Jun 10, 2014

Gelatin dan DNA Babi - Ulama dan Majlis Fatwa Mesti Bersatu Dalam Menghukum

Gelatin dan DNA Babi - Ulama dan Majlis Fatwa Mesti Bersatu Dalam Menghukum

Gelatin dan DNA Babi Halal atau Haram ? Najis atau Tidak Najis ? Mana satu yang betul, halal atau haram. Orang awam amat memerlukan kepastian yang jelas benar akan hukum berkaitannya.

Bagi orang awam, bukanlah terlebih pandai dari ulama, ustaz atau sheikh. Namun sebagai orang Islam kita juga ada persoalan yang perlu dijawab oleh yang terlebih arif ...

Pertama : Adakah Gelatin dan Dna itu suatu yang sama bendanya. kerana ada masanya pengunaan perkataan "atau " agak mengelirukan seolah-olah Gelatin dan Dna adalah benda yang sama. Jika berbeza maka eloklah ditunjukan bahawa keduanya adalah berbeza.

Kedua : Sumber DNA yang ditemui di dalam produk.

Adakah sama hukumnya jika Dna yang ditemui adalah kesan dari pengunaan terus minyak babi di dalam proses penyediaan produk makanan atau ianya hasil dari kesan tidak langsung *.

* kesan tidak langsung - Produk makanan mengunakan susu lembu di mana lembu memakan rumput yang telah dibaja dengan najis babi. Sama keadaannya bagi buah-buahan atau sayuran yang pokoknya dibaja dengan najis haiwan.

Apakah masih halal hukumnya jika kita benar tahu bahawa dna babi di dalam produk makanan itu berpunca dari pengunaan minyak babi atau daging babi itu sendiri. Masih halalkah hukumnya biar pun sifatnya mungkin telah berubah ?

Adakah haram di makan jika dna tersebut adalah kesan dari pengunaan najis babi sebagai baja atau tercemar akibat sentuhan benda-benda yang pernah menjadi bekas kepada daging atau minyak babi ?

Asal hukum yang ramai faham, pokok yang dibaja dengan najis, buah atau sayuran itu halal dimakan. Dulu tiada persoalan tentang dna, kini manusia telah pergi jauh teknologinya. Maka kini jika terdapat dna babi di dalam buah-buahan tersebut, apakah hukumnya masih sama atau kini boleh dihukum sebagai najis dan haram untuk dimakan.

Kita cuma tertanya-tanya. Semoga ulama dan ustaz dapat bersama memikirkannya dan mengeluarkan satu hukum yang yakin dan tepat menurut kehendak sebenar ajaran Islam.

p/s: kementerian kesihatan sepatutnya mencari sumber dari mana datangnya DNA babi di dalam coklat Cadbury ... kemudian menyerahkan hasil kajian kepada Jakim untuk ditentukan halal dan haramnya. Untuk apa masing-masing Jakim dan Kementerian Kesihatan hanya pandai mempertahankan kredibiliti ujian masing-masing sedangkan kebenaran tetap tersuruk. Bagaimana hendak menghukum jika sumber DNA tak mampu dikesan ..

*******************


Bahan berubah sifat boleh jadi halal jika diproses - Dr Asri

KUALA LUMPUR: Gelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut konsep Islam istihalah, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Bekas mufti Perlis mengulas pandangan ulama tersohor, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang berpendapat gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan.

"Saya berpandangan isu ini tidak adalah satu masalah besar kerana di kalangan ulama Islam sendiri tidak ada konsensus mengenai topik ini.

"Mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini," katanya kepada Astro AWANI.

Dr Mohd Asri menegaskan bahawa setiap orang Islam mempunyai hak untuk membaca, mendengar, menilai dan membuat keputusan untuk dirinya sendiri berdasarkan kepada hujah-hujah yang dibentangkan.

"Islam adalah agama yang berfikiran terbuka yang sentiasa mengiktiraf fakta dan kebenaran.

"Kemudian, orang Islam juga perlu berfikir tentang bagaimana untuk menjawab perbuatan mereka di hadapan Allah di akhirat, bukan hanya bertindak balas secara emosi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai hujah Dr Yusuf, Dr Asri menjelaskan bagaimana sesuatu yang dianggap haram boleh menjadi halal sebenarnya jika menggunakan konsep 'istihalah'.

Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada suatu benda lain yang meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda tersebut.

"Apabila sesuatu yang tidak bersih telah melalui satu proses yang membuatkan ia telah kehilangan ciri-ciri asalnya ia tidak akan dinilai mengikut asalnya kerana ia telah benar-benar berubah," kata beliau sambil menambah bahawa bahan itu harus dinilai melalui ciri-ciri baru.

"Penjelasan mudah; perubahan dalam sifat bahan setelah melalui proses tertentu ini disebut sebagai istihalah," katanya.

Dr Mohd Asri mengulas perkara berkenaan dilaman Facebooknya dengan mengambil contoh baja yang digunakan ketika menanam pokok pisang.

“Buah pisang halal dimakan. Tidak dikatakan buah pisang itu bernajis sebab subur dengan baja najis,” tulis beliau.

Beliau juga menggemukakan contoh arak yang bertukar menjadi cuka; ataupun, bangkai yang bertukar menjadi garam ataupun tanah.

Dr Asri berkata Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain juga memberikan pandangan mereka tentang DNA babi yang terdapat secara meluas dalam makanan dan barangan di dunia ini sekarang.

Sebelum ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury dikesan mengandungi DNA babi.

Bagaimanapun, ujian oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan dua produk coklat tersebut tiada unsur DNA babi dan sekaligus halal untuk dimakan.
Astro Awani - 07 Jun 2014


Ustaz Kazim sangkal fatwa Al-Qaradawi DNA babi ditansformasi halal digunakan

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menolak fatwa yang dikeluarkan oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi yang mengatakan gelatin haiwan termasuk babi adalah halal digunakan jika ia ditransformasikan menjadi bahan lain.

Dalam satu laporan oleh Sinar Harian pada Ahad, Kazim berkata umat Islam perlu berpegang teguh kepada ketetapan agama yang digariskan oleh mazhab dimana selama ini ia menjadi ikutan kepada umat Islam di negara ini.

"Keempat-empat mazhab Islam berpegang teguh bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan babi tidak boleh dimakan, setiap benda makanan haram yang masuk dalam badan akan jadi daging.

"Kalau makanan itu makanan haram, nerakalah tempatnya bagi kita, kalau makanan itu halal maka syurgalah tempatnya untuk kita," katanya.

Menurut beliau, hukum melibatkan makanan haram dan halal merupakan satu isu yang besar dan tidak patut diperkecilkan oleh mana-mana pihak.

Pada Sabtu lalu, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong pandangan Dr Yusuf Al-Qaradawi bahawa gelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut konsep Islam istihalah

Mengulas lanjut mengenai hujah Dr Yusuf, Dr Asri menjelaskan bagaimana sesuatu yang dianggap haram boleh menjadi halal jika menggunakan konsep 'istihalah'.

Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada suatu benda lain yang meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda tersebut.

"Apabila sesuatu yang tidak bersih telah melalui satu proses yang membuatkan ia telah kehilangan ciri-ciri asalnya ia tidak akan dinilai mengikut asalnya kerana ia telah benar-benar berubah," kata beliau sambil menambah bahawa bahan itu harus dinilai melalui ciri-ciri baru.

"Penjelasan mudah; perubahan dalam sifat bahan setelah melalui proses tertentu ini disebut sebagai istihalah," katanya.

Dr Mohd Asri mengulas perkara berkenaan dilaman Facebooknya dengan mengambil contoh baja yang digunakan ketika menanam pokok pisang.

Sebelum ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury dikesan mengandungi DNA babi.

Bagaimanapun, ujian oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan dua produk coklat tersebut tiada unsur DNA babi dan sekaligus halal untuk dimakan.
Astro Awani 09 Jun 2014

MENGULAS PENCERAMAH BEBAS YANG MERENDAHKAN DR YUSUF AL-QARADAWI

Saya terkejut dengan seorang penceramah agama yang dikenali mengulas isu kenyataan al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai kesan DNA khinzir dalam makanan dan bahan yang terdapat secara meluas di dunia hari ini. Jika kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah yang terdiri dari ramai tokoh ilmuwan antarabangsa, beberapa persidangan Fekah di peringkat antarabangsa dan lain-lain yang mengharuskan itu tidak tahu bahawa babi itu haram.

Bagi menyokong hujahnya, penceramah itu secara 'janggal' menyebut empat-empat mazhab mengharamkan babi. Katanya pula, ulama hanya khilaf tentang kulit babi.

Saya ingin katakan, pertama, sesiapa yang ingin mengulas sesuatu hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas. Jika tidak ia hanya menampakkan kedangkalan diri dalam dunia ilmu yang luas.
Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah, Persidangan Fekah Perubatan yang berlangsung di Morocco pada tahun 1997 dan lain-lain bukan tidak tahu bahawa babi itu haram. Namun isu yang dibahaskan ialah istihalah yang telah merubah sifat sesuatu bahan. Para ulama dalam pelbagai mazhab Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini.

Isunya, bukan ingin makan seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin memakan coklat, ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan bahan tertentu yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat kimianya.

Adapun kenyataan beliau bahawa mazhab empat mengharamkan khinzir amatlah canggung. Beliau hendaklah tahu bahwa bukan setakat empat mazhab, bahkan semua mazhab termasuk al-Auza'i, al-Thauri, Laith bin Sa'd, Zahiri, Zaidi dan lain-lain semuanya mengharamkan khinzir. Ia ijmak. Namun, bukan itu isunya. Apa yang dibincangkan isu istihalah.

Adapun kata beliau khilaf ulama hanya tentang kulit babi, sebenarnya bukan sahaja tentang kulit babi, tapi juga tentang tulang dan bulu. Apakah boleh dibuat sesuatu yang bermanfaat, seperti kasut ataupun bone china seperti hari ini ataupun tidak boleh? Walaupun banyak imam yang melarang perkara itu, tetapi ramai juga para imam yang membolehkan. Contoh boleh lihat nukilan al-Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni yang menyebut beberapa pendapat.

Jika kita semak, pendapat yang membolehkan itu dipertahankan oleh beberapa tokoh ulama termasuk al-Imam al-Syaukani.

Sebenarnya, masalah istihalah babi ini masalah khilafiyyah. Ada yang membolehkan seperti Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Persidangan Fekah Perubatan di Morocco 1997 dan lain-lain. Ada pula yang mengharamkan seperti Majma al-Fiqh al-Islami di Jeddah, Arab Saudi.

Bukan orang Islam nak disuruh ternak babi, tapi sarjana fekah membincangkan bahan yang berubah tapi asal-usulnya ada kaitan dengan babi.

Ini boleh difahami juga seperti rakyat muslim Singapore yang meminum new water iaitu air najis yang telah dirawat menjadi air bersih yang digunakan di Singapore sekarang. Bukan mereka nak minum najis, tetapi air itu asal bernajis namun telah dirawat dan dibersihkan.

Kita mengingatkan semua pihak, termasuk diri kita bahawa berceramah satu kebolehan yang lain, mungkin ia dibantu oleh kepetahan, jenaka dan lain-lain. Namun hendak membincangkan isu ilmu hendaklah berasaskan maklumat dan pengetahuan.

Sekali lagi, hal ini khilaf pendapat dalam kalangan ulama. Setiap orang membaca, meneliti dan mengikut apa yang dia yakin lebih diredhai Allah untuk dirinya. Fatwa ini dibincangkan oleh para sarjana Islam moden sebab bahan berkenaan membabitkan banyak produk yang wujud sekarang terutama mereka yang hidup di negara minoriti muslim. Sementara sifat Islam itu memudahkan umatnya yang dalam kesulitan. Kita juga perlu ingat hal ini berlaku apabila kita tidak menjadi pengeluar dan asyik jadi pengguna.
DrMAZA


Saya ni tak alim, takde phd, ustaz kaki lima je pun.. ngajar pun tahap bdk2 tadika je.. tapi, sy pun boleh pikir lagi sbb ada tmpat rujukan. Ada sorg Dr. di Malaysia ni bg perbandingan dna babi dgn pokok pisang. Dia kata klu najis babi letak kat pokok pisang kita boleh mkn pisang tu, mmg la... sbb dah jd pisang. Bukan kita mkn taik babi tu... tapi, dlm isu dna babi mana boleh pakai kaedah mcm tu, babi diproses mjadi dna babi, dna babi tu apa? Pisang ka? Dna babi tetap dna babi mana dia btukar jd benda lain? Baja najis + tanah + air + mineral + pokok pisang = buah pisang. Kalau dna babi pulak, jadi drpd apa? Dan mjadi apa? Apa yg dicampur dlm babi yg dpt mjadi dna babi? Sehingga boleh dikata halal tu? Dna ialah singkatan Deoksiribonukleik satu molekul yg tdpt dlm semua sel kecuali sel darah merah. Satu molekul pnting dlm bg semua sel hidup. Jd dmana dna babi tu halal dgn proses istihalah secara semulajd. Maka jgnlah disamakan taik babi dgn pokok pisang atau arak dgn cuka... Mana sama bro... kemudian disamakan dgn air kumbahan yg kononnya diproses dan dijadikan air minuman di negara jiran. Bro, pi ngaji habis dulu.. jgn main tuduh sebarangan. Memalukan org Malaysia je' betul ke deme guna air kumbahan. Cek betul2 sblm buat statement. Penggunaan air di negara mrk sgt tsusun dan sila dptkan maklumat betul2. Apadia Reverse Osmosis dan penggunaan semula air yg dikitar di negara jiran. Buat kajian betul2 sblm buat statement. Sy mngaku sy tak alim... ilmu cetek sgt.. sbb tu sy refer apa2 benda klu tak tau ke majlis fatwa. Nama pun majlis.maknanya ramailah ulamak di dlmnya. Bkn seorg shj.
Ustaz Mohd Kazim


Apa yang haram tetap haram - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
SHAH ALAM – Bahan-bahan yang haram di sisi agama Islam tetap dianggap haram meskipun ia telah mengalami perubahan zat, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Menurutnya, istilah istihalah (proses perubahan zat yang membolehkan bahan-bahan haram berubah menjadi halal) yang diguna pakai sesetengah pihak tidak wajar dijadikan landasan untuk menghalalkan sesuatu perkara, khususnya di negara ini.

“Jangan sewenang-wenangnya bercakap isu ini. Ini isu halal haram. Tambah pula, ia  tidak sesuai dipraktikkan di sini.

“Masih banyak (lagi) sumber halal yang masih boleh digunakan oleh umat Islam, jadi isu istihalah tidak boleh digunakan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, bahan halal apabila telah bercampur dengan yang haram, ia akan dianggap haram di sisi Islam.

“Harus diingat, jika keadaan darurat sahaja, dibolehkan menggunakan bahan haram, contohnya dalam perubatan.

“Seorang pesakit diharuskan mengambil imunisasi yang ada DNA babi dengan tujuan untuk selamatkan nyawanya semata-mata,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat di negara ini khasnya umat Islam supaya mengelakkan diri daripada terdedah dengan benda-benda haram tersebut jika tidak mempunyai kewajipan untuk mengambilnya.

Pendapat sama turut disokong Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid yang menyifatkan apa jua jenis bahan yang telah bercampur dengan babi tetap dikira haram.

“Jika zat babi masih terdapat di dalam bahan tersebut, ia tetap dikira haram.

“Hanya makanan yang secara tidak sengaja tercemar dengan babi, hukumnya harus, lain-lain tidak boleh, apa lagi disengajakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ulama Dr Yusuf Al-Qaradawi mengenai proses perubahan zat yang membolehkan bahan-bahan haram berubah menjadi halal.

“Jika ada bahan haram yang memasuki air melebihi dua kolah, air tersebut masih digunakan, tetapi mesti tiada perubahan warna, bau dan rasa.
sinarharian

****************


Halalkah Makanan Yang Mempunyai Kesan Najis ?

Oleh:  Ramlah Wednesday, 29 May 2013 05:09

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu, alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sambungan dari keluaran lepas

Tanaman Yang Dibaja Atau Disiram Dengan Najis

PADA dasarnya, perbuatan menyuburkan tanam-tanaman dan sayur-sayuran dengan baja daripada tahi hukumnya adalah makruh, sebagaimana pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullah Ta'ala. Bagaimanapun, menurut ulama hukum memakan tanaman dan buah-buahan yang disiram (dibaja) dengan air najis adalah halal dan tidak makruh. Begitu juga, tidak makruh memakan biji-bijian yang ditanam pada benda-benda najis seperti tahi atau selainnya, kerana tiada nyata kesan najis atau tahi itu pada biji-bijian dan tumbuhan tersebut. Bagaimanapun, menurut Imam az-Zarkasyi Rahimahullah, jika nyata kesan perubahan pada tanaman itu disebabkan najis tersebut, seperti tanaman itu berbau najis, maka hukum memakan tanaman yang dibaja dengan tahi adalah makruh.

Begitu juga, sayur-sayuran yang subur dengan baja daripada najis mughallazhah hukumnya tidak makruh dimakan, melainkan jika sayur itu berubah (bau, rasa atau warna) dengan ada kesan najis itu.

Sekalipun demikian, perlu juga diketahui bahawa setiap daripada sayuran atau buahbuahan yang terkena zat najis itu adalah mutanajjis, iaitu yang terkena najis. Oleh yang demikian, jika zat najis itu masih ada pada sayuran atau buah itu, maka hendaklah dibersihkan terlebih dahulu. Cara membersihkannya ialah dengan dibasuh dengan air, iaitu setelah dihilangkan terlebih dahulu zat dan sifat-sifat najis.

Manakala bagi najis mughallazhah, seperti najis babi, maka cara membersihkannya atau menyucikannya ialah dengan disertu. Caranya ialah bahagian yang terkena najis itu hendaklah dibasuh sebanyak 7 kali dengan air muthlaq, salah satu daripadanya hendaklah air yang bercampur dengan tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh air tersebut. Perlu juga diingat, jika masih terdapat zat najis, maka hendaklah terlebih dahulu dihilangkan zat najis itu kemudian barulah dilakukan sertu.

Binatang al-Jallalah

Menurut ad-Dumairi Rahimahullah, al-jallalah bermaksud binatang yang makan najis dan tahi, sama ada banyak atau sedikit, daripada unta, sapi, kambing, ayam, angsa, ikan atau selainnya dari binatang yang boleh dimakan. Antara contoh mudah berkenaan perkara ini ialah binatang yang dikurung atau ditempatkan dalam suatu kawasan tertentu, seperti ikan peliharaan dalam kolam buatan, yang diberi makan dengan najis sepenuhnya atau secara berkala.

Hukum mengenai binatang al-jallalah telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ibnu 'Umar Radhiallahu 'anhuma bahawa Baginda melarang memakan binatang al-jallalah dan meminum susu binatang itu sehinggalah (menjadi) baik dagingnya dengan cara ia diberikan makanan yang bersih selama empat puluh hari.

Menurut pendapat al ashah, (yang lebih diperakukan) hukum memakan daging binatang al-jallalah adalah makruh, jika berlaku perubahan pada daging binatang tersebut, sekalipun hanya sedikit. Maksud perubahan di sini ialah kesan daripada binatang al-jallalah itu memakan najis, seperti dagingnya berbau najis, dan termasuklah rasanya atau warnanya. Seperti mana dimakruhkan memakan dagingnya, dimakruhkan juga meminum susunya, memakan telurnya dan keseluruhan bahagian daripadanya. Demikian juga, adalah makruh hukumnya menunggang binatang al-jallalah tanpa sebarang lapik.

Tanda atau alamat bahawa binatang al-jallalah itu terkesan dengan pemakanannya daripada najis dan kotoran antaranya ialah perubahan pada baunya dan peluhnya yang busuk.

Oleh yang demikian, jika didapati perubahan pada binatang al-jallalah, maka tempoh masa yang diambil untuk menghilangkan kesan atau bau pada daging binatang al-jallalah dan menjadikan dagingnya baik, menurut pendapat ulama pada adat kebiasaannya bagi unta adalah selama 40 hari, lembu selama 30 hari, kambing selama 7 hari dan ayam selama 3 hari.

Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa bilangan hari yang disebutkan di atas bukanlah suatu had kemestian untuk ditepati. Ini hanyalah merupakan jangkaan, kerana pada kebiasaannya dalam tempoh ini kesan najis, seperti bau najis pada daging al-jallalah akan hilang.

Demikian juga sekatan pemberian makanan binatang al-jallalah hanya dengan pemakanan yang suci. Sekiranya binatang al-jallalah yang berbau itu diberi makan dengan benda yang suci seperti rumput-rumput yang suci, mahupun yang terkena najis seperti makanan ternakan yang terkena air najis atau terkena benda najis, ataupun tidak diberikan apa-apa makanan, lalu menghasilkan daging yang baik dan hilang baunya, sekalipun kurang daripada 40 hari atau seperti mana tempoh lain yang telah disebutkan, maka daging binatang al-jallalah ini adalah halal dan tidak dihukumkan makruh untuk dimakan.

Jika binatang al-jallalah itu hanya dibasuh (dibersihkan) untuk menghilangkan perubahan tersebut tanpa menjalani proses seperti di atas, maka ia masih dihukumkan makruh untuk dimakan, sekalipun dengan perbuatan tersebut berhasil menghilangkan kesan perubahan itu.

Selain itu, jika daging binatang al-jallalah yang berubah pada rasa, bau atau warna itu dibasuh, dimasak atau dibiarkan sahaja untuk suatu tempoh masa, maka dalam hal ini ia masih juga dihukumkan makruh untuk dimakan, sekalipun dengan perbuatan tadi berhasil menghilangkan kesan perubahan itu.

Sebaliknya, jika tiada berlaku sebarang perubahan pada daging al-jallalah, maka tidak dihukumkan makruh memakannya, sekalipun binatang al-jallalah itu tidak memakan selain najis sahaja.

Perlu diketahui bahawa menurut ulama, kambing biri-biri dan binatang selainnya, yang diternak sebagai sumber bahan makanan, adalah makruh diberikan makanan atau minuman daripada benda (zat) najis. Akan tetapi larangan (makruh) ini tidak termasuk bahan makanan yang mutanajjis, iaitu yang terkena najis. Selain itu, menggunakan bahan-bahan najis sebagai sumber makanannya membawa kepada perkara makruh kerana apabila ternakan itu memakan bahan-bahan najis, ia boleh membawa kepada perubahan sifat dagingnya. Maka kerana ini ia dihukumkan makruh.

Demikian juga perubahan pada daging binatang al-jallalah itu bukan sahaja disebabkan kesan sumber pemakanannya daripada benda najis, akan tetapi perubahan itu juga boleh berlaku kesan daripada kesan sumber minumannya. Oleh yang demikian, binatang ternakan seperti anak kambing biri-biri yang diminumkan susu anjing atau khinzir, jika berlaku perubahan pada dagingnya, maka hukumnya adalah serupa dengan binatang al-jallalah.

Malahan jika didapati perubahan pada daging dan telur binatang sembelihan biasa yang bukan al-jallalah, seperti perubahan bau busuk, maka menurut pendapat yang shahih, daging ini juga dihukumkan makruh memakannya. Memakan sesuatu yang mengakibatkan bau busuk seperti memakan bawang mentah, petai, jering dan seumpamanya yang sangat-sangat berbau busuk itu juga dihukumkan makruh.

Sebagai kesimpulan, mengetahui pemakanan halal dan yang haram merupakan tanggungjawab setiap individu Islam dan fardhu 'ain. Sekalipun makanan atau minuman itu halal dan suci, ada kalanya ia dihukumkan makruh atau haram seperti mana yang dijelaskan dalam contoh-contoh di atas. Mudah-mudahan dengan penjelasan, tunjuk ajar serta langkah-langkah yang dinyatakan di atas, dapat menghindarkan kita daripada memakan sesuatu yang diharamkan atau dimakruhkan.

WALLAHU'ALAM

sumber artikel: 

Thanks for coming

Thanks for coming
Terima kasih sudi hadir

Tajuk - Title