atau kuah sayur jika baja najis digunakan oleh pekebun tersebut. 

Apa pun molek la kita rujuk pada yang lebih memahami hukum ... kerana tulisan ini sekadar satu meng"highlight"kan  sahaja.

Halalkah Makanan Yang Mempunyai Kesan Najis ?

Oleh:  Ramlah Wednesday, 29 May 2013 05:09 

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu, alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sambungan dari keluaran lepas

Tanaman Yang Dibaja Atau Disiram Dengan Najis

PADA dasarnya, perbuatan menyuburkan tanam-tanaman dan sayur-sayuran dengan baja daripada tahi hukumnya adalah makruh, sebagaimana pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullah Ta'ala. Bagaimanapun, menurut ulama hukum memakan tanaman dan buah-buahan yang disiram (dibaja) dengan air najis adalah halal dan tidak makruh. Begitu juga, tidak makruh memakan biji-bijian yang ditanam pada benda-benda najis seperti tahi atau selainnya, kerana tiada nyata kesan najis atau tahi itu pada biji-bijian dan tumbuhan tersebut. Bagaimanapun, menurut Imam az-Zarkasyi Rahimahullah, jika nyata kesan perubahan pada tanaman itu disebabkan najis tersebut, seperti tanaman itu berbau najis, maka hukum memakan tanaman yang dibaja dengan tahi adalah makruh.

Begitu juga, sayur-sayuran yang subur dengan baja daripada najis mughallazhah hukumnya tidak makruh dimakan, melainkan jika sayur itu berubah (bau, rasa atau warna) dengan ada kesan najis itu.

Sekalipun demikian, perlu juga diketahui bahawa setiap daripada sayuran atau buahbuahan yang terkena zat najis itu adalah mutanajjis, iaitu yang terkena najis. Oleh yang demikian, jika zat najis itu masih ada pada sayuran atau buah itu, maka hendaklah dibersihkan terlebih dahulu. Cara membersihkannya ialah dengan dibasuh dengan air, iaitu setelah dihilangkan terlebih dahulu zat dan sifat-sifat najis.

Manakala bagi najis mughallazhah, seperti najis babi, maka cara membersihkannya atau menyucikannya ialah dengan disertu. Caranya ialah bahagian yang terkena najis itu hendaklah dibasuh sebanyak 7 kali dengan air muthlaq, salah satu daripadanya hendaklah air yang bercampur dengan tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh air tersebut. Perlu juga diingat, jika masih terdapat zat najis, maka hendaklah terlebih dahulu dihilangkan zat najis itu kemudian barulah dilakukan sertu.

Binatang al-Jallalah

Menurut ad-Dumairi Rahimahullah, al-jallalah bermaksud binatang yang makan najis dan tahi, sama ada banyak atau sedikit, daripada unta, sapi, kambing, ayam, angsa, ikan atau selainnya dari binatang yang boleh dimakan. Antara contoh mudah berkenaan perkara ini ialah binatang yang dikurung atau ditempatkan dalam suatu kawasan tertentu, seperti ikan peliharaan dalam kolam buatan, yang diberi makan dengan najis sepenuhnya atau secara berkala.

Hukum mengenai binatang al-jallalah telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ibnu 'Umar Radhiallahu 'anhuma bahawa Baginda melarang memakan binatang al-jallalah dan meminum susu binatang itu sehinggalah (menjadi) baik dagingnya dengan cara ia diberikan makanan yang bersih selama empat puluh hari.

Menurut pendapat al ashah, (yang lebih diperakukan) hukum memakan daging binatang al-jallalah adalah makruh, jika berlaku perubahan pada daging binatang tersebut, sekalipun hanya sedikit. Maksud perubahan di sini ialah kesan daripada binatang al-jallalah itu memakan najis, seperti dagingnya berbau najis, dan termasuklah rasanya atau warnanya. Seperti mana dimakruhkan memakan dagingnya, dimakruhkan juga meminum susunya, memakan telurnya dan keseluruhan bahagian daripadanya. Demikian juga, adalah makruh hukumnya menunggang binatang al-jallalah tanpa sebarang lapik.

Tanda atau alamat bahawa binatang al-jallalah itu terkesan dengan pemakanannya daripada najis dan kotoran antaranya ialah perubahan pada baunya dan peluhnya yang busuk.

Oleh yang demikian, jika didapati perubahan pada binatang al-jallalah, maka tempoh masa yang diambil untuk menghilangkan kesan atau bau pada daging binatang al-jallalah dan menjadikan dagingnya baik, menurut pendapat ulama pada adat kebiasaannya bagi unta adalah selama 40 hari, lembu selama 30 hari, kambing selama 7 hari dan ayam selama 3 hari.

Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa bilangan hari yang disebutkan di atas bukanlah suatu had kemestian untuk ditepati. Ini hanyalah merupakan jangkaan, kerana pada kebiasaannya dalam tempoh ini kesan najis, seperti bau najis pada daging al-jallalah akan hilang.

Demikian juga sekatan pemberian makanan binatang al-jallalah hanya dengan pemakanan yang suci. Sekiranya binatang al-jallalah yang berbau itu diberi makan dengan benda yang suci seperti rumput-rumput yang suci, mahupun yang terkena najis seperti makanan ternakan yang terkena air najis atau terkena benda najis, ataupun tidak diberikan apa-apa makanan, lalu menghasilkan daging yang baik dan hilang baunya, sekalipun kurang daripada 40 hari atau seperti mana tempoh lain yang telah disebutkan, maka daging binatang al-jallalah ini adalah halal dan tidak dihukumkan makruh untuk dimakan.

Jika binatang al-jallalah itu hanya dibasuh (dibersihkan) untuk menghilangkan perubahan tersebut tanpa menjalani proses seperti di atas, maka ia masih dihukumkan makruh untuk dimakan, sekalipun dengan perbuatan tersebut berhasil menghilangkan kesan perubahan itu.

Selain itu, jika daging binatang al-jallalah yang berubah pada rasa, bau atau warna itu dibasuh, dimasak atau dibiarkan sahaja untuk suatu tempoh masa, maka dalam hal ini ia masih juga dihukumkan makruh untuk dimakan, sekalipun dengan perbuatan tadi berhasil menghilangkan kesan perubahan itu.

Sebaliknya, jika tiada berlaku sebarang perubahan pada daging al-jallalah, maka tidak dihukumkan makruh memakannya, sekalipun binatang al-jallalah itu tidak memakan selain najis sahaja.

Perlu diketahui bahawa menurut ulama, kambing biri-biri dan binatang selainnya, yang diternak sebagai sumber bahan makanan, adalah makruh diberikan makanan atau minuman daripada benda (zat) najis. Akan tetapi larangan (makruh) ini tidak termasuk bahan makanan yang mutanajjis, iaitu yang terkena najis. Selain itu, menggunakan bahan-bahan najis sebagai sumber makanannya membawa kepada perkara makruh kerana apabila ternakan itu memakan bahan-bahan najis, ia boleh membawa kepada perubahan sifat dagingnya. Maka kerana ini ia dihukumkan makruh.

Demikian juga perubahan pada daging binatang al-jallalah itu bukan sahaja disebabkan kesan sumber pemakanannya daripada benda najis, akan tetapi perubahan itu juga boleh berlaku kesan daripada kesan sumber minumannya. Oleh yang demikian, binatang ternakan seperti anak kambing biri-biri yang diminumkan susu anjing atau khinzir, jika berlaku perubahan pada dagingnya, maka hukumnya adalah serupa dengan binatang al-jallalah.

Malahan jika didapati perubahan pada daging dan telur binatang sembelihan biasa yang bukan al-jallalah, seperti perubahan bau busuk, maka menurut pendapat yang shahih, daging ini juga dihukumkan makruh memakannya. Memakan sesuatu yang mengakibatkan bau busuk seperti memakan bawang mentah, petai, jering dan seumpamanya yang sangat-sangat berbau busuk itu juga dihukumkan makruh.

Sebagai kesimpulan, mengetahui pemakanan halal dan yang haram merupakan tanggungjawab setiap individu Islam dan fardhu 'ain. Sekalipun makanan atau minuman itu halal dan suci, ada kalanya ia dihukumkan makruh atau haram seperti mana yang dijelaskan dalam contoh-contoh di atas. Mudah-mudahan dengan penjelasan, tunjuk ajar serta langkah-langkah yang dinyatakan di atas, dapat menghindarkan kita daripada memakan sesuatu yang diharamkan atau dimakruhkan.

WALLAHU'ALAM

sumber artikel: 


Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title